TAN Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menerajui Selangor sebagai Menteri Besar, menggantikan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo selepas pakatan pembangkang menang besar dengan menguasai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding Barisan Nasional (BN) cuma 20 kerusi.
Abdul Khalid, berpengalaman luas dalam bidang korporat dilihat calon paling sesuai untuk mengetuai kerajaan negeri yang baru. Lebih menguatkan khabar itu, Dr Mohamad Khir meminta pegawainya mencarikan nombor telefon Abdul Khalid sebaik mendapat maklumat awal pakatan pembangkang berjaya menumbangkan BN Selangor.
Beliau dipercayai menghubungi bekas Ketua Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu untuk mendapatkan maklumat mengenai kerajaan baru yang akan dibentuk pakatan pembangkang bagi menerajui Selangor untuk tempoh lima tahun akan datang.
Abdul Khalid yang tewas kepada K Parthiban di DUN Ijok pada Pilihan Raya Kecil tahun lalu, merampas kerusi berkenaan daripada BN dengan majoriti 1,920 undi, menewaskan calon BN, Datuk Mohamed Sayuti Said.
Abdul Khalid juga memenangi kerusi Parlimen Bandar Tun Razak, menewaskan calon BN dan penyandang yang juga Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho dengan majoriti 2,515.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 kelmarin, yang keputusan penuh hanya diketahui awal pagi semalam, menyaksikan kejutan besar apabila Selangor buat kali pertama dalam sejarah politik tanah air, tumbang kepada pembangkang yang barangkali turut tidak menduga dapat menguasai negeri paling maju di Malaysia itu.
Pada peringkat DUN, BN memenangi 20 kerusi manakala pakatan pembangkang yang terdiri daripada PKR (15), DAP (13) dan Pas, lapan kerusi, berjumlah 36 kerusi. Barisan pembangkang memerlukan 29 kerusi untuk majoriti mudah.
Bagaimanapun, Dr Mohamad Khir mengekalkan kerusinya di DUN Sungai Panjang, dengan majoriti 5,828 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadzin Taslimin.
Pada peringkat Parlimen pula, BN terus mencatat sejarah hitam apabila hanya memenangi lima kerusi daripada 22 kerusi yang dipertandingkan. PKR menang sembilan kerusi, manakala Pas dan DAP masing-masing empat kerusi.
Ketika wakil rakyat baru daripada parti pembangkang bergembira dengan kemenangan besar itu, rakyat secara umumnya masih lagi terkejut dengan keputusan luar biasa berlaku di sebuah negeri yang selama ini dianggap selamat bagi BN.
Apatah lagi, jika dinilai kepada suasana sepanjang kempen 13 hari, BN Selangor seolah-olah sudah yakin dengan satu lagi kemenangan cemerlang, termasuk merampas semula DUN Sekinchan.
Walau apa pun percaturan jentera pilihan raya BN Selangor sepanjang kempen itu, jawapan yang mula diketahui menjelang jam 12 tengah malam kelmarin, nyata satu mimpi ngeri kepada calon yang tewas. Mereka tidak kecundang bersendirian tetapi tewas bersama kerajaan negeri BN.
Calon DAP bagi Sungai Pinang, Teng Chang Khim dijangka dilantik Timbalan Menteri Besar selepas mengekalkan kerusi selepas mengalahkan pencabarnya daripada BN, Datuk Song Kee Chai dengan majoriti lebih 7,000 undi.
Teng juga dikatakan akan melaksanakan tugas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), M Manoharan sebagai wakil rakyat, selepas memenangi kerusi DUN Kota Alam Shah atas tiket DAP, menewaskan calon BN Ching Su Chen dengan majoriti 7,184.
Manoharan, seorang peguam, ditahan Disember lalu kerana dituduh terbabit dalam penganjuran perhimpunan haram pada 25 November tahun lalu dan membuat kenyataan berunsur hasutan.
Dr Mohamad Khir yang berada di Bangunan Umno Selangor ketika menunggu keputusan pilihan raya umum di Selangor, meninggalkan bangunan itu awal pagi semalam sebelum keputusan penuh diperoleh tanpa sempat ditemu bual petugas media yang berkampung di situ sejak jam 8 malam.
Punca kekalahan BN Selangor pada pilihan raya kali ini banyak dikaitkan dengan undi protes yang diterjemahkan pengundi berikutan isu nasional seperti kenaikan harga barang, selain kegagalan menangani isu Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) yang menyaksikan masyarakat India beralih arah.
Masyarakat Cina dan Melayu yang tinggal di bandar pula dilihat rimas dengan cara isu berkenaan ditangani kepemimpinan Pusat dan negeri.
Percakaran dalam pemilihan calon terutama di DUN Pelabuhan Klang membabitkan Roselinda Abdul Jamil, menantu bekas wakil rakyat kawasan itu, Datuk Zakaria Md Deros dan penyandang, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin Parlimen Shah Alam, misalnya dipercayai turut menyumbang kepada senario sedia ada.
Bagaimanapun, apa yang menjadi tanda tanya di Parlimen Shah Alam ialah mengenai rasional kekalahan dua calon BN iaitu Datuk Salamon Selamat di DUN Batu Tiga dan Datuk Ahmad Nawawi Md Zin di Kota Anggerik, kedua-dua mereka tewas kepada calon PKR.
Jika Umno Bahagian Shah Alam masih tidak dapat menerima pencalonan semula Abdul Aziz dan mengundi protes pada peringkat Parlimen kerana hanya mahukan pemimpin dari bahagian itu, kenapa mesti Salamon dan Ahmad Nawawi, turut diketepikan.
Pengundi juga menterjemahkan undi protes dengan amalan yang didakwa nepotisme apabila Roselinda tewas kepada calon PKR, Badrul Hisham Abdullah.
BN juga mengalami kekalahan teruk di Parlimen Klang, Kapar dan Kota Raja apabila BN kalah semua kerusi DUN sekali gus menunjukkan pengaruh BN di kawasan terbabit teruk terjejas dipercayai faktor pemilihan calon dan isu Hindraf.
Kemenangan Manoharan itu memberi mesej jelas kepada BN bahawa masalah membelenggu masyarakat India yang turut mendapat simpati kaum Cina sebenarnya tidak pernah selesai walaupun kerajaan BN mendakwa sudah menyelesaikan masalah itu sebelum pilihan raya.
Selain isu nasional dan sejagat terutama kenaikan harga barang, strategi pembangkang yang bersepakat meletakkan calon berdasarkan peluang menang menjadi faktor penting pembangkang menawan Selangor kali ini.
Pas meletakkan calon berpendidikan tinggi, profesional dengan latar belakang agama manakala PKR meletakkan calon berbilang kaum bagi membuktikan parti itu memperjuangkan hak semua kaum dan DAP pula lebih tertumpu kepada kawasan bandar yang majoritinya Cina.
Rayuan Dr Mohamad Khir supaya pengundi menolongnya satu minit dengan mengundi BN agar beliau dapat menolong kembali mereka selama lima tahun, nampaknya disambut sepi. Ternyata pengundi sudah menetapkan pendirian mereka - protes supaya BN perlu lebih berhati-hati menangani isu yang boleh mengundang padah kepada pemerintah.
INTI PATI
Abdul Khalid memenangi kerusi Parlimen Bandar Tun Razak, menewaskan Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho dengan majoriti 2,515.
Teng Chang Khim dijangka dilantik Timbalan Menteri Besar.
Rayuan Dr Mohamad Khir supaya pengundi menolongnya satu minit dengan mengundi BN agar beliau dapat menolong kembali mereka selama lima tahun, nampaknya disambut sepi.