|


Pakar akui Manifesto BN pelengkap Negara Kebajikan

DUA tokoh akademik menyifatkan Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum 8 Mac ini sebenarnya sudah melengkapkan “Negara Kebajikan”.

Malah, ia lebih baik dan menyeluruh daripada negara kebajikan yang diuar-uarkan parti pembangkang khususnya Pas.

Bagi kedua-dua tokoh itu, manifesto pembangkang sebenarnya tidak mampu mengangkat martabat rakyat negara ini ke satu era yang boleh dibanggakan generasi akan datang.

Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Rafiah Salim berpendapat ketelusan kerajaan dapat dilihat menerusi Manifesto BN itu yang disifatkan ‘lebih Islam’ berbanding Manifesto Pas Kelantan.

“Manifesto BN sungguh komprehensif terutama menyentuh aspek pembangunan dan melahirkan modal insan cemerlang pada masa depan,” katanya kepada Bernama, di Kota Bahru.

Rafiah, adalah anak Kelantan dan begitu tertarik dengan manifesto itu yang mahu memperkasakan bidang pendidikan di negara ini terutama dalam pemberian biasiswa kepada mereka yang terdiri daripada keluarga miskin.

“Inilah konsep Islam membantu tanpa mengira fahaman agama dan bangsa. Dengan ada biasiswa, tidak ada lagi mereka yang tercicir dalam pelajaran disebabkan faktor kemiskinan.

“Saya daripada keluarga susah, saya tahu bagaimana sukarnya jika tidak ada sumber kewangan untuk berjaya dalam pelajaran tetapi dengan ada kerajaan sekarang, saya mampu berada sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Rafiah yang dilahirkan pada 13 Mei 1947 di Kelantan mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang dalam sektor awam dan swasta serta pada peringkat antarabangsa.

Antara jawatan yang pernah disandangnya ialah Penolong Setiausaha Agung bagi Pengurusan Sumber Manusia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB); Penolong Gabenor Bank Negara dan Pengurus Jabatan Sumber Manusia Malayan Banking Berhad (Maybank).

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dzulkifli Abdul Razak pula menyifatkan manifesto pembangkang sebagai ‘gula-gula pilihan raya’ yang tidak boleh menjadi satu realiti.

“Negara kebajikan apa lagi, semuanya sudah dilaksanakan kerajaan yang memerintah sekarang seperti dalam bidang pendidikan yang menghapuskan yuran, pinjaman buku teks dan meningkatkan jumlah pelajar ke universiti.

“Sukar bagi saya untuk bayangkan apa lagi kebajikan yang kerajaan tidak laksanakan lagi dan sebab itu manifesto pembangkang saya boleh katakan sebagai tidak realistik,” katanya.

Beliau berkata, antara perkara lain yang boleh diistilahkan sebagai kebajikan adalah dalam konteks pemberian pelbagai subsidi terhadap pendidikan, minyak dan perubatan yang banyak meringankan beban terutama kepada mereka yang berpendapatan rendah.

Dzulkifli berkata, negara kebajikan yang didakwa pembangkang itu hanya sekadar slogan semata-mata seperti slogan ketika saban pilihan raya umum sebelum ini.

“Slogan seperti ini ia tidak jelas, sekadar retorik dan untuk memancing undi semata-mata,” katanya.

Beliau mahu rakyat membuat penilaian sebaik mungkin erti negara kebajikan pembangkang itu dengan apa yang sudah Kerajaan Pusat lakukan terhadap rakyat.

“Manifesto BN yang terbaru ini sebenarnya melengkapkan erti kata kebajikan yang sempurna sebelum ini,” katanya.

Manifesto BN setebal 23 halaman berteraskan kepada Selamat, Aman dan Makmur turut menggariskan laporan kemajuan serta ikrar kerajaan BN untuk terus membela nasib rakyat serta menjadikan hasrat Malaysia mencapai status negara maju satu realiti.

Artikel lain: