Negeri Sembilan rancang pelan induk sehingga 2020 untuk kemakmuran rakyat
PILIHAN Raya Umum Ke-12 adalah pengalaman pertama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) di negeri Adat Perpatih selepas 2004 lalu diketuai Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang menjadi Menteri Besar selama 22 tahun. Beliau menggalas tanggungjawab besar bukan saja bagi memastikan BN mengekalkan kemenangan di lapan kerusi Parlimen dan 35 Dewan Undangan Negeri (DUN), malah merampas kembali DUN Lobak daripada DAP. Ikuti temu bual wartawan Berita Harian, Ahmad Naim Tahir dengan bekas tokoh korporat itu.
Ini adalah kali pertama Datuk Seri menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Pilihan Raya BN di Negeri Sembilan. Bagaimana Datuk Seri menerimanya.
Saya berasa sukacita sebab tak ada banyak masalah. Semua kawasan (kerusi) dalam keadaan baik dan kempen pun berjalan dengan baik. Masa penamaan calon tempoh hari juga tiada masalah, perkara biasa dalam pilihan raya ada pertandingan, tetapi calon pembangkang cuma nak kalahkan calon BN dan mereka tiada niat nak bangunkan Negeri Sembilan.
Ada yang mendakwa kempen BN di Negeri Sembilan lesu. Apa pendapat Datuk Seri.
DI Negeri Sembilan, saya nasihatkan semua calon BN supaya jaga budi bahasa dan tindak tanduk. Nak hangat macam Terengganu boleh, nak bergaduh pun boleh, tetapi kita tak mahu dan kita jaga. Dalam kempen, kita tak usah burukkan calon lawan, tetapi tumpukan kempen dari rumah ke rumah, jadi tak hangatlah.
Pada 2004, ada sembilan kerusi DUN dimenangi BN dengan majoriti undi di bawah 2,000 dan Datuk Seri letakkan kawasan itu sebagai kritikal. Bagaimana peluang BN kali ini dan penerimaan pengundi di kawasan itu.
Penerimaan rakyat, Alhamdulillah... daripada laporan, semua nampak bertambah baik, tiada apa masalah, cuma saya minta jentera pilihan raya kita jangan terlebih yakin sebaliknya teruskan bekerja keras. Kalau pembangkang kata dia boleh menang tiga atau empat kerusi, biarkanlah kerana apa yang penting bagi kita, bekerja keras.
Cabaran bagi BN di Negeri Sembilan adalah daripada DAP dan parti itu mendakwa boleh kekal di DUN Lobak dan merampas beberapa lagi kerusi daripada BN. Bagaimana pandangan Datuk Seri.
Dia (pembangkang) yakin dapat tiga kerusi, Pas dapat empat dan PKR lima... apa ingat kita ni bodoh sangat sehingga mereka boleh menang begitu banyak kerusi. Kita juga yakin tetapi saya nasihatkan semua calon BN dan jentera pilihan raya kita supaya kerja keras sehingga 7 Mac (Jumaat) ini dan jangan terlebih yakin. Walaupun macam-macam carta kita akan kalah di sana sini, bagi saya rakyat yang penting. Di Seremban yang jadi sasaran DAP, tak ada isu lagi seperti DUN Lobak yang kita kalah 2004 kerana isu kerajaan nak pindahkan pasar besar dan perkuburan Cina, tetapi kerajaan negeri selepas itu putuskan tak akan pindahkan, bahkan keluarkan peruntukan RM7 juta untuk naikkan taraf pasar besar. Majlis Perbandaran Seremban (MPS) juga buat macam-macam (projek). Bila ada jaminan tak dipindahkan, sekeliling kawasan pasar sudah ada bangunan baru, perkuburan Cina yang nak dipindahkan untuk bagi laluan kepada projek pembinaan terminal bas baru supaya bersambung dengan terminal bas sedia ada juga dibatalkan. Siapa pun akan marah kalau kubur lama mereka nak dipindahkan, jadi kita tak buat. Buat apa nak bagi seorang suka, puluhan ribu lagi marah... lebih baik 10,000 orang suka, hanya seorang yang marah, tak apalah.
Bagaimana Datuk Seri mahu meyakinkan pengundi Cina supaya memilih BN.
Kerajaan dah buat macam-macam di Seremban, MPS dan MPN (Majlis Perbandaran Nilai) buat kerja dengan baik, ekonomi pun bagus. Tahun lalu, kita dapat pelaburan RM2.3 bilion, apa lagi rakyat nak, bandar kita selamat dan kita akan gabungkan MPS dan MPN supaya Seremban jadi bandar raya menjelang 2010. Kita bagi macam-macam bantuan. Jika semua itu diambil kira, kita mesti menang tapi saya tak tahulah apa yang orang fikirkan. Calon DAP di Lobak, Loke Siew Fook janji macam-macam pada 2004 dan saya ada buktinya, iaitu dia akan beli bas dan buat pusat khidmat bergerak... mana basnya, mana janjinya, tetapi BN buat apa yang dijanjikan.
DAP minta rakyat pilih calon mereka kononnya untuk wujudkan 'check and balance' dalam kerajaan.
Apa yang nak `check and balance', kita tak perlukan pembangkang kerana segala projek pembangunan dilaksanakan adalah untuk kepentingan rakyat, bukan disebabkan ada pembangkang dalam dewan (DUN). Kerajaan negeri ada pelbagai dasar lengkap sebagai panduan pembangunan yang turut dipamerkan kepada rakyat untuk pandangan dan maklum balas sebelum ia dilaksanakan dengan pemantauan dilakukan wakil rakyat BN sendiri. Kita dah ada pelan induk sehingga 2020, dasar pelaburan, pelancongan, pelajaran dan sosial. Jadi, tak payah ada pembangkang kerana mereka hanya akan cakap pasal longkang atau apa-apa isu remeh temeh. Saya minta rakyat buka mata, berapa banyak pembangunan sudah dibuat kerajaan dalam tempoh empat tahun ini... buat jalan sekitar Seremban saja sudah menelan belanja hampir RM1 bilion. Macam-macam lagi kita buat... Jalan Kuala Pilah dan jalan baru dari Kajang ke Seremban.
Pembangkang juga bangkitkan isu tiada pelan pembangunan ekonomi khusus untuk Negeri Sembilan seperti Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor, Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER).
Kita tak payah ada koridor ekonomi kerana sudah masuk pun dalam sebahagian Lembah Klang yang besar yang akan dapat limpahan ekonomi dari Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Majlis Fizikal Negara juga sudah luluskan kereta api elektrik laju (ERL) dari Kuala Lumpur ke Seremban, lebuh raya dari KLIA ke Seremban dan landasan berkembar dari Kuala Lumpur ke Gemas... lagi hebat daripada ECER atau NCER. Jadi, saya nak ingatkan pembangkang supaya jangan hanya pandai bercakap kerana orang akan ingat. Saya orang yang pegang janji, masa 2004 saya janji nak selesaikan masalah tanah di Felda Sendayan saya sudah selesaikan, nak selesaikan projek pembinaan Jalan Bukit Putus saya selesaikan, nak buat jalan baru dan jalan lingkaran di Seremban, dah pun dilaksanakan. Pemimpin pembangkang hanya pandai tabur janji, ada seorang pemimpinnya bila ditolak oleh orang Melayu kini nak jadi hero Tamil pula, pergi seluruh dunia dan desak PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) kenakan sekatan ke atas Malaysia kerana kononnya kita tak amal demokrasi. Itu rupa orang yang pentingkan diri sendiri yang sanggup hancurkan negara sendiri, jadi jangan percaya kepada orang macam ini.
Harapan Datuk Seri kepada rakyat Negeri Sembilan yang akan keluar mengundi Sabtu ini.
Saya harap mereka tidak kelabu mata, undilah dacing. Saya juga harap rakyat akan keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab kerana dalam lima pilihan raya umum sebelum ini, purata yang keluar mengundi sekitar 72 atau 73 peratus saja, tak sampai pun 80 peratus. Jadi, kali ini harap lebih ramai, jangan takut jika diugut jangan keluar mengundi, kalau ada ugutan seperti itu laporkan kepada polis.
INFO
Antara projek sudah dan sedang dilaksanakan di Negeri Sembilan
Pusat Fidlot Nasional (NFC) di jajaran Jelai-Gemas bernilai RM40 juta untuk pengeluaran hasil daging lembu
Pembinaan kampus cawangan tetap UiTM di Kuala Pilah bernilai RM150 juta dijangka siap awal 2009
Projek meluruskan Jalan Bukit Putus bernilai RM110 juta dijangka siap awal 2009
Projek menaiktaraf Jalan Seremban-Senawang bernilai RM107 juta dijangka siap 2008
Projek Jalan Lingkaran Tengah Fasa I di Seremban bernilai RM209 juta