|


Analisis: BN ganda usaha di Pulau Pinang
Oleh Fazli Abdullah

Sokongan padu, kerja keras jentera parti beri kelebihan untuk raih kemenangan

DENGAN bahang Pilihan Raya Umum Ke-12 menghampiri kemuncaknya, Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yang diterajui parti Gerakan terpaksa menggandakan lagi usaha hingga ke saat akhir berikutan asakan DAP yang mengidamkan Pulau Mutiara itu.

BN sebelum ini menguasai 39 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan daripada 13 kerusi Parlimen, tetapi sebahagian daripada kerusi terbabit terutama di sebelah pulau, berada dalam keadaan yang cukup mendebarkan.

Persoalannya sekarang, mampukah BN terutama Gerakan, MCA dan MIC mengulangi kejayaan gemilang seperti pada pilihan raya umum lalu? Sehingga kini, saingan begitu sengit sekali. Bagaimanapun, Umno yang mempertaruhkan 15 calon pada peringkat DUN dan lima di kerusi Parlimen, lebih menampakkan keyakinan untuk mempertahankan kerusi sedia ada walaupun cabaran sengit di sebilangan kecil kerusi itu.

Malah, dua pemimpin utama Gerakan dan MCA mengakui, tiada kerusi yang boleh dianggap selamat di negeri itu, sekali gus membuktikan jaminan dan keyakinan untuk mengekalkan kejayaan pada 2004, sememangnya sukar.

Kedua-dua parti itu, masing-masing bertanding 13 dan 10 kerusi DUN, serta empat kerusi Parlimen.

Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, yang mengetuai BN Pulau Pinang, mengakui persaingan pilihan raya kali ini lebih mencabar dan lebih hebat dan ‘panas’ berbanding Pilihan Raya Umum 2004.

“Kita jangka (cabaran sengit) tetapi akan berusaha mengekalkan sebanyak mungkin kerusi jika tidak semua. Kita tidak akan ambil mudah sama sekali. Ini adalah perjuangan yang sangat mencabar,” katanya yang bakal mengosongkan kerusi Ketua Menteri disandangnya selama 18 tahun.

Pandangan Koh mengenai cabaran getir yang terpaksa dilalui, turut disokong oleh orang nombor dua MCA, Datuk Seri Chan Kong Choy, yang juga Pengerusi MCA Pulau Pinang.

Chan yang menganggap tiada satu pun kerusi DUN dan Parlimen yang ditandingi parti itu di Pulau Pinang sebagai kerusi selamat, akan tetap berusaha sekurang-kurangnya mengekalkan kerusi sedia ada.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Azhar Ibrahim, menegaskan sokongan padu semua pihak dan kerja keras oleh jentera di semua bahagian, memberikan kelebihan untuk meraih kemenangan.

“Kita juga yakin dapat merampas semula dua kerusi Umno iaitu Parlimen Permatang Pauh dan DUN Permatang Pasir yang dikuasai pembangkang,” katanya yang juga mempertahankan DUN Penaga.

Meskipun, komponen BN begitu terasa bahang, DAP masih merendah diri, malah kelihatan seolah-olah begitu pesimis walaupun mereka sebelum ini begitu bersemangat untuk menafikan dua pertiga majoriti BN.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang juga mempertaruhkan diri di Parlimen Bagan dan DUN Air Putih, enggan membuat ramalan sokongan pengundi terhadap partinya kerana ia boleh berubah pada saat-saat akhir.

“Kita hanya boleh merancang, tetapi pada akhirnya rakyat yang akan membuat keputusan,” katanya yang sememangnya mengharapkan kemenangan besar pada kali ini.

Apa juga pandangan pemimpin BN dan pembangkang berhubung pilihan raya kali ini, kedudukan Kerajaan Pulau Pinang kini berada dalam keadaan yang bahaya berikutan pembangkang yang bertekad menguasai negeri itu sebagai asas untuk mereka memperluaskan kuasa ke negeri lain.

Isu nasional yang diperkatakan oleh pembangkang seperti kenaikan harga barang dan petrol, negara kebajikan, pendidikan percuma dan keselamatan, kurang mendapat sambutan kerana rakyat menyedari dan memahami kerajaan BN laksanakan untuk membantu rakyat.

Tetapi, isu utama yang dicanang oleh pembangkang khususnya DAP ialah berkaitan pengganti Ketua Menteri apabila Koh melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 18 tahun lalu.

Percaturan BN dengan tidak menamakan siapa bakal Ketua Menteri, dieksploitasi sepenuhnya oleh pembangkang dengan membuat tohmahan Umno yang mendominasi kuasa untuk menentukan siapa bakal menduduki kerusi itu.

Pembangkang mendakwa jika rakyat Pulau Pinang mengundi BN pada pilihan raya kali ini, bermakna mereka memberi kuasa kepada Umno untuk menentukan siapa bakal Ketua Menteri.

Dakyah pembangkang itu sedikit sebanyak mempengaruhi pengundi khususnya di kalangan masyarakat Cina di Pulau Pinang walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan Umno secara tradisinya tidak campur tangan.

“Isu ini banyak mengubah sokongan pengundi Cina daripada BN kepada pembangkang,” kata seorang pemerhati politik, tetapi menambah penafian Abdullah dijangka meredakan suasana.

Koh, yang tidak mahu isu itu terus mendominasi pilihan raya kali ini, meminta semua pihak menghentikannya, dan berharap supaya semua pihak memberi tumpuan kepada kempen pilihan raya.

Bagi Koh, keputusan muktamad siapa yang bakal menggantikannya – Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Lalu Lintas, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat Negeri, Datuk Dr Teng Hock Nan; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Teng Chang Yeow atau Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon – akan ditentukan selepas pilihan raya.

Berdasarkan kepada senario politik semasa yang dikatakan semakin banyak ‘kawasan hitam’ di Pulau Pinang, tiada siapa yang berani menjangkakan minda pengundi pada pilihan raya kali ini.

Walaupun pengalaman lalu membuktikan pengundi di Pulau Pinang terutama masyarakat Cina berpihak kepada pembangkang bagi kerusi Parlimen dan BN untuk kerusi DUN, ia tidak semestinya akan berterusan.

Tetapi, jika angin perubahan melanda dan gagal ditepis oleh jentera BN, sejarah dua pilihan raya lalu sudah pasti berulang, sekali gus memberi tamparan hebat kepada BN, khususnya Gerakan.

Pada 1986, DAP berjaya menguasai 10 daripada 33 kerusi DUN berbanding hanya dua daripada 27 kerusi pada 1982. Pada 1990, parti itu berjaya meningkatkan penguasaan kepada 14 kerusi.

Bagaimanapun, selepas itu pengaruh DAP pada peringkat negeri berjaya dikurangkan dan ini terbukti apabila parti berkenaan hanya berjaya menguasai satu kerusi DUN pada Pilihan Raya 1995 hingga 2004.

Apapun, menjelang hari mengundi Sabtu ini, jentera pilihan raya komponen BN perlu melipat gandakan usaha untuk memastikan kemenangan dan jangan sekali-kali berpuas hati mahupun berputus asa.

Apa yang perlu mereka lakukan sekarang ialah menarik seramai mungkin pengundi atas pagar yang dianggarkan 10 hingga 25 peratus bagi memastikan pilihan mereka adalah BN, bukannya pembangkang.

Artikel lain: