APABILA empat ketua bahagian Umno di Terengganu tidak diumumkan sebagai calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum kali ini, banyak pihak membuat spekulasi mengenai kedudukan Barisan Nasional (BN) Terengganu.
Pas pula menggembar-gemburkan cerita bahawa peristiwa 1999 akan berulang. Tambahan pula ada segelintir penyokong Umno yang tidak berpuas hati dengan tindakan itu, berkumpul di hadapan kediaman Menteri Besar untuk menyuarakan bantahan mereka.
Hari ini ternyata apa yang dimimpikan pihak pembangkang adalah meleset sama sekali. Seperti kata Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, tindak balas itu boleh difahami dan bersifat sementara. Ini berlaku kerana pemimpin terbabit masih mahu meneruskan khidmat mereka terutama ketika Terengganu menyaksikan satu era perubahan pembangunan yang hebat.
Sambil tidak menafikan persahabatan dan hubungan baik dengan mereka yang tidak dicalonkan, Idris menyatakan bahawa apa yang berlaku hanyalah ‘penggiliran’ jawatan dengan muka baru. Ia bukanlah ‘pengguguran’ seperti didakwa.
Penggiliran jawatan diperlukan kerana parti harus mengalami proses penyegaran dan inilah masa sesuai untuk melakukannya. Penyegaran adalah satu proses untuk mewujudkan golongan pelapis yang menjadi kesinambungan kepada pemimpin masa depan.
Agak pahit untuk menerima hakikat penggiliran terutama ketika diri dirasakan masih boleh memberi khidmat. Namun, memahami hakikat pemimpin datang dan pergi, semua mereka yang tidak tersenarai secara sukarela mengiringi calon baru ke tempat penamaan calon.
Selepas kempen berjalan selama empat hari, mereka juga bersama-sama menggerakkan jentera yang diketuai selama ini untuk memastikan BN mencapai kemenangan besar pada 8 Mac nanti.
Bila dianalisa secara mendalam, tindakan Idris ini bukanlah sesuatu yang lahir secara mendadak. Sejak dari awal lagi beliau sudah membuat persiapan yang cukup untuk Umno dan rakyat Terengganu bagi menghadapi perubahan.
Idris memulakan pemerintahan Terengganu dengan agenda perubahan minda. Beberapa agensi kerajaan ditubuhkan untuk menjalankan gerak kerja dan aktiviti bagi memastikan rakyat faham bahawa untuk maju dan berdaya saing, perubahan minda perlu berlaku.
Antaranya ialah penubuhan U-Best dan Pusat Minda Terengganu. Penubuhan agensi seumpama ini antaranya bertujuan untuk memberi kefahaman kepada rakyat, yang juga boleh diambil iktibar oleh ahli parti bahawa jawatan dalam politik tidak semestinya menjamin jawatan dalam kerajaan.
Oleh itu, Idris menyatakan bahawa ketua cawangan Umno tidak semestinya menjadi ketua JKKK. Ini berlaku di beberapa kawasan di Terengganu.
Sudah tentu ini bukanlah satu tindakan popular kerana ia berbeza sedikit daripada amalan biasa. Tetapi itulah kenyataannya kalau perubahan hendak dilakukan. Paling tidak, usaha ini akan meredakan perlumbaan untuk memenangi jawatan parti pada setiap peringkat.
Perubahan bukanlah sekadar untuk berubah dan berbeza dengan orang lain. Tetapi ia adalah untuk kebaikan rakyat. Tindakan drastik Idris selepas pilihan raya 2004 adalah sebagai menyahut cabaran Perdana Menteri bahawa Terengganu akan menerima pembangunan yang tidak pernah mereka gambarkan sebelum ini.
Justeru apabila negeri dimenangi semula, Idris tidak ada pilihan melainkan terus menyingsing lengan mengetuai kerajaan untuk memastikan semua janji manifesto tambahan BN Terengganu dipenuhi. Malah, dengan momentum yang ada, beliau mampu memberi lebih daripada yang dijanjikan.
Pembinaan Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu adalah manifestasi kepada pembangunan yang tidak pernah digambarkan oleh rakyat Terengganu dan ia tidak pun dijanjikan dalam manifesto berkenaan.
Sesungguhnya jika tindakan cekap dan cepat tidak diambil, Terengganu yang sudah menjadi terkebelakang selama pemerintahan empat tahun Pas, akan terus ketinggalan. Akan tetapi pendekatan ‘tiada halangan hanya peluang’ yang diambil oleh Idris, menjadikan nama Terengganu semakin popular dalam masa empat tahun saja.
Dari segi infrastruktur, Terengganu mempunyai lapangan terbang yang lebih besar dan canggih dan bersedia untuk menerbangkan jemaah haji terus ke Makkah mulai musim haji tahun ini. Terengganu juga bakal mempunyai kompleks sukan baru tersedia untuk Sukma 2008 Mei ini.
Lebuh raya yang dijanjikan pada 2004 rancak dalam pembinaan. Ia akan membolehkan perjalanan berkereta ke Kuala Lumpur dalam masa kurang empat jam saja. Infrastruktur ‘Monsoon Cup’ juga penting untuk membuka jalan Terengganu muncul dan dikenali pada peringkat dunia.
Di bidang pendidikan Terengganu menerima tiga universiti awam dalam masa yang amat singkat. Selain Universiti Darul Iman (UDM) yang dijanjikan pada 2004, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dinaik taraf dari sebuah Kolej Universiti. UiTM juga membuka dua kampus cawangan di Terengganu, iaitu di Cendering, Kuala Terengganu dan Bukit Besi Dungun.
Semua ini adalah persediaan kepada rakyat Terengganu untuk melangkah ke era yang lebih cemerlang, disebut oleh Idris sebagai ‘Memahat Sejarah Mencipta Tamadun’. Era ini memerlukan pemimpin yang boleh mengajak rakyat membuka minda dan bersedia mengambil bahagian secara maksimum terhadap apa yang sudah dan akan dibangunkan.
Dengan itu, Pas Terengganu sebenarnya perlu mengadakan muhasabah diri sebelum memasang angan-angan untuk memerintah semula Terengganu. Mereka yang sepatutnya memperkenalkan lebih ramai muka baru, bukan mengekalkan sebahagian mereka yang pernah dikalahkan dalam pilihan raya 2004.
Kedatangan Mohammad Sabu bertanding di Kuala Terengganu memberi pernyataan jelas bahawa Pas ketandusan calon tempatan. Tidak hairanlah jika Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang enggan bersalam dengan lawannya untuk kerusi Parlimen, Datuk Dr Ahmad Ramzi Zubir.
Secara tidak sedar beliau menzahirkan kegusarannya terhadap kehebatan calon BN yang juga berkelulusan Universiti Al Azhar dan United Kingdom itu. Jika sekiranya diberi alasan beliau tidak mengenali calon itu, apa salahnya menyahut salam dihulur seorang Muslim berpakaian kebangsaan yang kebetulan lalu di hadapan kita?