KEMPEN Pilihan Raya Umum Ke-12 semakin menghampiri penghujungnya, tetapi arus politik di Negeri Sembilan masih kelihatan tenang pada ketika pucuk kepemimpinan Barisan Nasional (BN) cuba melakar kembali rekod kemenangan 100 peratus yang pernah dicapai pada 1999 berulang dalam pilihan raya kali ini.
Bagaimanapun, dalam ketenangan itu, tetap ada ‘buaya’ – kumpulan yang sentiasa mencari peluang untuk menyambar mangsa yang terleka dan itu fungsi pembangkang yang mencuba apa saja cara, termasuk serangan peribadi, sentimen agama dan kaum untuk meraih simpati pengundi.
Pada 1999, ketika prestasi BN di kebanyakan negeri merosot, BN di Negeri Sembilan memenangi semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tujuh kawasan Parlimen dipertandingkan. Bagaimanapun, rekod itu tercalar pada 2004 apabila DAP merampas dua kerusi DUN, Lobak dan Bahau yang sememangnya majoriti pengundi Cina.
Kali ini, DAP tetap memilih kawasan majoriti Cina dan terus memainkan sentimen masyarakat itu, termasuk isu berhubung kegagalan pembinaan sekolah cina, manakala Pas pula dianggap masih asing dan tidak dapat meluaskan pengaruhnya di negeri tanah beradat ini.
Sekutu Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus menabur janji kosong dan hanya mampu memainkan isu nasional seperti kenaikan harga barang dan minyak, tetapi jawapan pantas BN lantas membuatkan parti Anwar Ibrahim itu beralih kepada kempen bercorak serangan peribadi, terutama terhadap calon utama BN seperti Khairy Jamaluddin.
BN menghadapi suasana pilihan raya kali ini dengan selesa dan tenang kerana tidak banyak isu tempatan yang boleh menggugat kepercayaan pengundi, kecuali fitnah dan dakyah pembangkang yang pandai mengutarakan cakap-cakap kosong.
Daripada beberapa siri penerangan dan ceramah diadakan, DAP seperti biasa memperjuangkan isu yang dianggap sangat remeh dan sebahagiannya sudah dibereskan oleh kerajaan, terutama pihak berkuasa tempatan dan bakinya dalam pelaksanaan.
Pas dengan misi kononnya mahu mewujudkan negara kebajikan kelihatan lebih banyak memainkan isu nasional dan antarabangsa yang bukan dalam kawalan kerajaan seperti kenaikan harga minyak, manakala PKR pula ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’.
Sebagai pilihan untuk survivalnya, PKR lebih suka mencipta isu remeh-temeh, menyentuh peribadi dan membuat laporan polis terhadap peribadi calon BN tertentu, tentunya Khairy di Parlimen Rembau, tetapi ia langsung tidak meninggalkan kudis kepada pemimpin muda Umno itu.
Khairy, sebaliknya meneruskan siri kempen dalam jadual padatnya sehingga hari pembuangan undi 8 Mac ini dengan mengunjungi bilik gerakan Umno dan BN serta bertemu dan bermesra dengan masyarakat, termasuk di pasar malam.
Menyentuh serangan terhadap peribadinya, Khairy yang gembira dengan reaksi positif pengundi di Rembau terhadap kehadirannya berkata, beliau tidak akan terpedaya helah kotor seperti itu yang mungkin dianggap dapat mendorongnya mengambil tindakan sama terhadap pemimpin mereka.
“Saya tak akan ikut rentak pembangkang... jika mereka guna kempen negatif, sudah tentu mereka harap saya buat perkara sama, tetapi apa yang penting bagi saya adalah pengundi, bukan pembangkang. Saya jangka mereka akan guna strategi sama, memburukkan dan menyerang peribadi pemimpin BN tertentu.
“Sudah tentu pembangkang akan bangkitkan pelbagai isu dan fitnah, tetapi bagi saya tak perlu beri reaksi terhadap apa yang mereka buat. Tugas saya adalah meyakinkan pengundi yang saya mahu berkhidmat untuk rakyat, bukan memburukkan orang lain.
“Tujuan utama saya bertanding adalah untuk pengundi, biar pembangkang serang saya kerana akhirnya pilihan terletak di tangan rakyat, sama ada memilih orang yang akan membantu mereka atau orang yang hanya mahu memburukkan orang lain,” katanya.
Dalam suasana tenang ini, BN menumpukan perhatian ke sembilan kawasan DUN yang calonnya mendapat majoriti kurang 1,000 undi pada pilihan raya lalu, dengan kempen dan penerangan dilipat gandakan bagi membolehkan pengundi memilih pembangkang kembali menyokong kerajaan.
Daripada 36 DUN pada 2004, sembilan kerusi dimenangi BN dengan majoriti kurang 2,000 undi membabitkan dua ditandingi Umno di Seri Menanti dan Klawang, lima lagi oleh MCA di Chennah, Temiang, Mambau, Rahang dan Lukut, manakala kerusi Bukit Kepayang oleh Gerakan dan MIC di Port Dickson.
Pilihan raya umum lalu menyaksikan DUN Lobak dan DUN Bahau yang ditandingi wakil MCA dimenangi DAP, masing-masing dengan kelebihan 1,842 dan 642 undi, tetapi wakil pembangkang di Bahau, Lim Fui Ming kemudian menyertai MCA, tahun lalu dan dicalonkan semula sebagai wakil BN mempertahankan kerusi sama.
Bagi lapan kerusi Parlimen pula, pembangkang dijangka tidak memberi persaingan sengit dan kalau ada pun sedikit persaingan diramalkan cuma di Rasah, antara MCA dan DAP.
Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata rakyat perlu mengekalkan BN sebagai kerajaan bagi memastikan proses kesinambungan untuk membolehkan pembangunan dan kemakmuran negara dapat diteruskan.
Mengenai isu dibangkitkan pembangkang, beliau yang juga Menteri Besar berkata, mereka memang sengaja mencari dan mencipta sesuatu isu kerana itu saja modal yang ada untuk menarik sokongan dan mendapat perhatian.
Namun, bagi membolehkan BN mencapai kemenangan besar, ia memerlukan perpaduan kukuh, khususnya di kalangan pemimpin kanan parti, termasuk penyandang kerusi yang tidak dicalonkan semula yang perlu menunjukkan teladan terbaik untuk menjadi ikutan penyokong.
Kali ini, Negeri Sembilan menampilkan 16 muka baru, termasuk Khairy dan dua lagi wakil Pemuda, iaitu Abdul Samad Ibrahim di DUN Seri Menanti dan Zaiful Bahri Idris, di DUN Chembong.
Muka baru lain daripada Umno bagi kerusi DUN ialah Samsul Kahar Mohd Deli (Serting), Mohd Nor Awang (Ampangan), Mustapha Salim (Lenggeng), Datuk Hasim Rusdi (Labu), Adnan Abu Hasan (Pilah) dan Zainab Nasir (Gemas).
Teruskan menyokong parti dan setiap calon yang diberi kepercayaan kerana amat penting serta mengetepikan sentimen peribadi untuk membolehkan BN terus dijulang dengan mandat lebih besar pada 8 Mac ini.