|


Tsunami Umno kikis cengkaman Pas
Oleh Azman Mahmood

PARTI pembangkang Pas seperti tidak bersedia untuk menerima hakikat bahawa kubu terakhir parti itu di Kelantan akan menempuh gelombang dan badai rakyat negeri terbabit yang mahu mengubah negeri Cik Siti Wan Kembang dengan wajah ‘Kelantan Baru, Kelantan Maju.’

Dalam keadaan sekarang, pemimpin Pas di Kelantan sebenarnya semakin tertekan apabila terpaksa berkubu dan bekerja lebih keras di kawasan masing-masing untuk menahan ombak ‘tsunami’ Umno dan Barisan Nasional (BN), pada hari pengundian Sabtu ini, sekali gus dijangka mengakhiri penguasaan 18 tahun parti itu.

Hakikatnya, Pas demi mempertahankan cerita dongeng dengan slogan ‘Membangun Bersama Islam’ sejak 1990 sehingga sekarang yang tidak pernah menjadi kenyataan, kali ini terpaksa mengimport calon luar bagi mempertahankan kubu terakhirnya di Pantai Timur itu selepas Terengganu berjaya ditumbang setelah sepenggal memerintah pada Pilihan Raya Umum 2004.

Terbukti dalam usaha mempertahankan Kelantan, Pas terpaksa mengimport beberapa pemimpin kanannya dari luar sebagai ‘ayam tambatan’ seperti Timbalan Presidennya, Nasharuddin Mat Isa untuk bertanding di Parlimen Bachok. Nasharuddin yang membuat percubaan pertama di Kelantan berdepan anak tempatan Perupok, Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussein yang bakal dinobatkan Menteri Besar jika BN berjaya merampas negeri itu.

Jelas tindakan Pas mempertaruhkan Nasharuddin di Parlimen Bachok kerana mahu bertakhta semula di kawasan yang menjadi kubu kuat parti itu sebelum ini. Pada pilihan raya umum lalu, Nasharuddin kecundang dalam percubaannya di Parlimen Besut, Terengganu apabila tewas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin yang memperoleh dengan majoriti besar iaitu 8,500 undi.

Begitu juga Bendahari Agung Pas, Dr Mohd Hatta Ramli, anak Perak yang sebelum ini bertanding di Gombak, turut dikerah ke Kelantan untuk bertanding kerusi Parlimen Kuala Krai manakala Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub dari Johor kekal di kerusi Parlimen Kubang Kerian untuk penggal kedua.

Pas perlu menerima hakikat tidak pernah membawa kemajuan di Bachok sebagai sebuah jajahan yang mempunyai penduduk termiskin paling ramai di negara ini sepanjang tempoh Pas memerintah Kelantan sejak 1990.

Tetapi, perubahan berlaku secara drastik apabila Bachok mempunyai pemimpin pada peringkat Kerajaan Pusat, menerusi wakil rakyat Parlimennya, Dr Awang Adek yang berjaya merobohkan kubu kuat Pas itu pada Pilihan raya Umum 2004.

Pembangunan di jajahan itu yang mempunyai ramai rakyat miskin bermula sejak 1990 lagi menerusi usaha yang dijalankan Datuk Seri Annuar Musa ketika menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar yang memberi perhatian berat kepada penanam tembakau dan nelayan.

Yang pasti sehingga kini kerajaan BN sudah meluluskan projek pembinaan Kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok yang akan meletakkan satu lagi mercu tanda kemajuan dan pembangunan khususnya dalam bidang pendidikan untuk rakyat Kelantan.

Sebab itu, Pas Kelantan tidak ada pilihan sekarang dan terpaksa berdepan realiti bahawa penguasaan dan pengaruhnya yang didukung Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semakin merosot di negeri itu.

Sebenarnya kemerosotan pengaruh Pas semakin ketara selepas berlaku perpecahan dalam kerajaan Kelantan yang dikenali Angkatan Perpaduan Ummah (APU), gabungan Pas dengan Parti Melayu Semangat 46 (S46) pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1996.

Hakikatnya, rakyat Kelantan mahu menolak kerajaan Pas sejak Pilihan Raya Umum 2004 lagi apabila Umno dan BN mempamerkan kekuatan sokongan padu rakyat, menyaksikan keputusan BN memenangi 21 kerusi DUN dan sembilan kerusi Parlimen manakala Pas, memenangi 24 kerusi (DUN) dan lima kerusi Parlimen.

Tidak cukup dengan pilihan raya itu, rakyat terus memberi sokongan dan kepercayaan kepada Umno dan BN pada Pilihan Raya Kecil DUN Pengkalan Pasir pada Disember 2005 apabila calon BN, Hanafi Mamat memenangi pilihan raya itu menewaskan calon Pas, Wan Abdul Aziz Wan Jaffar, dengan majoriti 56 undi.

Kemenangan itu menjadikan kedudukan kerusi BN bertambah kepada 22, sekali gus menyaksikan Pas hanya menjadi kerajaan ‘rapuh’ memerintah secara majoriti mudah dan tidak boleh berbuat apa-apa apabila tidak mempunyai majoriti dua pertiga dalam DUN yang dikuasai BN.

Senario ini amat disedari pemimpin Pas yang kini menyerahkan kepada nasib untuk mempertahankan kedudukannya sebagai kerajaan pembangkang di Kelantan. Pemimpin Pas tahu kekuatan parti itu sekarang di Kelantan ibarat seperti ‘telur berada di hujung tanduk’ dan pada bila-bila masa boleh terhempas.

Oleh itu, pilihan raya kali ini benar-benar mencemaskan parti itu kerana sedar rakyat Kelantan sudah mual dengan taktik Pas memperalatkan agama untuk kepentingan politik.

Kebimbangan Pas Kelantan menghadapi Umno dan BN di negeri itu lebih terserlah apabila parti itu mula panik selepas menyedari pengundi luar Kelantan menyokong usaha murni Pemuda BN menerusi kempen ‘Pakat Kelik Ngundi’ yang mendapat sambutan luar biasa daripada anak Kelantan di perantauan khususnya di Lembah Klang.

Bagaimanapun kempen itu dipercayai disabotaj oleh pihak tertentu dipercayai didalangi parti pembangkang yang menyebarkan fitnah dengan mengatakan ‘Pakat Claim Ngundi’ yang bertujuan mengelirukan rakyat Kelantan yang mahu pulang mengundi akan mendapat wang sagu hati sebanyak RM130.

Lebih buruk lagi Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa sebelum ini didakwa turut membuat kenyataan dengan mendoakan supaya anak Kelantan di perantauan yang pulang untuk mengundi BN ditimpa musibah.

Semua tindakan pemimpin Pas Kelantan sekarang seperti hilang pedoman dan kurang matang yang hanya bermatlamat mahu menghalang kemaraan BN dan semangat rakyat mahu mengubah Kelantan sekali gus memberi peluang kepada BN memerintah menerusi pilihan raya umum kali ini.

Tidak keterlaluan jika penyokong Pas sendiri menerusi pilihan raya kali ini turut mengundi BN kerana mereka mahu melihat perubahan sebenar yang akan dibawa kerajaan BN.

Ini kerana mereka mengharapkan dapat membuat perbandingan untuk tempoh satu penggal BN memerintah Kelantan berbanding empat penggal Pas berkuasa di negeri itu yang sepanjang masa bercakap Membangun Bersama Islam, tetapi kemajuan sebenarnya di negeri itu dibawa oleh kerajaan BN.

Artikel lain: