DALAM kehangatan bahang Pilihan Raya Umum Ke-12, elok kita merenung perkara sebenar diinginkan rakyat (bukannya yang diinginkan calon wakil rakyat) daripada hasil pilihan raya.
Adakah rakyat inginkan ahli politik mengamalkan 'politik bakti', iaitu yang secara konsisten berkhidmat kepada rakyat selepas terpilih atau sekadar mengamalkan `politik undi' saja, iaitu khidmatnya sukar dilihat selepas terpilih, tetapi akan rajin semula apabila pilihan raya berikutnya menjelang tiba?
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah menyatakan bahawa rakyat hanya meletakkan 40 peratus daripada penilaiannya kepada parti, sedangkan 60 peratus lagi diletakkan pada personaliti calon yang bertanding. Satu kriteria digunakan rakyat dalam membuat penilaian itu mungkin lebih berpihak kepada calon berpotensi mengamalkan politik bakti daripada yang mengamalkan politik undi.
Tetapi, Perdana Menteri tidak menyentuh soal keperibadian ahli politik hanya ketika menjelang pilihan raya. Ini bukan gimik politik. Sebaliknya, beliau membicarakan perkara ini sejak dulu lagi. Kerana itu, contohnya, sebaik saja menjadi Perdana Menteri, beliau menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM) bertujuan meningkatkan integriti politik.
Terdahulu, kolum ini membincangkan persoalan `politik ilmu' dan bukannya `politik ampu' serta `politik hikmah' dan bukan `politik fitnah'. `Politik bakti' dan bukannya `politik undi' yang dibincangkan kali ini melengkapkan trilogi yang membentuk keperibadian ahli politik berintegriti politiknya.
Persoalan ini timbul kerana semangat bakti sukarela kepada parti dan ibu pertiwi semakin hari semakin sepi. Dalam hal ini, kita difahamkan bagaimana ahli politik dulu membabitkan diri dalam politik untuk berbakti kepada bangsanya. Tetapi, hari ini, kita melihat lebih ramai berpolitik untuk mendapatkan tempat menerusi undi.
Ahli politik lampau menggunakan undi untuk membolehkannya berbakti.
Kempen untuk mendapatkan undi tidak seberapa. Tetapi, selepas mendapat undi, baktinya hebat. Malangnya, ramai ahli politik hari ini menggunakan `bakti sementara', iaitu satu jenama baru untuk berkempen bagi mendapatkan undi. Lihatlah paradoknya: yang satu menggunakan undi untuk berbakti, manakala satu lagi menggunakan bakti sementara untuk mendapatkan undi.
Politik undi memberi ruang kepada pendapat bahawa wang yang dihabiskan untuk mendapatkan kerusi sama seperti pelaburan untuk masa depan. Sebab itu, ada beranggapan bahawa jawatan yang mereka pegang itu membolehkan mereka mencari keuntungan daripada pelaburan dibuat.
Sekiranya ini berleluasa, maka kita sebenarnya menggalakkan politik wang untuk berterusan bukan saja menjadi masalah dalam parti, malah juga merosakkan sistem kerajaan. Keadaan ini adalah satu putaran syaitan yang ganas - "wang diguna untuk mendapatkan kuasa." Kuasa digunakan untuk mendapatkan wang dan lebih banyak wang digunakan untuk mendapatkan lebih banyak kuasa, lebih banyak kuasa digunakan untuk mendapatkan lebih banyak wang..."
Umum mengetahui Pak Lah bersih daripada politik wang dan bertekad membersihkan Umno daripada gejala ini. Tindakan Umno di bawah kepemimpinannya menghukum pengamal politik wang, termasuk seorang Naib Presidennya, adalah testimoni ketegasannya.
Di samping itu, ahli politik perlu ikhlas berbakti dengan tulus kepada rakyat. Hanya dengan keikhlasan berbakti, barulah ahli politik akan dapat membantu usaha menegakkan integriti politik. Namun, politik bakti tidak terhenti setakat keikhlasan. Ia juga membabitkan `politik berbuat' dan tidak hanya `politik bercakap'.
Politik undi adalah politik bercakap, iaitu bercakap mengenai ideologi, gagasan, perjuangan, manifesto dan kata-kata. Ini kepandaian parti pembangkang. Tetapi sebaliknya, politik bakti adalah politik dibuat, iaitu menterjemahkan ideologi menjadi dasar, gagasan menjadi program, perjuangan menjadi strategi, manifesto menjadi realiti dan kata menjadi kota. Ini kelebihan parti kerajaan hari ini.
Dalam kerangka sistem berkerajaan hari ini, walaupun wujud pemisahan di antara fungsi parti dan kerajaan, tetapi parti tidak boleh lagi hanya bercakap semata-mata. Kalau bercakap pun, tidak boleh lagi bercakap kosong. Cakap perlu ada isi. Bukan sekadar isi biasa saja, malah isi bernas.
Lebih daripada itu, pengharapan rakyat hari ini ialah supaya parti juga berbuat sesuatu, iaitu dengan melaksanakan program konkrit tertentu.
Rakyat hari ini tidak lagi puas dengan parti hanya menyerahkan segala-galanya kepada kerajaan.
Bagi ahli politik yang mengamalkan politik undi, program anjurannya mungkin dapat mengumpulkan jumlah kehadiran yang ramai, tetapi kesannya mungkin tidak seberapa. Rakyat sudah mula dapat menilai keberkesanan sesebuah program, iaitu tidak lebih daripada `touch & go', sekadar berjumpa-jumpa saja, dan yang mana benar-benar bermanfaat kepadanya.
Bagaimanakah cara untuk mengukur politik bakti? Bagi wakil rakyat sekarang, adakah ukurannya hanya berasaskan apa dilakukannya sejak terpilih? Dalam hal ini, selepas Pilihan Raya Umum Ke-11 lalu, Pak Lah sudah melaksanakan misalnya, Kad Laporan dan Penilaian Prestasi Ahli Parlimen Kerajaan.
Kad prestasi ini berdasarkan 10 tugas ditetapkan dalam Garis Panduan Tugas-Tugas Rasmi dan Tanggungjawab Ahli Parlimen, iaitu menghadiri Sidang Dewan; mengemukakan pertanyaan lisan/bertulis dalam Sidang Dewan; mengambil bahagian dalam perbahasan Dewan; lawatan/pertemuan dengan rakyat; perbincangan dengan pemimpin persatuan/pertubuhan; merancang dan memantau projek/aktiviti untuk rakyat; menghadiri mesyuarat jawatankuasa di mana Ahli Parlimen kerajaan dilantik sebagai pengerusi/ahli; kerjasama dengan agensi kerajaan; aduan/pertanyaan/permintaan bantuan yang diterima dan perisytiharan harta.
Bagaimana pula cara untuk mengukur politik bakti mereka yang bukan wakil rakyat sekarang? Adakah ia dikira daripada rekod baktinya dalam parti, pertubuhan belia, pertubuhan masyarakat sivil (CSO), jabatan/agensi kerajaan atau perniagaan tempat kerjanya, kerja sukarela, penulisan dan idea diketengahkannya?
Adakah ia dikira daripada kesetiaannya kepada parti? Contohnya, adakah diambil kira kesetiaannya untuk terus bekerja memastikan kemenangan partinya dalam pilihan raya umum lalu, walaupun tidak terpilih untuk bertanding? Bagaimana pula dengan mereka yang merajuk dan tidak membantu parti kerana dirinya atau calon yang dilobinya tidak terpilih untuk bertanding?
Datuk Saifuddin Abdullah ialah Pengerusi Akademi Belia yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (1998-2002)