HASRAT Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz untuk melihat lebih ramai calon di kalangan wanita ditampilkan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 ini, ternyata menjadi kenyataan.
Jumlah calon wanita kali ini bertambah 13, menjadikan semuanya 67 calon untuk bertanding di 21 kerusi Parlimen dan 46 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), berbanding hanya 54 calon ditampilkan pada pilihan raya umum lalu.
Tuntutan mendapatkan lebih banyak kerusi untuk wanita dalam pilihan raya kali ini pastinya membakar semangat kaum hawa, sekali gus memberi nafas baru ke arah perubahan besar terhadap matlamat menambah kuota pemimpin wanita di barisan pembuat dasar.
Walaupun kuota 30 peratus pemimpin wanita sebagai pembuat dasar masih belum dapat dicapai di negara ini, sekurang-kurangnya ia memberikan petanda baik ke arah masa depan lebih cemerlang apabila jumlah mereka bertambah di Dewan Rakyat dan DUN nanti.
Daripada 67 calon wanita ditampilkan kali ini, 27 adalah ahli Wanita Umno, Puteri Umno (10) dan Wanita MCA (16) manakala MIC dan Gerakan masing-masing empat calon, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Sarawak tiga calon . Parti Progresif Sabah (SAPP) dua dan Parti Bersatu Sabah (PBS) pula menampilkan satu calon.
Daripada jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara dari segi calon Puteri Umno, iaitu 10 orang berbanding hanya tiga sebelum ini. Begitu juga bagi calon MCA, MIC dan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.
Peningkatan bilangan Puteri Umno dalam percaturan politik pada kali ini adalah sesuatu yang membanggakan dan ia mempamerkan bahawa calon pada usia 30-an itu sebenarnya mampu untuk beraksi hebat di pentas politik asalkan diberi peluang.
Malah, bilangan calon wanita yang semakin bertambah itu sebenarnya cukup untuk membuktikan pembabitan Puteri yang mewakili golongan muda, sudah semakin diterima oleh pucuk pimpinan, sekali gus menggambarkan pengiktirafan pemimpin negara terhadap tenaga muda, terutama sayap Puteri.
Kita percaya sekiranya golongan muda itu terus diberi peluang selepas ini, tidak mustahil mereka akan mampu menjadi pemimpin pelapis berwibawa dan berkaliber dalam memperkasakan kepemimpinan generasi pada masa akan datang.
Dalam pada itu juga, kita amat berharap golongan yang lebih matang dan berpengalaman dalam pergerakan Wanita Umno, memberi bimbingan, kerjasama dan sokongan yang diperlukan, bukan cuba meminggirkan mereka kerana kehadiran tenaga muda adalah sebagai penerus perjuangan.
Sebenarnya, strategi Umno dengan penubuhan Puteri Umno pada Oktober 2000 bertujuan menarik lebih ramai golongan wanita muda menyertai parti itu dan ternyata ia tidak sia-sia.
Tindakan itu bukan saja menyekat sebahagian mereka daripada menyertai parti lain, malah menarik ribuan anak muda, termasuk lepasan universiti untuk bersama Puteri. Sayap muda itu kini menjadi landasan terbaik untuk proses ‘grooming’ dalam Umno.
Seperti kata Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad, pertambahan calon wakil Puteri Umno pada pilihan raya umum kali ini membuktikan kepercayaan pucuk pimpinan parti terhadap sumbangan pemimpin wanita muda dalam memperjuangkan politik negara.
“Banyak pencalonan yang kami terima dan ini membuktikan kemampuan Puteri dalam perjuangan politik, sekali gus mencerminkan pengiktirafan kepada golongan muda atau orang baru dalam politik,” katanya yang turut bertanding bagi kerusi Parlimen Parit Sulong di Johor.
Turut ditampilkan untuk kali pertama pada pilihan raya umum ini ialah Datuk Dr Norraesah Mohamad bagi kerusi Parlimen Balik Pulau. Beliau mempunyai aura tersendiri yang mampu memberikan cabaran kepada calon pembangkang.
Norraesah adalah wanita pertama dilantik menyandang jawatan Pengerusi bank di negara ini iaitu di Bank Rakyat dan bukan calang-calang calon kerana mempunyai latar belakang pendidikan cemerlang dengan doktor falsafah (PhD) dalam Sains Ekonomi dari Universiti of Paris 1 Pantheon, Perancis.
Calon paling muda di kalangan wanita kali ini ialah Carol Chew Chee Lin, 28 yang ditampilkan BN untuk mencabar penyandang kerusi Parlimen Seputeh, Teresa Kok (DAP). Chee Lin, yang memiliki ijazah dalam bidang psikologi dan pengurusan sistem maklumat dari Universiti Queensland, Australia membabitkan diri dengan MCA sejak lima tahun lalu.
Muka baru lain ialah Ketua Puteri Umno Terengganu, Senator Nordiana Shafie, 34, yang juga calon tunggal wanita dari negeri itu bagi kerusi DUN Batu Burok; Nolee Ashilin Mohd Radzi di DUN Tualang Sekah; Dr Wan Norashikin Wan Nordih di DUN Kampung Gajah; Khazumi Datuk Othman di DUN Tanjung Mas; Haslinda Mohd Zerain di DUN Bukit Antarabangsa; Datuk Shahaniza Shamsuddin di DUN Kuala Sentul dan Roselinda Jamil di DUN Pelabuhan Klang.
Nama besar lain mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing kali ini ialah Rafidah Aziz (Kuala Kangsar); Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Lembah Pantai); Datuk Dr Ng Yen Yen (Raub) dan Datin Paduka Komala Devi (Kapar).
Bagi Datuk Seri Azalina Othman Said, beliau sejak dari awal lagi sudah menempah kemenangan apabila menang tanpa bertanding bagi kerusi Parlimen Pengerang di Johor pada hari penamaan calon. Pada Pilihan Raya Umum 2004, beliau turut menang tanpa bertanding di kerusi yang sama.
Nama lain pada peringkat negeri yang dikekalkan seperti Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin (DUN Seri Setia), Jainab Ahmad (DUN Karambunai), Datuk Jahara A Hamid (DUN Teluk Air Tawar), Datuk Halimah Mohd Sadique yang diberi kepercayaan berpindah ke kerusi Parlimen dan Noriah Kasnon mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Besar.
Sama ada calon baru, muda atau lama adalah diharapkan mereka dapat menumpaskan pembangkang yang hanya gah dengan manifesto mereka dan berteriak dengan penuh emosi tanpa tindakan yang menjanjikan kemajuan serta kesejahteraan rakyat.
Kita percaya, gandingan mantap calon wanita baru dan lama ini bakal mewarnai dan mengukuhkan pasukan yang lebih unggul menerusi kerjasama jitu.