SELEPAS tinggal enam hari lagi untuk mengundi bagi Pilihan Raya Umum Ke-12, kempen parti yang bertanding semakin sengit. Jika beberapa hari selepas penamaan calon, parti politik sibuk memperkemaskan jentera di mana perlu, terutama di kawasan yang membabitkan calon muka baru dan memperjelaskan manifesto masing-masing, sehingga Sabtu ini pelbagai taktik akan digunakan terutama parti pembangkang bagi mencari kemenangan.
Seperti biasa, apabila pembangkang mula berasakan manifesto mereka tidak mampu menyaingi manifesto Barisan Nasional (BN), terutama dari segi rekod kejayaan lalu, realiti semasa dan kemampuan mengotakan janji, mereka berbalik kepada taktik paling mudah yang juga paling hodoh dalam sistem politik, iaitu melemparkan serangan peribadi.
Dalam mana-mana percaturan politik, serangan peribadi sentiasa menjadi senjata terakhir, terutama oleh pihak yang berasakan akan tewas atau tidak mampu menyaingi pencapaian lawan secara rasional. Taktik sama digunakan dalam kempen pencalonan Presiden Amerika Syarikat bagi Parti Demokrat antara Hillary Clinton dan Barrack Obama sekarang.
Terbaru, pakaian tradisional Somalia yang dikenakan Obama ketika melawat negara moyangnya, Kenya, dua tahun lalu diedarkan melalui internet dipercayai oleh kumpulan Clinton dengan mengaitkannya sebagai pakaian orang Islam, umat yang kini paling ditakuti oleh majoriti rakyat negara itu.
Di negara ini, selepas seminggu tempoh berkempen, pembangkang sama ada daripada Pas, DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) mula melancarkan serangan peribadi dan taktik memaki hamun dalam ceramah mereka. Bagaimanapun, taktik itu bukan sesuatu yang baru di kalangan pembangkang setiap kali pilihan raya, cuma tuduhan dan fitnah saja berbeza.
Malah, sebelum penamaan calon lagi, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah menyamakan penyokong Umno dengan ‘Orang Utan’ kerana kononnya menolak ajaran Islam dan al-Quran. Pas Kelantan, katanya, bukan berdepan dengan parti politik di negeri itu dalam pilihan raya kali ini, sebaliknya Orang Utan yang tidak tahu undang-undang.
Pas turut menjadikan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, yang dinamakan Umno sebagai bakal Menteri Besar jika BN memerintah Kelantan. Kerana peribadi Dr Awang Adek sukar untuk dicalarkan, Pas menjadikan seorang anak beliau, penghidap autisme, kononnya kerana ‘daripada baka tak baik’ untuk memburukkan calon BN bagi Parlimen Bachok dan DUN Perupok.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula mengeluarkan ‘fatwa’ terbarunya dalam satu ceramah di Besut baru-baru ini, yang membenarkan semua calon parti itu mengumpat, membuat tuduhan serta mendedahkan keburukan lawan masing-masing.
‘Fatwa’ itu kelmarin disokong oleh Nik Abdul yang berkata, mengumpat memang dibenarkan dalam Islam dan Abdul Hadi sebagai seorang alim, mengetahui apa yang diperkatakannya.
“Memang saya setuju dengan kenyataan Datuk Seri Presiden (Abdul Hadi) itu, dalam mencari kebenaran dan memilih pemimpin, kita terpaksa mengumpat. Memang saya bersetuju dengannya. Tetapi saya minta surat khabar janganlah panjangkan lagi perkara itu, ia memburukkan keadaan. Dia (Abdul Hadi) orang yang sangat alim, dia tahu apa yang diperkatakan,” katanya.
Bagi DAP dan PKR pula, sasaran utama mereka ialah pemimpin kanan BN, termasuk Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak. Serangan peribadi pembangkang tidak terbatas di kalangan pemimpin veteran mereka, tetapi turut dilakukan muka baru yang berpendidikan dan profesional.
Calon DAP bagi Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dalam satu ceramah di Brickfields, malam Khamis lalu, misalnya, berulang kali mengutuk Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin sehingga memanggil Khairy sebagai ‘beruk’ kerana kononnya beliau pernah mengecam kumpulan penyokong Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf).
Tindakan pembangkang meningkatkan serangan peribadi lawan mudah difahami. Pertamanya, mereka tidak mungkin meyakinkan rakyat mengenai prestasi kerajaan selama ini apabila manifesto BN kali ini, selain mengemukakan janji yang bakal dilaksanakan untuk lima tahun akan datang, ia turut membentangkan kad kemajuannya mengenai janji Pilihan Raya Umum 2004 yang sudah dilaksanakan.
Keduanya, mereka berharap serangan peribadi dan fitnah yang bertalu-talu itu akan dijawab pemimpin BN, lalu akan berlaku tuduh menuduh sehingga petugas BN tidak lagi menumpukan perhatian kepada isu sebenar yang dekat dengan hati pengundi – sebuah kerajaan yang mampu dan sudah terbukti dapat membela kepentingan mereka.
Pembangkang bagaikan cacing kepanasan apabila setiap tuduhan yang dilemparkan tidak dipedulikan oleh pucuk pimpinan BN. Sebaliknya, pemimpin BN, terutama Abdullah dan Najib dalam kempen mereka di seluruh negara setakat ini memberitahu rakyat apa yang BN sudah lakukan untuk rakyat keseluruhan dan akan dilaksanakan selepas mendapat mandat baru nanti.
Pas pula tidak seghairah dulu menjaja Islam, walaupun terus berbuat demikian dalam kempen mereka. Pengalaman beberapa pilihan raya umum lalu membuktikan majoriti rakyat negara ini masih mahukan pembangunan bukannya retorik politik Islam.
Pendekatan Islam Hadhari oleh kerajaan, walaupun terus dikritik, turut mengikat parti itu daripada terus menggunakan Islam sebagai modal kempen mereka sehingga mereka untuk pertama kali menggugurkan perjuangan menubuhkan ‘negara islam’ dalam manifestonya.
Hakikatnya, Pas sebenarnya bukan parti Islam, tetapi parti politik yang berjuang untuk mencari kuasa politik dalam negara yang mengamalkan demokrasi. Sebagai parti politik, Pas tidak boleh lari daripada mengatur strateginya sendiri, termasuk menggunakan taktik yang bercanggah dengan ajaran Islam sendiri seperti memfitnah dan memaki hamun.
Antara strategi Pas ialah menggunakan Islam untuk mencari kesalahan Umno, walaupun Umno lebih banyak melaksanakan program meningkatkan martabat dan akidah umat Islam lebih banyak dilakukan oleh Umno daripada Pas. Ideologi dan akidah sama sekali tidak sama. Ideologi adalah kaedah yang lahir daripada pemikiran manusia sedangkan akidah ialah prinsip yang ditetapkan oleh Allah.
Tidak ada agenda pembangunan negara dan ummah dalam politik Pas. Agenda politik Pas ialah menjatuhkan Umno. Sebab itulah politik Pas cuma menghentam Umno dan memburuk-burukkan apa saja yang dilaksanakan oleh Umno. Dasar perjuangan Pas sudah terbukti memecahbelahkan masyarakat Melayu.
Rakyat negara ini juga menolak politik perkauman seperti yang dimainkan oleh DAP. Kegagalan DAP dalam pilihan raya umum sebelum ini membuktikan taktik dan dasar perjuangan parti itu sudah ketinggalan zaman.