DETIK 12.01 tengah malam tadi secara rasmi berakhirlah tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-12, dan mengikut resamnya bermakna tibalah hari penuh debaran bukan saja bagi calon parti politik yang bertanding, malah bagi 10,922,139 pemilih berdaftar yang layak mengundi hari ini.
Tanggungjawab yang dilaksanakan setiap empat atau lima tahun sejak pilihan raya pertama pada 1955 itu bukan saja untuk memangkah kertas undi, malah lebih penting bagi menentukan individu yang bakal dipilih sebagai wakil rakyat untuk penggal seterusnya.
Pada pilihan raya umum kali ini, menyaksikan sebanyak 214 kerusi Parlimen dan 501 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan di seluruh negara, kecuali Sarawak yang hanya mempertaruhkan 31 kerusi Parlimen.
Lapan kerusi Parlimen dan empat kerusi DUN sudah dimenangi tanpa dicabar. Dengan itu, seramai 267,002 pengundi di kawasan terbabit tidak perlu keluar mengundi.
Tanggal 8 Mac juga mencatatkan sejarah tersendiri apabila bermula jam 8 pagi hingga 5 petang ini, pengundi akan menunaikan tanggungjawab itu bagi menentukan nasib 463 calon yang bertanding pada peringkat Parlimen dan 1,101 calon yang merebut 501 kerusi DUN.
Memang banyak dilakukan untuk memastikan jumlah yang keluar mengundi seperti mana diperuntukkan undang-undang meningkat setiap kali berlangsungnya pilihan raya umum. Bagaimanapun, kebiasaannya jumlah direkodkan adalah purata sekitar 70 peratus yang keluar mengundi. Persoalannya, ke mana perginya baki 30 peratus lagi pengundi yang gagal menggunakan sepenuhnya hak mereka?
Jika diimbau sejarah pilihan raya negara ini, peratusan keluar mengundi tertinggi bagi kerusi Parlimen adalah pada Pilihan Raya Umum Ke-3 pada 1964 apabila 78.9 peratus atau 2,057,504 mengundi daripada jumlah pengundi berdaftar seramai 2,720,100 orang, menunaikan tanggungjawab.
Peratusan terendah keluar mengundi untuk kerusi Parlimen pula adalah pada Pilihan Raya Umum Ke-10 apabila 69.33 peratus atau 6,631,094 mengundi daripada 9,564,071 pengundi berdaftar. Keadaan pada 1999 itu dipercayai ada kaitan dengan krisis kegawatan ekonomi serantau dan isu berkisar kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, keadaannya berbeza pada Pilihan Raya Umum Ke-11 apabila peratusannya meningkat kepada kira-kira 73 peratus daripada pemilih berdaftar, dengan jumlah tertinggi dicatatkan di Terengganu, iaitu sehingga 86 peratus.
Pada Pilihan Raya Umum 2004 itu, 10.3 juta pemilih berdaftar berpeluang memilih 431 calon yang bertanding di 203 kerusi Parlimen dan 1,097 calon merebut 497 kerusi peringkat DUN yang berakhir dengan kemenangan paling gemilang Barisan Nasional (BN), sekali gus memperoleh mandat untuk membentuk kerajaan.
Seharusnya sejak hari penamaan calon pada 24 Februari lalu, diikuti dengan tempoh berkempen selama 13 hari itu, semua pengundi sudah merencanakan jadual perjalanan mereka untuk menempuh hari penting ini.
Malah, peluang yang diberikan kerajaan dengan mengumumkan cuti sekolah sehari sebelum hari mengundi sepatutnya digunakan sebaik mungkin untuk pulang ke kampung masing-masing bagi menunaikan hak mereka.
Tentu ada yang berbuat demikian, bagaimanapun bagi yang masih terkial-kial untuk membuat keputusan, diharap tempoh sembilan jam yang diberikan untuk ke tempat mengundi hari ini tidak disia-siakan.
“Peluang untuk rakyat menunaikan hak memilih pemimpin kawasan masing-masing bukannya setiap tahun, oleh itu jangan berlengah-lengah keluar ke pusat mengundi.
“Pengundi dinasihatkan supaya membuat keputusan siapa yang akan dipilih dari rumah lagi selepas membuat pertimbangan dengan bijaksana, bukannya memikirkan perkara itu ketika tiba di pusat pengundian dan membiarkan diri dipengaruhi perayu undi parti yang bertanding,” kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.
Perlu diingat, dalam sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini – satu undi boleh menentukan menang kalah calon, juga kerajaan yang dipilih oleh pengundi dan perlu diketahui bahawa pilihan raya adalah perkara serius dan bukan medan percubaan.
Oleh itu, sebagai rakyat yang diberi hak dan kuasa membuat pilihan, seharusnya pemilihan dibuat dengan bijaksana, termasuk mengambil kira rekod cemerlang sesebuah parti politik itu, bukannya sekadar memangkah tanpa tujuan.
Walaupun, katanya, ada pihak cuba mensabotaj hari pengundian dengan menyebarkan khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) untuk menakut-nakutkan pengundi, tentunya jaminan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan untuk menjaga keselamatan semua pihak memberi semangat kepada pemilih berdaftar yang layak, keluar mengundi dan jangan pula sengaja ditangguhkan.
Mengikut Seksyen 9 Akta Pilihan Raya 1954, sesiapa yang menghalang secara melakukan perkara yang tidak wajar, berunsur kekerasan, sekatan, ugutan dan hasutan boleh didakwa di mahkamah.
Halangan itu meliputi cubaan menggunakan kekerasan seperti menyekat perjalanan pengundi dan menahan kenderaan yang membawa pengundi supaya mereka lewat sampai ke pusat pembuangan undi.
Malah, keputusan SPR membatalkan penggunaan dakwat khas bagi menanda kuku atau jari pengundi tidak seharusnya dijadikan antara alasan untuk tidak melaksanakan tanggungjawab dan hak masing-masing hari ini, terutama apabila pihak polis sendiri mengesahkan menerima empat laporan, iaitu dua di Perlis dan masing-masing satu di Kedah dan Kelantan mengenai tindakan pihak tertentu membeli dakwat berkenaan.
Malah, majikan sektor awam atau swasta yang tidak memberi pelepasan untuk pekerja mereka keluar mengundi juga dianggap menghalang secara sengaja. Majikan yang menghalang kakitangan keluar mengundi melakukan kesalahan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, dan boleh didenda RM5,000 atau dipenjarakan maksimum setahun jika sabit kesalahan.
Oleh itu, marilah beramai-ramai menunaikan hak dan menjadi sebahagian daripada rakyat yang turut menyumbang kepada pembentukan kerajaan dan bukannya sekadar tunggu dan lihat keputusan yang akan diumumkan malam ini.