SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) sudah mengingatkan semua calon Pilihan Raya Umum Ke-12 ini supaya mematuhi segala peraturan termasuk menghantar penyata perbelanjaan kempen bagi mengelak risiko hilang kelayakan bertanding pada masa akan datang.
Ramai mungkin hairan bagaimana seorang calon yang layak bertanding boleh hilang kelayakan sehingga calon lawannya menang tanpa bertanding.
Perkara ini boleh berlaku pada peringkat penamaan calon jika borang penamaan calon tidak diisi dengan butir yang diperlukan mengikut Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 (Peraturan Pilihan Raya 1981).
Sebenarnya, borang penamaan calon kini sudah dipermudahkan dengan pindaan yang dibuat dalam akta serta Peraturan Pilihan Raya, jika dibanding borang penamaan calon pada 1999.
Calon perlu berhati-hati bahawa kemenangan pada 8 Mac nanti sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tidak semestinya bermakna mereka tidak boleh hilang kelayakan.
Mengikut undang-undang, kemenangan seseorang calon masih boleh dicabar di Mahkamah Pilihan Raya oleh pengundi yang tidak berpuas hati.
Antara perkara yang boleh menyebabkan calon hilang kelayakan bertanding pada masa akan datang adalah kegagalan menghantar penyata perbelanjaan kempen masing-masing kepada SPR.
Setiausaha SPR, Datuk Kamarulzaman Mohd Noor, berkata semua calon wajib mengemukakan penyata berkenaan kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri dalam tempoh 31 hari selepas keputusan pilihan raya umum diwartakan.
“Jika calon itu menang dalam pilihan raya tetapi tidak menyerahkan penyata berkenaan dalam tempoh 31 hari selepas keputusan pilihan raya diwartakan, mereka boleh hilang kelayakan menjadi calon dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Pernah calon yang menang pada pilihan raya hilang kelayakan dan digantikan dengan calon yang memperoleh undi kedua terbanyak oleh mahkamah. Sebagai contoh, perkara ini pernah berlaku kepada calon DAP, Wee Choo Keong di ibu negara.
Anehnya, ramai calon tidak mengetahui perkara yang boleh membatalkan kemenangan mereka jika dicabar pengundi di mahkamah. Oleh itu, ada kalanya calon melakukan sesuatu tanpa niat jahat, tetapi menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Dalam suasana berkempen, calon kadang kala terbawa-bawa sehingga kandungan ucapan atau ceramah mereka melanggar peruntukan Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Seksyen berkenaan adalah pindaan baru dan ia menghalang sebarang ucapan atau perbuatan yang boleh mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau permusuhan di kalangan rakyat.
Ini bermakna sebarang ceramah yang menyentuh perkauman atau agama yang boleh mendatangkan permusuhan adalah satu kesalahan mengikut akta itu. Jelas sekali bahawa seorang calon yang mempermainkan isu agama dengan memperlekehkan kepercayaan orang lain boleh didapati salah mengikut seksyen itu.
Tindakan yang perlu ialah laporan polis serta bukti seperti rakaman audio, video serta saksi. Calon yang didapati salah mengikut seksyen ini bukan saja hilang kerusi yang dimenanginya, malah boleh dihukum penjara untuk tempoh tidak lebih lima tahun atau didenda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Calon tidak harus menganggap remeh tindakan membelanja pengundi kerana ini juga berkemungkinan menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 8 akta itu jika ia dilakukan secara rasuah dan bertujuan mempengaruhi pengundi.
Seksyen 9 akta berkenaan menghalang calon daripada menggunakan pengaruh tidak wajar ke atas pengundi dengan cara seperti menggunakan atau mengancam hendak menggunakan kekerasan, keganasan atau mengancam hendak mengenakan kerugian kerohanian atau keduniaan.
Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 juga mempunyai peruntukan untuk menghalang kegiatan ‘politik wang’ mengikut Seksyen 10 (a) hingga 10 (i).
Pada pilihan raya lalu, seksyen inilah yang kerap digunakan di Sabah dan Sarawak untuk mencabar kemenangan seorang calon. Keseluruhan seksyen ini perlu dibaca dan difahami oleh semua calon supaya tidak melakukan kesalahan tanpa sedar.
Satu lagi kesalahan yang kerap dilaporkan pada pilihan raya sebelum ini ialah berkaitan perbelanjaan pilihan raya seseorang calon. Undang-undang pilihan raya memperuntukkan bahawa perbelanjaan untuk pilihan raya bagi Dewan Rakyat tidak boleh melebihi RM200,000 dan bagi Dewan Undangan Negeri tidak melebihi RM100,000 tertakluk kepada pengecualian tertentu.
Peruntukan ini juga jelas diwujudkan untuk menghalang gejala politik wang.
Begitu juga ramai calon tidak tahu bahawa menyewa kenderaan untuk mengangkut pemilih atau pengundi dari atau ke tempat mengundi dengan tujuan mendapatkan seorang calon dipilih adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 20 (1) akta itu.
Pendek kata, ada pelbagai kesalahan yang boleh dilakukan oleh calon sama ada secara sedar atau tanpa sedar.
Inilah sebabnya seseorang calon yang menang pilihan raya tidak seharusnya berasa dirinya selamat sehingga habis tempoh 21 hari daripada tarikh keputusan pilihan raya itu disiarkan dalam warta.
Ini adalah tempoh yang ditetapkan untuk mengemukakan petisyen kepada Mahkamah Pilihan Raya bagi tujuan membatalkan suatu pilihan raya atau mencabar kemenangan seseorang calon.
Ekoran pelbagai peruntukan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya serta Akta Kesalahan Pilihan Raya, calon serta pengundi dinasihatkan supaya menjalankan pilihan raya kali ini berlandaskan undang-undang.