|


Karakter pemimpin warnai pentas politik
Oleh Azman Zakaria dan Ziauddin Sharuddin

SESUATU yang jelas ketika orang ramai mengundi Sabtu ini ialah, mereka tidak lagi dihantui rasa 'keliru', 'buntu' atau berbelah-bahagi terutama apabila terpaksa membuat satu pilihan membabitkan dua calon yang popular.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 ini, tiada pemimpin besar parti bertanding di kawasan sama, seperti sebelum ini.

Berdasarkan beberapa pilihan raya umum lalu, pertemuan seperti itu kebanyakannya membabitkan pemimpin DAP dengan MCA dan Gerakan, yang bagaikan menguji kekuatan pengaruh parti dan populariti calon di sesuatu tempat.

Dalam pertembungan seperti itu, ibarat pertemuan buku dengan ruas, kemenangan memberi pengertian besar kepada calon dan parti, manakala kekalahan akan memberi tamparan hebat kepada parti dan calon sehingga boleh menyukarkannya untuk kembali bertapak di tempat sama.

Mengimbau pertarungan gergasi dalam sejarah politik tanah air, antaranya adalah pertandingan satu lawan satu antara Presiden MCA, Tan Sri Lee San Choon dan Pengerusi DAP, Dr Chen Man Hin bagi kerusi Parlimen Seremban pada Pilihan Raya Umum 1982.

Lee yang berasal dari Pekan, Pahang, adalah Presiden MCA sejak 1973 kali pertama bertanding di kerusi Parlimen Kluang Utara, Johor pada Pilihan Raya Umum 1959. Selepas itu hingga Pilihan Raya Umum 1978, Lee bertanding di kerusi Parlimen Segamat dan tidak pernah tewas.

Keputusan Lee meninggalkan Johor yang memang kubu kuat Barisan nasional (BN) mencetuskan kejutan dan pada masa sama, menarik perhatian seluruh negara.

Dr Chen pula berasal dari China, tetapi gelanggang politiknya adalah di Seremban dengan kali pertama bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rahang pada 1965. Seremban adalah kubu kuat DAP.

Dia mempunyai sebuah klinik di Seremban dan dalam pilihan raya umum 1978, menang berganda di DUN Rahang dan kerusi Parlimen Seremban.

Pemerhati politik menyifatkan pertarungan kedua-dua pemimpin itu akan menentukan sama ada MCA atau DAP boleh mendabik dada sebagai mewakili kaum Cina dengan kawasan Parlimen Seremban yang mempunyai lebih 60 peratus pengundi Cina sebagai lambangnya.

Selepas berhempas pulas berkempen, Lee mencatat sejarah menumpaskan Dr Chen dengan majoriti 845 undi.

Mengimbas kembali pertarungan itu, Dr Chen berkata perubahan radikal pasti berlaku dalam DAP jika dia muncul sebagai pemenang, tetapi itulah kekalahan pertamanya.

Kerjaya politiknya kemudian turun naik dengan kemenangan terakhir pada Pilihan Raya Umum 1986 dan kemudian tewas dalam tiga pilihan raya umum berikutnya.

Lee pula berbangga dengan kemenangan itu, apatah lagi MCA turut mencapai kejayaan cemerlang dengan menguasai 28 kerusi Parlimen dan 28 DUN. Bagaimanapun, Lee secara mengejut meletak jawatan parti dan Kabinet setahun kemudian.

Selepas 1982 hingga sekarang, tiada lagi pertarungan membabitkan dua pemimpin tertinggi MCA dan DAP.

DAP dan Gerakan juga adalah dua parti yang menyaksikan pemimpin tertinggi kedua-dua parti bertembung dalam pilihan raya umum dengan Pulau Pinang sebagai gelanggangnya.

Selepas Projek Tanjong I gagal pada Pilihan Raya Umum 1986, DAP meneruskan Projek Tanjong II dalam pilihan raya umum berikutnya.

Di DUN Padang Kota dalam Pilihan Raya Umum 1990, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mencabar Tun Dr Lim Chong Eu, Ketua Menteri Pulau Pinang selama lima penggal berturut-turut dan tidak pernah tewas sejak mula bertanding pada 1964.

Melalui misi ‘hidup mati’ untuk menguasai Pulau Pinang, Kit Siang tahu kemenangannya akan menamatkan riwayat politik Dr Lim.

Dalam pertarungan itu, Kit Siang menewaskan orang kuat Gerakan Pulau Pinang dengan majoriti 706 undi. Malang buat Dr Lim. Jika tidak, dia mungkin mencatat rekod menjadi Ketua Menteri bagi penggal keenam.

Dalam Projek Tanjong III, Kit Siang sekali lagi terbabit dalam pertarungan gergasi dalam pilihan raya umum 1995. Kali ini, menghadapi Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang menggantikan Dr Lim sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Di DUN Tanjung Bunga, giliran Dr Koh pula membalas dendam terhadap kekalahan mentor politiknya, Chong Eu. Kit Siang tumbang dengan majoriti undi 7,703 dan sekali gus menghancurkan harapan DAP menguasai Pulau Pinang.

Namun, pada Pilihan Raya Umum Ke-12 ini, tidak ada pertembungan seumpama itu. Pemimpin parti sebahagian besarnya berdepan lawan yang kurang ternama, yang mahu membuat kejutan terhadap lawan meskipun ada antaranya berdepan misi yang hampir mustahil.

Mengulas senario ini, Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim, berpendapat pemimpin pembangkang tidak lagi mahu mengambil risiko mencabar pemimpin tertinggi BN dan masing-masing memilih kawasan selamat.

Selain itu, katanya bukan mudah untuk menewaskan pemimpin tertinggi BN kerana sejak merdeka, BN mencapai kejayaan dalam setiap kali pilihan raya umum.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 ini juga, negara 'kehilangan' beberapa pemimpin parti yang tidak lagi bertanding.

Gelagat Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik yang sering menjadi tumpuan ketika berucap melalui cara dan pemilihan kata-kata yang ada kalanya melucukan tidak akan lagi mewarnai pentas utama politik apabila penyandang kerusi Parlimen Beruas itu awal-awal lagi menyatakan mengundur diri.

Begitu jugalah dengan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang tidak bertanding, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy yang mengundur diri atas alasan kesihatan serta bekas Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek.

Hakikatnya, masa berlalu tetapi pemimpin berketerampilan meninggalkan legasi untuk generasi seterusnya. Karakter pemimpin tetap mewarnai pentas politik tanah air.

Artikel lain: