SEJARAH menunjukkan setiap kali pilihan raya umum, Parlimen Kota Melaka di negeri kelahiran Hang Tuah sentiasa menjadi tumpuan. Bagi pilihan raya umum edisi ke-12, keadaan sama juga berlaku dan kali ini dianggap lebih menarik kerana dua seteru lama bertanding, Barisan Nasional (BN) dan DAP dikatakan memiliki peluang seimbang.
Justeru, tidak menghairankan jika ramai berpendapat persaingan bagi merebut kerusi yang mempunyai 84,805 pengundi berdaftar, dengan 61.7 peratus pengundinya berketurunan Cina itu dijangka sengit.
Tambah memercikkan lagi ‘api peperangan’ ini, apabila empat daripada lima kerusi yang ada dalam kawasan Parlimen itu -Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, Kota Laksamana, Duyong dan Bandar Hilir, turut menyaksikan pertembungan antara calon ‘heavy weight’ BN dan DAP negeri.
Sebelum Parlimen dan DUN dibubarkan pada 13 Februari lalu, BN mewakili Kota Melaka, selain DUN Kesidang dan Duyong, masing-masing menerusi Wong Nai Chee, Datuk Koh Nai Kwong dan Gan Tian Loo manakala DAP di Kota Laksamana dan Bandar Hilir, masing-masing menerusi Betty Chew Gek Cheng dan Goh Leong San.
Satu lagi DUN di Parlimen ini iaitu Telok Mas yang majoritinya pengundi Melayu dimenangi Datuk Wira Amid Nordin.
Menyusuri sejarah pilihan raya umum, Parlimen Kota Melaka mendapati saingan antara BN dengan DAP bermula sejak 1969 iaitu pada tahun tragedi 13 Mei tercetus. Sepanjang tempoh itu sehingga 2004, kerusi ini diwakili DAP sembilan kali dan BN hanya berpeluang sekali.
Pada 1969, DAP memenangi kerusi ini menerusi penasihat parti itu sekarang, Lim Kit Siang, sebelum disusuli pada 1974 menerusi Chan Teck Chan. Kit Siang kemudian kembali pada 1978 dan mengekalkan semula kerusi itu pada 1982.
Kemudian diteruskan anak lelakinya, Lim Guang Eng pada 1986. Seperti bapanya, Guang Eng juga tidak kurang handalnya apabila mempertahankan kerusi itu dua kali pada 1990 dan 1995.
Pada 1999, DAP meletakkan muka baru bertanding iaitu Ker Kim Hock dan Setiausaha Agung pembangkang itu turut berjaya mengecewakan BN. Ibarat pepatah lama, langit tidak selalu cerah dan pada 2004, keegoan DAP selama 35 tahun itu akhirnya runtuh juga, apabila kerusi berkenaan berjaya dirampas BN.
Ironinya, calon BN yang menawan kerusi itu, Wong Nai Chee lahir pada tahun sama DAP memenanginya kali pertama. Kemenangan itu biarpun dengan majoriti kecil iaitu 219 undi, meletakkan status Wong sebagai ‘giant killer’, manakala bagi BN, ia adalah pembakar semangat untuk menyapu bersih semua baki kerusi milik pembangkang itu kali ini.
Pada pilihan raya kali ini, Wong diberi mandat sekali lagi mewakili BN di Kota Melaka dan dicabar Pengerusi Jawatankuasa Strategi Politik DAP negeri, Sim Ton Him, manakala pada peringkat DUN, Koh turut diberi mandat semula dan dicabar Goh yang juga Pengerusi DAP negeri.
Cabaran BN untuk merobohkan penguasaan DAP, diwakili Betty yang juga isteri Guang Eng di Kota Laksamana dikibarkan Lee Kiat Lee, manakala Tian Loo, anak lelaki orang kuat MCA Melaka, Datuk Wira Gan Bong Leong terus diberi kepercayaan bertanding di situ bagi berdepan tentangan Bendahari DAP negeri, Damian Yeo Shen Li.
Bandar Hilir pula, BN sekali lagi meletakkan Chock Choon Sin selepas gagal cubaan 2004, bersaing dengan muka baru, Tey Kok Kiew, manakala di Telok Mas, tempat Amid diambil alih Datuk Latip Tamby Chik yang dicabar calon Pas, Abd Rahman Jaafar.
Bagi Parlimen Kota Melaka, majoriti penganalisis meramalkan sama seperti sebelumnya, pilihan raya kali ini sukar untuk menentukan pemenangnya, kerana kedua-dua parti memiliki peluang seimbang. Perubahan terhadap kecenderungan pengundi dijangka hanya dilihat beberapa jam sebelum pengundian 8 Mac ini.
Bagaimanapun, ada juga yang optimis, Wong mampu mempertahankan kerusi itu sekali lagi berdasarkan pelbagai faktor semasa terutama dari segi langkah bijak BN menunaikan majoriti janjinya dalam pilihan raya lalu, selain kerja keras jentera pilihan raya parti yang dikemudi Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
“Kedudukan BN kali ini berbeza, dulu ia hendak merampas kerusi ini daripada DAP, tetapi sekarang berada di posisi bertahan. Macam main bola, sebagai penyandang ia berdepan serangan bertubi-tubi lawan, sekali gus memaksa strategi yang diguna pakai selama 35 tahun, diubah.
“Sejauh mana mereka boleh menangani keadaan, inilah bakal menjadi penentu kedudukan Wong kerana Kota Melaka tetap dianggap kubu kuat DAP. Sebab itu, kerusi ini sentiasa dianggap ‘panas’ dan setiap kali pilihan raya ia seperti perang besar," kata seorang penganalisis yang mengikuti rapat perkembangan politik Kota Melaka.
Seorang penganalisis lain pula berpendapat, kemampuan BN mempertahankan kerusi Kota Melaka kali ini banyak bergantung kepada kecenderungan golongan kelas pertengahan, berbanding pengundi berlatar belakang lain. Mereka ini yang bilangannya besar dalam senarai daftar pemilih, majoritinya dikategorikan pengundi atas pagar.
Tunggu dan lihat adalah pendekatan mereka, tetapi sering kali keputusan dibuat dikatakan berkait rapat dengan isu semasa. Mereka ini ‘tidak makan pujuk’ dengan kempen BN termasuk pelbagai projek pembangunan yang dilaksanakan kerajaan di situ kerana menganggap itu adalah tanggungjawab kerajaan.
“Mereka ini lebih tertarik kepada isu berkaitan dengan kepentingan diri mereka seperti kenaikan minyak, tol dan harga barang. Kalau terjejas, mereka mungkin memberi undi kepada pembangkang. Jadi jentera BN kena kerja keras memberi penerangan kepada mereka mengenai usaha dilakukan kerajaan.
“Ia termasuk menerusi internet. Kebanyakan golongan pertengahan ini lebih gemar mencari maklumat menerusi kaedah ini berbanding menghadiri ceramah. Sebab itu, tindakan Wong menyediakan laman web sendiri bagi menghadapi pilihan raya sebagai satu tindakan bijak,” kata seorang penganalisis lagi.
Dalam pada itu, kemungkinan BN mampu mempertahankan semula Kota Melaka turut dipengaruhi kedudukan pencabar Wong iaitu Sim yang bukan calon ‘heavy weight’ sebenar berbanding Kerk dan Guang Eng sebelum ini. Sebagai rekod, Sim sudah berusia 60 tahun dan ditolak pengundi DUN Ayer Keroh pada Pilihan Raya Umum 2004.
Di samping itu, strategi pembangkang itu sendiri seolah-olah cuma mahu menumpu kemenangan kerusi DUN. Ia dapat dilihat apabila Goh yang juga penyandang kerusi Bandar Hilir diletak bertanding di Kesidang, kerusi yang kini semakin menjadi kubu kuat Koh yang juga Presiden Persekutuan Teo Chew Malaysia.
“Memang mereka hendak menang Kota Melaka, tetapi keinginan tidaklah setinggi berbanding jika dapat memenangi DUN Kesidang. DAP sekarang yakin dapat mempertahankan DUN Kota Laksamana kerana Betty disukai di situ, manakala Bandar Hilir dianggap ‘simpanan tetap’ DAP biarpun calon mereka di situ muka baru.
“Keputusan untuk meletakkan Goh di Kesidang yang sudah dua penggal menjadi wakil rakyat adalah strategi paling getir dibuat DAP. Kini, pengundi di situ sudah berbelah bagi. Jika mengekalkan Koh, bermakna pembangunan akan lebih banyak di situ dan pada masa sama suara lantang Goh di dewan tidak kedengaran lagi,” katanya.
Dalam pada itu, BN dijangka tidak berdepan masalah besar untuk mengekalkan DUN Duyong yang dimenangi BN sejak tiga penggal lalu, selain Telok Mas. Pengundi bagi kedua-dua kerusi ini pada pilihan raya umum lalu dikatakan penyumbang utama kepada kemenangan Wong dan pastinya dijangka membuat keputusan serupa kali ini.