BARISAN Nasional (BN) Sarawak dijangka tidak menghadapi sebarang masalah untuk menang lebih dua pertiga kerusi Parlimen di negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac ini, apa lagi isyarat cukup kuat sudah diberikan menerusi kemenangan tanpa bertanding lima calonnya. Malah penganalisis politik meramalkan undi popular BN di Sarawak dijangka meningkat sekurang-kurangnya sekitar 68 hingga 70 peratus berbanding 62 peratus pada 2004.
Kemenangan tanpa bertanding BN di lima kubu kuatnya – Tanjong Manis (Norah Abdul Rahman), Kapit (Alexander Nanta Linggi), Kanowit (Aaron Ago Dagang), Selangau (Joseph Entulu Belaun) dan Igan (Datuk Wahab Dolah), disifatkan oleh penganalisis politik di Sarawak sebagai memperlihatkan trek rekod baik dasar politik pembangunan di bawah kerajaan pimpinan Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Penampilan beberapa muka baru, semuanya berkelulusan universiti diterima baik penduduk setempat. Ini termasuk, anak Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib untuk bertanding kerusi Parlimen Kota Samarahan dan Nancy Shukri (Parlimen Batang Sadong). Seorang lagi calon wanita ialah Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Karim yang kekal bertanding di Batang Lupar.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir, berkata ia juga membuktikan bahawa calon diletakkan BN diiktiraf oleh pengundi di kawasan terbabit, sehingga mereka diberikan anugerah menang tanpa bertanding.
“Ia adalah pengiktirafan terhadap calon yang dipilih BN. Tidak ada calon pembangkang berani menentang mereka (calon BN terbabit) kerana pembangkang tahu jika mereka bertanding juga di situ sama juga seperti ‘bunuh diri’ dalam politik,” katanya.
BN sememangnya begitu teliti dalam soal pemilihan calon dan memastikan semua 31 calonnya untuk 31 kerusi Parlimen bukan saja berpengalaman dalam bidang masing-masing, malah berpendidikan tinggi dan 100 peratus kalangan graduan.
Ia berbeza dengan pembangkang, terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dilihat sebagai ‘tangkap muat’ dalam soal pemilihan calon kali ini dengan sebahagian besarnya tidak mempunyai latar belakang pendidikan tinggi serta pengalaman dalam bidang pentadbiran atau bidang lain yang berkaitan.
Jeniri optimis BN tetap boleh menang besar di Sarawak, namun mungkin menghadapi sedikit kesukaran untuk menang di semua 26 kerusi yang akan dipertandingkan 8 Mac ini, terutama di kawasan majoriti pengundi Cina.
“Saya melihat peluang sedikit sukar untuk BN di kawasan yang diwakili calon daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) terutama di Parlimen Bandar Kuching, Sibu dan Sarikei. Semua kawasan lain saya yakin SUPP, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) akan sapu bersih,” katanya.
SUPP bertanding di tujuh kerusi iaitu Bandar Kuching, Stampin, Serian, Sarikei, Sibu, Lanang dan Miri. PBB menang tiga kerusi tanpa bertanding di Tanjong Manis, Kapit dan Igan serta akan bertanding di 11 lagi kerusi – Santubong, Petra Jaya, Kota Samarahan, Mambong, Batang Sadong, Batang Lupar, Betong, Mukah, Sibuti, Limbang dan Lawas. PRS pula menang tanpa bertanding di Kanowit dan Selangau dan akan bertanding di Sri Aman, Lubok Antu, Julau dan Hulu Rajang, manakala SPDP akan bertanding di empat kerusi iaitu Mas Gading, Saratok, Bintulu dan Baram.
Seorang lagi penganalisis politik, Dr Chou Chi Ming, yakin BN tetap akan menjadi pilihan utama pengundi di Sarawak bukan saja pada pilihan raya 8 Mac ini, malah untuk sekurang-kurangnya 30 tahun dari sekarang.
Dr Chou yang juga Pengerusi Persekutuan Persatuan Cina Kuching Samarahan berkata, BN adalah satu-satunya parti yang memberi peluang kepada semua kaum untuk bernaung di bawahnya seperti Umno, MCA, MIC, malah parti seperti PBB, SUPP, PRS dan SPDP di Sarawak.
“Semua kaum boleh berkongsi kuasa di bawah BN dan ia sistem terbaik yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana parti yang ada di dunia pada hari ini. Saya tidak nampak mengapa pengundi di Sarawak mahu menukar sebuah kerajaan yang mengamalkan perkongsian kuasa untuk semua kaum kepada parti pembangkang yang lebih bersifat perkauman,” katanya.
BN kata beliau, bukan saja berjaya mempertahankan kestabilan politik selama ini, malah memiliki barisan pemimpin berwibawa serta mampu melonjakkan negara, termasuk Sarawak ke tahap pembangunan lebih tinggi di masa depan.
“Kehadiran pembangkang yang bertanding di Sarawak saya lihat sekadar menunjukkan proses demokrasi berjalan dan bukan satu ancaman kepada BN. Di kawasan majoriti pengundi Cina, pendekatan calon yang bertanding setakat ini adalah sama - berjumpa rakyat, mendengar masalah rakyat, tetapi kelebihan calon BN ialah mereka tidak menjanjikan apa-apa yang mustahil dapat dilaksanakan, berbanding pembangkang yang sanggup berjanji apa saja.
“Di kawasan pengundi Cina, rakyat lebih menitikberatkan peluang perniagaan dan pendidikan, itu perkara utama. Tetapi pembangkang saya lihat lebih banyak mengedarkan risalah menghentam syarikat besar yang ada kaitan dengan pucuk kepemimpinan negeri Sarawak.
“Jika kita lihat projek yang dilaksanakan syarikat terbabit, ia diluluskan Kabinet berdasarkan kemampuan dan rekod syarikat berkenaan,” katanya.
Dr Chou berkata, orang ramai seharusnya faham bahawa banyak projek raksasa dan projek besar yang tidak boleh sewenang-wenangnya dilepaskan kepada sesiapa saja, kerana ia menuntut modal besar, kepakaran teknikal dan pengalaman.
Sebagai seorang pengundi di kawasan majoriti Cina beliau sendiri melihat perkara itu dari sudut logik, kerana di mana-mana negara lain di seluruh dunia, projek besar pastinya akan diambil oleh beberapa syarikat tertentu kerana ia mempunyai modal besar, kepakaran teknikal dan kemampuan untuk melaksanakannya.
Seorang lagi penganalisis politik yang juga ahli akademik, Profesor Dr Mornie Kambrie, berkata peluang BN Sarawak untuk menang besar sememangnya cerah kerana pembangkang tidak mempunyai agenda besar.
“Selepas tempoh berkempen memasuki hari kelima semalam, saya lihat pembangkang lebih banyak menyentuh isu remeh dan tidak masuk akal. Mereka langsung tidak mempunyai agenda besar, agenda pembangunan, seperti BN yang sudah melancarkan pembangunan lima koridor wilayah termasuk Koridor Tenaga Diperbaharui (Score) di Sarawak,” katanya.
Lebih parah kata beliau, pembangkang yang bertanding di Sarawak kali ini benar-benar terdesak sehingga pakai ‘tangkap muat’ dalam soal pemilihan calon.
“Saya lihat mereka yang dipilih jadi calon sama ada golongan yang kecewa kerana permintaan peribadi mereka tidak dipenuhi atau golongan yang mahu membalas dendam. Lebih parah pembangkang gagal mewujudkan persepakatan sesama mereka, sehingga bertembung sesama sendiri di beberapa kawasan.
“Bagaimana kita hendak menyerahkan kepemimpinan sebuah negara kepada pakatan pembangkang yang rapuh? Justeru bagi saya, kehadiran calon pembangkang di Sarawak lebih kepada mengejar kepentingan peribadi, tanpa sebarang agenda nasional seperti diperjuangkan BN selama ini,” katanya.