|


Analisis: Utara, Pantai Timur jadi tumpuan
Oleh Kadir Dikoh

BN, Pas sama-sama yakin kuasai Kelantan menjelang detik akhir penentuan

MENJELANG lewat malam ini, sebahagian besar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 ini akan diketahui. Apa yang pasti ialah Barisan Nasional (BN) yang sudah memerintah negara sejak merdeka, dijangka kembali berkuasa.

Untuk rekod, BN (dikenali sebagai Perikatan sehingga 1974) tidak pernah lagi gagal meraih majoriti dua pertiga sejak Pilihan Raya Umum pertama pada 1959 kecuali pada 1969 dengan majoriti mudah 51 peratus.

Perikatan/BN menang 74 daripada 104 kerusi Parlimen atau 71 peratus pada 1959, 85 peratus (1964), 51 peratus (1969), 87 peratus (1974), 84 peratus (1978), 85 peratus (1982), 83 peratus (1986), 70 peratus (1990), 84 peratus (1995), 76 peratus (1999) dan 90 peratus (2004).

Selain perhatian diberikan kepada prestasi BN dan parti pembangkang di 214 kerusi Parlimen (lapan sudah dimenangi BN tanpa dicabar), tumpuan sudah pasti kepada kawasan panas di beberapa tempat.

Secara khusus mata tertumpu kepada sama ada Pas dapat mempertahankan bentengnya di Kelantan atau BN sekali lagi melonjakkan gelombang birunya di Terengganu.

Ketika dua negeri Pantai Timur itu secara tradisinya menjadi rebutan antara BN/Umno dan Pas, dua negeri lain – Perlis dan Kedah, kali ini turut mencuri tumpuan kerana beberapa kerusi menyaksikan saingan sengit.

Bagaimana pula dengan Pulau Pinang, yang diasak DAP, mampukah Gerakan membendungnya ketika kerusi Ketua Menteri menjadi idaman tiga tokoh dalam parti berusia 40 tahun itu. Sudah pasti, keadaan di Selangor tidak terlepas daripada perhatian pemerhati politik kerana beberapa kerusi yang ditandingi BN kelihatan agak panas, sesetengahnya berikutan krisis dalaman.

Sekurang-kurangnya enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor dianggap ‘panas’ dan dikhuatiri jatuh ke tangan pembangkang berikutan pelbagai sebab, termasuk rekod perkhidmatan wakil rakyat yang buruk dan sengketa dalaman.

Keenam-enam DUN berkenaan ialah Batu Caves, Teratai, Cempaka, Gombak Setia, Bangi dan Bukit Gasing. Banyak isu kedengaran di kawasan terbabit.

Negeri lain seperti Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah selain Wilayah Persekutuan, nampak agak selesa untuk BN mencatat kemenangan besar. Apa yang masih menjadi perkiraan di negeri ini ialah ancaman DAP, terutama di kawasan majoriti pengundi Cina di Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan.

Pemerhati berkata, sukar menentukan siapa yang akan menang di Kelantan kali ini, tetapi pengundi luar, iaitu rakyat negeri itu yang bertugas di tempat lain, terutama Kuala Lumpur yang mula menyebabkan kesesakan bandar Kota Bharu sejak kelmarin, berpotensi menjadi penentu masa depan Kelantan.

Tiga hari lalu, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, dengan nada penuh yakin menyatakan Pas kini mendahului saingan di tujuh kerusi, manakala berdepan saingan sengit bagi lima kerusi lagi. Katanya, kali ini sama seperti ketika Pilihan Raya Umum 1999.

Tetapi jentera BN yang diketuai Datuk Dr Awang Adek Hussin yang bakal dijadikan Menteri Besar jika Pas kecundang, juga menyatakan keyakinan sama. Justeru, saingan sengit memang dijangka kerana 21 kerusi yang dimenangi Pas dan BN pada pilihan raya umum lalu, hanya dipisahkan dengan majoriti kecil di antara dua hingga 1,000 undi.

Di Terengganu, Pas dilihat hanya mampu memberi saingan sengit di 10 daripada 32 kerusi DUN seperti Rhu Rendang, Batu Buruk, Manir, Wakaf Mempelam, Bukit Payung, Pangkalan Berangan, Teluk Pasu, Jabi, Sura, Ladang dan Tepoh.

Tidak dipastikan sama ada jentera BN pada peringkat akar umbi mampu menukar senario itu menjelang detik akhir tempoh kempen tamat pada jam 12 tengah malam tadi.

Di Perlis, BN menghadapi saingan sengit, terutama di Parlimen Arau dengan penyertaan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din yang mencabar adik Menteri Besar, Senator Datuk Ismail Kassim.

Haron sendiri pernah menyuarakan keyakinan untuk menawan sekurang-kurangnya satu kerusi Parlimen iaitu Arau, selain lima atau enam kerusi DUN. Ini membabitkan tiga kerusi di bawah Parlimen Arau iaitu DUN Sanglang, Simpang Empat dan Guar Sanji, selain DUN Beseri di Padang Besar, manakala Bintong dan Kayang pula di Kangar.

Mungkin apa yang disuarakan Haron itu dianggap realistik bagi Pas pada awal tempoh kempen. Namun, jika diamati kekuatan BN di Perlis hari ini, Pas mungkin perlu menilai semula sasaran mereka.

Di Kedah, tumpuan lebih terarah di tiga kerusi Parlimen yang dikategorikan panas, iaitu Baling, Sik dan Pendang. Di Baling, Ketua Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Rahim dicabar Taib Azamudden Md Taib (Pas). Biar pun Sik yang sebelum ini adalah milik BN, kecuali DUN Belantek dipegang Pas sejak tiga penggal lalu, persaingan agak hebat.

Calon BN di Parlimen Sik ialah Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Othman Desa yang berdepan calon Pas, Che Uda Che Nik. Di Parlimen Pendang yang dikuasai Pas, BN menerusi calonnya, Datuk Md Rozai Shafian berdepan saingan sengit.

Kedah mempunyai 15 kerusi Parlimen dan 36 DUN, tetapi kawasan yang dianggap selamat atau agak selesa, termasuk di Parlimen Langkawi, Padang Terap, Jerai, Sungai Petani, Merbok, Alor Star, Kubang Pasu, Jerlun, Kuala Kedah, Padang Serai, Baling, Pokok Sena dan Kulim Bandar Baharu.

Pada Pilihan Raya Umum 2004, semua kerusi DUN dalam Parlimen berkenaan adalah milik BN, kecuali DUN Sungai Limau di Jerai, Bukit Pinang di Pokok Sena dan Anak Bukit di Kuala Kedah yang dimenangi Pas.

Turut menarik perhatian kali ini ialah BN Pulau Pinang yang diterajui parti Gerakan dan menerima asakan DAP sejak hari pertama lagi dalam usaha DAP untuk menakluki Pulau Mutiara itu selepas tiga kali gagal berbuat demikian menerusi ‘Projek Tanjung’.

BN sebelum ini menguasai 39 daripada 40 kerusi DUN dan lapan daripada 13 kerusi Parlimen, tetapi sebahagian daripada kerusi terbabit, terutama di sebelah pulau, berada dalam keadaan yang cukup mendebarkan.

Persoalannya sekarang, mampukah BN terutama Gerakan, MCA dan MIC mengulangi kejayaan gemilang seperti pada pilihan raya umum lalu? Sehingga kini, saingan begitu sengit sekali.

Bagaimanapun, Umno yang mempertaruhkan 15 calon pada peringkat DUN dan lima di kerusi Parlimen, lebih menampakkan keyakinan untuk mempertahankan kerusi sedia ada, walaupun cabaran sengit di sebilangan kecil kerusi itu.

Malah, dua pemimpin utama Gerakan dan MCA mengakui, tiada kerusi yang boleh dianggap selamat di negeri itu, sekali gus membuktikan jaminan dan keyakinan untuk mengekalkan kejayaan pada 2004, sememangnya sukar.

Artikel lain: