|


Johor boleh capai sasaran sifar pembangkang
Oleh Khirul Bahri Basaruddin dan Johan Afandi

BERBAKI lima hari lagi untuk melabuhkan tirai Pilihan Raya Umum Ke-12, Barisan Nasional (BN) Johor lebih bersedia untuk sekali lagi ‘melenyapkan’ harapan pembangkang. Jentera pilihan rayanya sudah hampir selesai menemui pengundi yang akan menentukan sama ada BN Johor menyapu bersih 26 kerusi Parlimen dan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sememangnya, Johor menjadi kubu kuat BN sejak kemerdekaan negara 50 tahun lalu dan dalam setiap pilihan raya umum, sumbangan kerusi Parlimen Johor membantu BN mencapai majoriti dua pertiga pada peringkat pusat selain terus menguasai kerusi DUN.

BN Johor di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman sudah menggerak semua bilik gerakan kira-kira sebulan sebelum pengumuman pembubaran Parlimen 13 Februari lalu dan begitu yakin kemenangan 100 peratus memihak kepada BN Johor pada kali ini.

Walaupun pada Pilihan Raya Umum Ke-11 2004, BN Johor kehilangan satu kerusi DUN Senggarang, Batu Pahat, atas sebab teknikal, peristiwa hitam itu tidak berulang untuk memberi kemenangan percuma kepada pembangkang pada hari penamaan calon pada 24 Februari lalu.

Berita kemenangan tanpa bertanding Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said mempertahankan kerusi Parlimen Pengerangnya buat kali kedua berturut-turut disambut baik oleh semua pemimpin BN Johor dan kemenangan itu satu petanda baik ke arah mencapai matlamat sifar pembangkang kali ini.

Kemenangan itu juga nyata menyuntik semangat kepada Abdul Ghani yang mahu membuktikan bahawa Johor akan terus menjadi kubu kuat BN dan Umno di negara ini, dengan enam Menteri Kabinet bertanding di negeri itu, dijangka mendapat kemenangan majoriti besar seperti dijangkakan.

Bagaimanapun, kempen di Johor dilihat agak ‘sejuk’ berbanding negeri lain seperti di Utara dan Timur serta Sabah, berikutan pembangkang tidak mempunyai sebarang isu tempatan untuk meraih simpati pengundi.

Di sebalik kemenangan awal di Pengerang itu, ada juga bilik gerakan di kawasan tertentu apabila mereka yang pada awal tersenarai menjadi calon tetapi pada saat akhir tidak dipilih, ditutup atau tidak diaktifkan, kerana pemimpin pilihan mereka tidak dipilih.

Kini, semua bilik gerakan yang bermasalah itu sudah diaktifkan dengan petugas baru yang bekerja untuk parti dan bukan untuk golongan kecewa tidak disenaraikan menjadi calon.

Seperkara yang menghairankan ialah kebanyakan parti pembangkang agak perlahan memulakan kempen mereka kerana rata-rata kurang kelihatan bendera serta poster, tidak seperti Pilihan Raya Umum 2004. Malah ceramah masih berkurangan dan belum kedengaran pemimpin besar mereka datang ke Johor ini membantu kempen calon parti pembangkang.

Adakah pembangkang menggunakan taktik gempur pada saat akhir selepas melihat jentera pilihan raya BN sudah agak ‘lesu’ kerana letih menunggu serangan mereka. Tidak salah untuk mengatakan petugas BN bersemangat kerja jika mereka bertalu-talu diserang jentera pembangkang tetapi jika terlalu lama menunggu musuh untuk menyerang, mereka mulai bosan sekali gus lalai dengan tugas mereka.

Sehubungan itu, jentera BN perlu berwaspada pada setiap masa kerana musuh mereka akan menggunakan pelbagai taktik untuk menyerang dan mungkin mereka tahu serangan secara besar-besaran atau terbuka tidak akan memberi kemenangan kepada mereka, sebaliknya taktik serangan hendap lebih berkesan di Johor ini.

“Kita yakin dapat menawan semua 82 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum kali ini. Memang ada beberapa kerusi yang dilihat ‘kelabu’ tetapi berdasarkan maklum balas, pengundi di kawasan itu tetap mengundi calon BN,” jelas Abdul Ghani ketika ditanya peluang BN Johor pada pilihan raya umum kali ini.

Kerusi ‘kelabu’ yang dimaksudkan adalah di Skudai, dengan calon BN daripada parti Gerakan, Datuk Teo Kok Chee bertanding satu lawan satu dengan Pengerusi DAP Johor, Dr Boon Cheng Hao dengan kawasan berkenaan mempunyai lebih 60 peratus pengundi Cina.

Satu lagi kawasan yang boleh dikatakan ‘kelabu’ selepas seminggu berkempen di sebelah Johor Selatan adalah di Permas, apabila BN meletakkan muka baru daripada MIC, M M Samy menggantikan Pengerusi MIC negeri, Datuk K S Balakrishnan yang memilih untuk tidak bertanding selepas empat penggal menjadi wakil rakyat.

Samy bertanding satu lawan satu dengan calon Pas, Syed Othman Syed Abdullah di DUN Permas yang menyaksikan jumlah pengundi Melayu melebihi 50 peratus.

Keadaan itu memaksa Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, bekerja lebih keras bertemu pengundi Melayu bagi memastikan kemenangan calon BN.

Mohamed Khaled dilihat selesa untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Gudang. Bahagian Timur, Utara dan Barat Johor sememangnya boleh dikategorikan kawasan selamat untuk BN kerana calon yang diletakkan adalah ‘heavy weight’ seperti Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Ab dul Latiff Ahmad mempertahankan kerusi Parlimen Mersing.

Di Muar dan Batu Pahat pula, menyaksikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh, manakala Abdul Ghani di Serom.

Bagi Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad yang kali pertama bertanding di kerusi Parlimen Parit Sulong, kemenangan boleh dikatakan pasti miliknya, kerana Umno bahagian itu yang diterajui Exco kanan kerajaan negeri, Ahmad Zahri Jamil mempunyai asas kekuatan yang kukuh bagi memastikan pengundi terus memilih wakil rakyat BN.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula selesa di Parlimen Sembrong walaupun, dua kerusi DUN di kawasan itu, Paloh dan Kahang, BN meletakkan muka baru iaitu Hoo Seoang Cheang dan R Vidyananthan, kemenangan kedua-dua calon baru ini, memang boleh dijangkakan.

Ketua Wanita Umno Johor, Datuk Halimah Mohamed Sadique yang beralih kerusi ke Parlimen Tenggara menggantikan Datuk Dr Adham Baba yang menggantikan tempatnya di DUN Pasir Raja pula yakin bahawa rekod perkhidmatan BN akan terus menjadi faktor utama bagi pengundi memilih BN di kawasan berkenaan.

Secara keseluruhannya, malam 8 Mac ini, akan menentukan sama ada sasaran 100 peratus sifar pembangkang akan dapat direalisasikan, hasil kerja keras sepanjang 13 hari berkempen serta rekod empat tahun perkhidmatan dinilai kira-kira 1.31 juta pengundi di negeri itu.

Artikel lain: