|


Johor kekal kubu kuat Barisan Nasional
Oleh Khirul Bahri Basaruddin

DI sebalik 'cakap-cakap' bahawa Barisan Nasional (BN) mungkin kehilangan beberapa kerusi di Johor dalam pilihan raya umum kali ini, jentera BN di negeri itu sebenarnya semakin mantap bukan saja untuk terus mencatat kemenangan besar seperti kelazimannya, malah bakal menyaksikan calon pembangkang hilang wang pertaruhan.

Andaian kemenangan beberapa calon pembangkang itu timbul kononnya berikutan berlaku krisis dalaman, gara-gara kontroversi kerusi Menteri Besar sejak pilihan raya lalu lagi. Apa pun yang berlaku, dalam setiap pilihan raya, BN Johor tetap utuh dan jika ada perbezaan pendapat di kalangan pemimpinnya, semua itu berjaya diketepikan apabila tiba pilihan raya.

Ini terbukti BN menang besar setiap kali pilihan raya umum diadakan dan tidak keterlaluan jika dikatakan kecemerlangan itu dijangka berterusan pada 8 Mac nanti.

Namun, BN Johor yang diketuai Menteri Besarnya, Datuk Abdul Ghani Othman tidak pernah riak atau terlalu yakin pengundi akan memihak kepada mereka. Tetapi kelancaran jentera parti serta rekod cemerlang memerintah negeri itu menyebabkan gelaran BN Johor sebagai pendukung kekuatan BN akan kekal untuk tempoh yang agak lama.

Oleh itu, tidak keterlaluan untuk menyatakan Pilihan Raya Umum Ke-12 ini menyaksikan ramai calon parti pembangkang akan hilang wang pertaruhan. Ini berdasarkan keyakinan pengundi kepada kerajaan BN Johor yang berjaya memakmurkan negeri itu dengan pelbagai kegiatan ekonomi.

Janji BN pada 2004 hampir keseluruhannya dipenuhi. Malah, kerajaan BN melancarkan projek mega Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) untuk menjadikan Selatan Johor itu sebagai sebuah metropolis baru, sekali gus meningkatkan taraf kehidupan rakyat Johor.

Berdasarkan tinjauan di bilik gerakan seluruh negeri, jentera pilihan raya BN sudah lama bersedia menggempur dakyah pembangkang selain memenangkan calon BN yang bertanding di kawasan yang dianggap panas.

Malah harapan calon pembangkang untuk mengekalkan deposit mereka di kerusi tertentu agak tipis berikutan jentera parti pembangkang tidak mantap selain ketandusan isu setempat. Berdasarkan kempen yang dijalankan setakat ini, pembangkang hanya mahu mengaburi mata rakyat kononnya mereka boleh membentuk kerajaan dan meletakkan calon bertanding di semua kerusi DUN dan Parlimen.

Sebaliknya, calon parti pembangkang itu sendiri menyedari mereka tidak berkemampuan untuk menang apalagi untuk membentuk kerajaan.

Sebenarnya pemimpin pembangkang tidak berani mempertaruhkan nasib mereka di Johor apatah lagi di kalangan nama besar, kerana takut ‘disembelih’ pengundi.

Sebut saja semua nama besar parti pembangkang yang pernah bertanding di Johor... siapa yang kekal? Nama besar seperti Abdul Razak Ahmad, pemimpin Parti Sosial Rakyat Malaysia (PSRM) tidak pernah terpilih dalam mana-mana pilihan raya, meskipun suaranya lantang di luar.

Begitu juga DAP yang hanya berjaya melahirkan seorang pemimpin yang dikenali sekitar tahun 80-an, Lee Kaw menjadi Ahli Parlimen Kluang, tetapi selepas itu tidak lagi kedengaran pemimpin DAP Johor dipilih untuk menjadi wakil rakyat.

Setiap kali pilihan raya umum diadakan, tiada seorang pemimpin pembangkang pada peringkat nasional berani menawarkan diri bertanding di Johor kerana amat arif dengan suasana politik di negeri itu. Pemimpin pembangkang tahu jika bertanding, mereka bukan saja sukar untuk menang, malah wang pertaruhan akan hilang.

Mana mereka nak letak muka, gelaran dalam parti begitu besar, tetapi kalah kepada calon BN.

Bekas Naib Presiden Pas, anak kelahiran Batu Pahat, Johor, Dr Sanusi Daing Mariok selama dua penggal bertanding di Kelantan dan pada 2004 mencuba nasib di Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Raja, Batu Pahat, tetapi beliau hanya memperoleh 2,754 undi berbanding calon baru BN ketika itu, Ab Aziz Kaprawi yang mendapat 10,410 undi, majoriti 7656 undi.

Begitu juga Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub, anak kelahiran Johor yang begitu lantang bersuara di luar dan dalam Parlimen tetapi sudah masuk dua penggal bertanding di Kubang Kerian, Kelantan. Tanyalah Salahuddin kenapa beliau takut bertanding di tanah tumpah kelahirannya, jawapannya pengundi Johor terutama ahli BN akan memastikan beliau kalah.

Nescaya, kebanyakan parti pembangkang bertanding di Johor setiap kali pilihan raya hanya untuk memenuhi kuota dan bertindak sebagai ‘kacau daun’ untuk memastikan calon BN tidak menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon.

Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, sendiri mengakui parti itu yang bertanding sembilan kerusi Parlimen dan 34 DUN bukan saja berdepan kekuatan jentera BN malah dihantui persoalan sama ada calonnya boleh mengekalkan deposit.

Lihat saja statistik selepas setiap pilihan raya, Johor antara negeri paling ramai calon pembangkang yang hilang wang pertaruhan. Pada pilihan raya umum lalu, 10 calon pembangkang yang bertanding di tujuh kerusi DUN dan tiga Parlimen di Johor hilang wang pertaruhan.

Setakat ini, hanya Datuk Shahrir Samad yang boleh dianggap pemimpin besar Johor menggunakan tiket bebas menang dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Johor Bahru pada 1987 selepas berlaku krisis dalaman Umno sehingga parti itu diharamkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, kes Shahrir itu adalah terpencil membabitkan seorang pemimpin Umno yang memprotes tindakan kepemimpinan parti ketika itu meminggirkan mereka yang dianggap sebagai ‘Team B’ dalam penubuhan parti baru atau Umno Baru.

Shahrir menjadi ahli Bebas di Parlimen tidak begitu lama kerana pada 1989 beliau kembali menjadi ahli Umno di bawah naungan Perhimpunan Perpaduan Melayu Johor. Susulan gerakan itu, beliau memenangi balik tempatnya sebagai Ketua bahagian Umno Johor Bahru dan pada pilihan raya 1990 beliau melepaskan kerusi itu kepada bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Artikel lain: