|


Analisis: Umno Perlis kembali mantap hadapi lawan
Oleh Adha Ghazali

RAMALAN kononnya Perlis akan menghadapi cabaran sengit pembangkang, khususnya Pas pada pilihan raya umum kali ini berikutan krisis dalaman yang melanda Umno negeri itu, ternyata meleset.

Sejak kebelakangan ini, perpaduan di kalangan rakyat khususnya ahli Umno semakin erat dan saling bekerjasama untuk menjamin kemenangan BN. Keadaan sudah kembali pulih sepenuhnya menjelang dua hari lagi untuk mengundi.

Memang benar, keadaan agak hambar buat seketika sebelum ini, gara-gara perbalahan sesama sendiri, apatah lagi kesan ‘perbalahan’ terbuka tiga tokoh utama dari Perlis yang sememangnya sudah diketahui umum.

Kini, segala-galanya sudah berubah sehingga tanpa disedari ribuan bendera yang membawa identiti parti bertanding, tiba-tiba memenuhi setiap ruang jalan tanpa meninggalkan walau sedikit ruang kosong.

Keadaan itu jelas sekali membuktikan khabar angin yang disebarkan sesetengah pihak mengatakan BN Perlis memboikot pilihan raya kali ini, tidak benar. Begitu juga ura-ura berhubung isu berlakunya perpecahan dalam parti berkenaan, yang sudah sekian lama merajai negeri Darul Sunnah.

Mungkin pada awalnya, BN Perlis dilihat sedikit kelam-kabut, terutama selepas beberapa hari proses penamaan calon. Namun, itu tidak bermakna BN Perlis berada di ambang perpecahan, malah jauh sekali untuk bersengketa sesama sendiri.

Betullah kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad mengenai semangat Umno dan BN, yang lebih mementingkan perjuangan parti berbanding faktor individu dan peribadi.

Bagi Radzi, sebarang persengketaan yang mungkin timbul pada awal kempen hanya bersifat sementara, kesan daripada perasaan tidak puas hati segelintir penyokong terhadap penyingkiran calon kesayangan mereka.

“Apa pun, perasaan tidak puas hati itu akan lenyap sendiri dan senario seolah-olah perpecahan yang dilihat pada awal tempoh kempen, akan bertukar kepada penyatuan yang sangat kukuh, sehingga sukar sekali untuk digugat pembangkang.

“Inilah semangat Umno yang kita uar-uarkan di mana setiap ahli lebih mengutamakan kepentingan parti, berbanding kehendak individu. Apabila ini berlaku, jentera bawahan akan turut serta dan secara automatik bergerak untuk memastikan kejayaan parti Umno dan BN,” katanya.

Kemelut politik Perlis seperti sedia maklum tercetus apabila ketiga-tiga menterinya iaitu Radzi yang juga penyandang kerusi Parlimen Kangar dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim serta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang juga penyandang Parlimen Padang Besar, Datuk Seri Azmi Khalid, dikatakan tidak sehaluan.

Apa pun, ketiga-tiga mereka menyatakan ikrar masing-masing untuk mengetepikan sebarang sengketa atau perbezaan pendapat yang mungkin wujud, sekali gus menyarung satu jersi yang sama di bawah lambang BN dan Umno.

Bagaimanapun, kemelut itu kembali memuncak apabila BN melakukan kejutan melalui perubahan besar pada senarai calon Pilihan Raya Umum Ke-12, pada saat-saat akhir menyebabkan banyak nama yang diuar-uarkan tersenarai, diketepikan.

Bermula dari situlah, BN Perlis dilihat seolah-olah berada pada satu titik genting terutama di kalangan penyokong yang kecewa dengan tindakan parti yang tidak menyenaraikan calon pilihan mereka.

Hasilnya, kempen pilihan raya di Perlis menjadi hambar dan jentera parti juga seolah-olah tidak bergerak sehingga beberapa bilik gerakan terutama di sekitar Padang Besar dan Arau dikatakan hanya berperanan sebagai hiasan semata-mata.

Keadaan itu memberi kelebihan kepada pembangkang yang sudah sekian lama mengamalkan taktik tunggu dan lihat kerana mereka tidak mempunyai kekuatan mencukupi untuk menggugat keupayaan BN, terutama di Perlis.

Malah, berbekalkan pandangan sedemikian juga, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din sendiri pernah menyuarakan keyakinan untuk menawan sekurang-kurangnya satu kerusi Parlimen iaitu Arau, selain lima atau enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya umum kali ini.

Ini membabitkan tiga kerusi di bawah Parlimen Arau iaitu DUN Sanglang, Simpang Empat dan Guar Sanji, selain DUN Beseri di Padang Besar, manakala Bintong dan Kayang pula di Kangar.

Mungkin apa yang disuarakan Haron itu dianggap realistik bagi Pas pada awal tempoh kempen. Namun, jika diamati kekuatan BN di Perlis hari ini, Pas mungkin perlu menilai semula sasaran mereka.

Buktinya, peningkatan drastik kekuatan serta keupayaan BN menyelesaikan segala isu dalaman yang timbul.

Pujian juga harus diberikan kepada Shahidan selaku Pengerusi Perhubungan Umno Negeri yang berjaya memainkan peranan menyatukan semua ahli Umno dan BN negeri, untuk bekerja di bawah satu fahaman, tanpa sebarang sengketa atau perbezaan pendapat.

Bagi Shahidan, sehingga kini jentera pilihan raya BN Perlis bergerak lancar dan beliau sendiri hampir setiap malam turun padang melawat kawasan bersama jentera parti di setiap kawasan DUN dan Parlimen.

Motifnya, bukan sekadar untuk memberi ceramah atau berkempen semata-mata, tetapi lebih kepada usaha menyatukan kembali ahli Umno dan BN negeri.

“Saya akui faktor calon BN yang diletakkan di sesetengah kawasan mencetuskan krisis antara ahli, namun saya yakin BN akan kembali kukuh dan ahli Umno terutamanya, akan mengenepikan sebarang perbezaan pendapat menjelang hari pengundian dan kembali bersatu bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya ini," katanya mempertahankan kerusi DUN Tambun Tulang.

Dalam pilihan raya kali ini, BN Perlis menyenaraikan sembilan muka baru termasuk seorang di kerusi Parlimen iaitu adik Shahidan sendiri, Senator Datuk Ismail Kassim untuk menggantikan penyandang, Datuk Seri Syed Radzlan Syed Putra Jamalullail yang berpindah ke DUN Pauh. Beliau ditentang Haron.

Yang lain ialah Yeap Soon On (Titi Tinggi), Rawi Kassim (Beseri), Jamil Saad (Sena), Dr Por Choo Chor (Indera Kayangan), Mat Hassan (Kuala Perlis), Bakri Datuk Ali (Kayang) dan Abdullah Hassan (Sanglang).

Walaupun BN menyenaraikan 50 peratus muka baru, ia tidak menggugat populariti parti, apatah lagi dengan rekod baik Umno dan BN terutama di Perlis yang menjadi pilihan rakyat sejak pilihan raya umum pertama pada 1955.

Malah, imej Umno dan BN sebagai sebuah parti yang sentiasa relevan bagi setiap lapisan umur sejak dari dulu lagi, turut mengukuhkan penguasaan parti itu di Perlis.

Justeru, tiada sebab kenapa rakyat perlu berfikir dua kali untuk menyokong Umno dan BN sebagai sebuah parti pendokong bangsa, yang menjanjikan peluang sama rata bagi setiap lapisan masyarakat, selain berupaya membawa pelbagai bentuk kemudahan dan keselesaan untuk masyarakat sejagat.

Artikel lain: