KALANGAN penganalisis dan pakar ekonomi bagaikan terkejut apabila Bank Negara kelmarin mengumumkan pertumbuhan ekonomi negara yang melonjak kukuh 7.3 peratus pada suku keempat 2007, melepasi unjuran rasmi kerajaan sebanyak 6 peratus. Ini sekali gus mengembangkan pertumbuhan kepada 6.3 peratus bagi keseluruhan tahun lalu.
Malah, pakar ekonomi asing turut terpegun dengan kemantapan ekonomi Malaysia yang di luar jangkaan mereka. Misalnya, perkhidmatan Dow Jones dalam tinjauannya ke atas 10 pakar ekonomi menjangkakan purata pertumbuhan 6.4 peratus untuk suku keempat dan 6.1 peratus untuk tahun penuh 2007.
Bank Negara menyatakan pertumbuhan kukuh ekonomi dalam tempoh suku keempat tahun lalu itu adalah berikutan hasil permintaan dalam negara yang teguh didorong kegiatan perbelanjaan pengguna dan pelaburan swasta yang terus mapan. Ini, diperkukuhkan lagi oleh perbelanjaan sektor awam yang terus meningkat.
Pertumbuhan ekonomi negara dijangka terus mapan tahun ini disokong permintaan dalam negara yang semakin meningkat walaupun pertumbuhan global dijangka sederhana. Namun, ada di kalangan penganalisis ekonomi meramalkan pertumbuhan itu untuk tumbuh sederhana dalam tahun ini termasuk ramalan antara 5.8 hingga 6 peratus.
Namun, setakat ini pemimpin pembangkang yang rancak berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-12, belum lagi kedengaran mengeluarkan kenyataan untuk menidakkan hakikat itu, meskipun sebelum ini mereka mendakwa kerajaan sengaja memanipulasikan statistik ekonomi.
Statistik tidak bohong walaupun pembangkang sebelum ini mendakwa, ia sengaja ‘dibuat-buat’ untuk menutup kelemahan pengurusan ekonomi negara. Pembangkang seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) misalnya mengeluarkan manifesto dengan janji mahu membentuk ekonomi mapan bagi negara, tetapi mereka gagal menghujahkan kaedah melakukannya.
Pembangkang harus menerima hakikat bahawa pertumbuhan itu adalah yang tertinggi sejak Pilihan Raya Umum 2004. Tidak perlu berbalah mengenai keadaan ekonomi kerana statistik jelas menunjukkan pertumbuhan mantap, yang disokong oleh sektor pertanian dengan menyaksikan harga komoditi, khususnya minyak sawit, mencipta rekod ketinggian baru, serta sektor perlombongan yang harga minyaknya terus tinggi, serta sektor pembuatan.
Perkembangan itu juga disebabkan beberapa langkah inovatif yang diambil kerajaan termasuk memberi lebih banyak insentif kepada industri baru seperti bioteknologi dan perbankan Islam serta mengurangkan kos menjalankan perniagaan.
Usaha kerajaan meningkatkan mutu sistem penyampaian awam serta langkah menurunkan cukai korporat daripada 28 peratus pada 2006 kepada 26 peratus tahun ini dan 25 peratus tahun depan, turut membantu pertumbuhan ekonomi tahun lalu.
Memang kenaikan harga makanan memberi kesan buruk keseluruhannya kepada masalah kemiskinan di Asia sehingga menimbulkan demonstrasi jalanan dan protes di Myanmar, Pakistan, Indonesia dan Malaysia. Hakikatnya, kenaikan harga makanan pada peringkat global mencapai hampir 40 peratus pada 2007 dan kesannya dirasai banyak negara termasuk Malaysia.
Pakar melihatnya sebagai isyarat daripada masalah yang melanda itu. Faktor daripada peningkatan permintaan terhadap makanan dan kenaikan harga minyak pada peringkat global menyebabkan kenaikan kos makanan utama seperti beras, tepung dan susu.
Pakar ekonomi termasuk calon di kalangan parti pembangkang yang berkelulusan ekonomi perlu memperjelaskan isu ini secara rasional berdasarkan ilmu ekonomi, bukan ungkapan retorik untuk mendapat sokongan popular, dengan berbohong mengenai keadaan sebenar.
Pas, PKR dan DAP bolehlah membuat pelbagai janji dalam manifesto masing-masing, tetapi mereka gagal untuk tampil dengan kaedah terbaik mengurus ekonomi termasuk bagaimana mendapatkan sumber kewangan.
Oleh itu, pertumbuhan paling kukuh ekonomi negara pada suku keempat tahun lalu dan alirannya dijangka berterusan untuk suku pertama tahun ini, bermakna apa yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang adalah betul.
Apa yang paling penting ialah kerajaan membuat keputusan yang inovatif untuk menggalakkan pertumbuhan masa depan dengan memperkenalkan konsep koridor pembangunan. Konsep itu dapat memastikan negara sentiasa mempunyai pembangunan baru, sekali gus menggalakkan perniagaan kepada sektor swasta.
Malah, seluruh negara kini terbabit secara langsung dalam pembangunan berskala besar yang ideanya datang daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan disokong oleh pasukan pakar ekonomi yang mantap seperti Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Rakyat perlu memberi peluang kepada kerajaan ini untuk meneruskan agenda ekonomi yang cemerlang supaya perancangannya tidak terbantut. Hakikatnya, perkembangan itu memberi petanda baik bahawa pelabur yakin dengan pendekatan yang dilaksanakan kerajaan seperti transformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta dasar mesra swasta.
Kestabilan politik juga penting dalam menentukan perkembangan ekonomi negara. Jika tidak ada kestabilan politik dan negara tidak aman, pasti pelabur tidak datang untuk melabur kerana matlamat mereka adalah untuk meraih keuntungan, seperti amalan perniagaan biasa.
Malah, ekonomi negara yang berkembang pesat akan membolehkan kerajaan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat supaya mereka dapat hidup dalam keadaan yang senang dan selesa. Untuk memastikan keadaan ekonomi negara terus berkembang dengan baik, kerajaan akan berusaha mewujudkan negara yang aman, selamat dan makmur.
Keadaan sedemikian, mampu menarik minat pelabur asing untuk terus melabur di negara ini, sekali gus merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.
Misalnya, langkah kerajaan mewujudkan wilayah pembangunan ekonomi di seluruh negara juga dilihat mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara dan membolehkan kerajaan menyalurkan lebih banyak bantuan kepada rakyat.
Tidak pasti lagi, bagaimana pertumbuhan ekonomi untuk suku pertama tahun ini dan sepanjang 2008 meskipun penganalisis boleh membuat unjuran. Faktor luaran berikutan 2008 bakal menjadi tahun mencabar dari segi ekonomi di tengah-tengah kebimbangan global termasuk kelembapan yang tidak dijangka di Eropah, China dan Jepun serta kemungkinan kemelesetan melanda Amerika Syarikat.
Kerajaan mungkin mengambil langkah menyuntik dana selanjutnya untuk merangsang ekonomi selepas pilihan raya umum nanti. Namun, prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini dijangka menggalakkan dengan permintaan dalam negara yang meningkat akan terus memberikan sokongan kuat kepada ekonomi.
Aktiviti penggunaan dijangka terus berdaya tahan kerana keadaan pasaran buruh yang teguh dan harga komoditi yang tinggi. Aktiviti perniagaan dan pelaburan swasta yang terus berkembang sejajar pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) juga akan membolehkan ekonomi negara terus bertahan tahun ini.
Kekukuhan ekonomi itu adalah antara kejayaan gemilang kerajaan sejak 2004. Pembangkang belum teruji bagaimana untuk mengurus ekonomi andainya mereka berkuasa, tetapi bayangan awal sudah kelihatan dengan manifesto yang tidak realistik.
Bayangkan, hutang negara akan bertambah sebanyak 12 peratus atau defisit 12 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu sama dengan negara di benua Afrika jika melaksanakan janji pembangkang menjadikan Malaysia negara kebajikan seperti yang dicanang pada pilihan raya kali ini.