Ke Berita Harian Online
Menu
Gobalakrishnan antara 4 penyokong PKR ditahan

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan empat penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk anggota Parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan bagi membantu siasatan kerana disyaki menahan empat bas persiaran yang didakwa membawa 'pengundi hantu' di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dekat sini, hari ini.

Pegawai Perhubungan Media Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh, Superintendan Shaharon Anuar Abdul Malik, berkata mereka ditahan mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan kerana melakukan halangan salah.

"Terdapat 36 penumpang dalam sebuah bas manakala tiga bas lagi tidak mempunyai penumpang dan semua mereka dibawa ke Balai Polis Seberang Jaya sebagai saksi," katanya ketika dihubungi di sini.

Pada kira-kira jam 2.45 petang, sekumpulan lebih 20 lelaki yang dipercayai penyokong PKR menahan bas yang membawa penyokong Barisan Nasional (BN) dari Melaka.

Katanya kumpulan berkenaan yang memakai baju-T serta jaket berlambang PKR menahan bas berkenaan yang dalam perjalanan dari arah Kulim menuju ke Butterworth di lokasi, kira-kira tujuh kilometer dari Institut Perguruan Tuanku Bainun. - Bernama














Artikel lain: