TIGA hari lagi iaitu Sabtu ini adalah hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum Ke-12. Keputusannya sangat dinantikan. Sebahagian besar warga negara menunggu keputusan pada sebelah malam.
Ramai yang tak tidur malam menunggu keputusan penuh pilihan raya itu untuk mengetahui parti yang menang dan menerajui kerajaan bagi tempoh empat atau lima tahun akan datang. Keesokan paginya, keputusan terperinci akan dikeluarkan akhbar utama.
Ramai yang berjaga sehingga larut malam atau awal pagi kerana masing-masing sedar bahawa pilihan raya adalah perkara penting dalam amalan demokrasi. Tanpa pilihan raya, maka mustahil wakil Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat dipilih.
Tanpa wakil Parlimen, sebuah kerajaan tidak dapat dibentuk. Dengan kata lain demokrasi berparlimen tidak dapat berjalan.
Persoalan lain yang tidak kurang pentingnya adalah mengenai tanggungjawab membuang undi. Ramai warga negara yang mendaftar tidak mengambil berat untuk membuang undi, apatah lagi didapati seramai lima juta orang layak mengundi tidak mendaftar sebagai pemilih.
Hal ini sesuatu yang sepatutnya dielakkan sebagai sebuah negara yang sudah 50 tahun merdeka dan mempunyai wawasan sebagai negara maju menjelang 2020.
Kerajaan belum lagi mewajibkan setiap warga negara mengundi pada pilihan raya. Mengundi adalah satu tanggungjawab yang harus dilakukan oleh setiap warga negara. Ia tidak dipaksa oleh pihak berwajib, tetapi amat digalakkan.
Peratusan undi yang lebih tinggi adalah lebih baik. Sepatutnya setiap warga negara keluar mengundi Sabtu ini kerana ia tanggungjawab setiap warga yang layak kepada negara.
Jangan mencari helah kenapa tidak mengundi. Undi seseorang itu sangat penting dalam menentukan kemenangan calon. Pandangan yang mengatakan bahawa ‘tidak mungkin kerana aku seorang membolehkan calon itu menang atau kalah’ mesti dikikis.
Jika seribu orang berpendapat demikian maka 1,000 undi sudah berubah. Seribu undi adalah sangat besar kerana dalam sistem undian mengikut majoriti calon, satu atau dua undi sudah cukup bagi memberikan kemenangan kepada calon tertentu.
Jadi pandangan ‘aku seorang tidak akan memberi kesan kepada calon’ harus dibuang jauh-jauh.
Pada Pilihan Raya Umum 2004 misalnya, banyak kerusi Parlimen atau DUN yang dimenangi dengan majoriti kecil. Contoh ketara ialah DUN Kemuning di Kelantan apabila calon Pas, Zakaria Yaacob cuma menang majoriti dua undi.
Daripada contoh ini, dapat dilihat betapa penting setiap undi yang diberikan walaupun satu undi. Berikutan kemenangan calon Pas inilah yang membawa kepada kedudukan kerusi Pas di Kelantan dengan 23 kerusi DUN dan BN mendapat 22 kerusi DUN (selepas BN menang dalam pilihan raya kecil pada 6 Disember 2005 di DUN Pengkalan Pasir).
Sekiranya DUN Kemuning ini dimenangi BN, maka BN akan mendapat 23 kerusi dan Pas 22, sekali gus membolehkan BN membentuk kerajaan negeri di Kelantan. Bayangkan, dua undi saja boleh membezakan keadaan atau penentu parti mana membentuk kerajaan negeri.
Apa yang ingin dijelaskan di sini ialah undi setiap warga negara itu sangat penting dalam amalan demokrasi. Jangan sekali-kali memandang remeh kepada satu atau dua undi. Sama ada seseorang itu setuju atau tidak dengan sesuatu dasar sesebuah kerajaan, anda tidak boleh mengambil jalan mudah.
Tunaikan tanggungjawab mengundi kerana undi anda mungkin menjadi undi penentu. Oleh itu usaha perhimpunan anak Kelantan di ibu negara baru-baru ini adalah usaha baik amalan demokrasi.
Adalah menjadi tanggungjawab dan hak anak Kelantan di seluruh negara untuk mengundi walau di mana mereka berada. Pengorbanan masa untuk balik mengundi adalah suatu yang patut dipuji.
Saranan kerajaan supaya memberi cuti kepada pekerja pada 8 Mac adalah rasa sedar tanggungjawab kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Abdullah Badawi bagi memberi peluang kepada semua rakyat untuk menunaikan tanggungjawab kepada negara bagi meneruskan kestabilan dan pembangunan berterusan.
Hari mengundi yang kebetulan jatuh pada cuti sekolah juga adalah bonus tambahan kepada semua pekerja.
Undi anda terlalu mahal harganya. Jangan disia-siakan. Undilah dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan pembentukan sebuah kerajaan yang baik dan bertanggungjawab. Undilah parti politik yang terbukti menjamin kestabilan dan kesejahteraan rakyat dan negara.
Undilah calon yang mampu membawa pembangunan dan kesejahteraan rakyat yang diwakilinya, bukan wakil rakyat yang tidak mampu mengutarakan pandangan dan membela rakyat diwakilinya.
Jangan memilih calon melupakan adat susila bangsa dan peraturan yang digariskan agama. Jangan sesekali memberi undi kerana faktor kebendaan dan wang ringgit semata-mata, kerana faktor kebendaan tidak pasti menjamin kehidupan sejahtera.