KETIKA tumpuan terarah ke Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah, kebanyakan pemerhati dan penganalisis politik bagaikan ‘lupa’ untuk turut menyenaraikan Perak sebagai satu lagi negeri di bawah ancaman pembangkang.
Apabila satu demi satu keputusan diumumkan sama ada bagi kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan Perak, ramai bagaikan terkejut, rupa-rupanya tempias ‘tsunami politik’ melanda negeri itu.
Akhirnya Barisan Nasional (BN) kecundang dan pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah selepas menang 31 daripada 59 kerusi DUN yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 kelmarin.
BN yang memegang tampuk pemerintahan kerajaan negeri sejak 11 penggal lalu, ternyata gagal menubuhkan kerajaan negeri selepas hanya menang 29 kerusi. DAP sebaliknya, menang semua 18 kerusi yang ditandinginya, manakala Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masing-masing menang enam dan tujuh kerusi.
Kemenangan pakatan pembangkang dan keupayaan membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya umum kali ini sememangnya satu kejutan apatah lagi kerana tidak ramai yang berani meramalkan BN Perak boleh tumbang, termasuk di kalangan calon pembangkang sendiri.
Berikutan itu, Pas, dan PKR dikatakan sudah mencapai persetujuan untuk mencalonkan Setiausaha Badan Perhubungan Pas Perak, Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar.
Mohammad Nizar, yang juga seorang jurutera menang kerusi DUN Pasir Panjang. Walaupun DAP menang lebih banyak kerusi tetapi difahamkan persetujuan memilih calon Pas untuk jawatan Menteri Besar dibuat atas semangat kerjasama ketiga-tiga parti pembangkang itu.
Pada Pilihan Raya Umum 2004, BN menguasai 52 daripada 59 kerusi DUN dengan DAP menang tujuh kerusi.
Kali ini, Umno berjaya menang sebanyak 27 kerusi daripada 34 kerusi yang ditandinginya. Calon Gerakan, MIC dan Parti Progresif Penduduk (PPP) bagaimanapun, tidak memenangi sebarang kerusi yang jelas tidak dapat membantu Umno sekurang-kurangnya bagi mendapat majoriti mudah.
MCA hanya menang satu kerusi di DUN Chenderiang selepas calonnya, Dr Mah Hang Soon seorang pakar jantung, menewaskan calon PKR, M Arjunan dengan majoriti 3,392 undi. Dr Mah memperoleh 7,451 undi, manakala Arjunan 4,059 undi.
Selain isu nasional dan setempat yang dimainkan pembangkang selama tempoh berkempen seperti kenaikan harga minyak, pemilihan calon juga dikatakan menjadi faktor utama kekalahan BN Perak.
Senarai pemilihan calon terutama di kalangan ahli Umno sendiri dikatakan kurang disenangi pihak tertentu kerana tidak memenuhi kehendak ahli Umno setempat yang berasakan ada calon Umno lain yang lebih layak pada peringkat akar umbi dan bukannya ‘calon payung terjun’, orang luar atau diwarisi.
Sebaik senarai calon diumumkan selepas pembubaran Parlimen, ada yang mempersoal dan mempertikaikannya kerana ada antara ahli Umno berasakan calon yang diketengahkan tidak layak dan sudah pasti mereka memprotes.
Antara antara perkara yang dilakukan ialah enggan membantu calon terbabit berkempen.
Begitu juga dengan pemilihan calon BN Parlimen Parit Buntar, Datuk Abdul Raman Suliman dan calon BN Bagan Serai, Datuk Zainal Abidin Zin dikatakan sebagai ‘orang lama’ di kawasan berkenaan dan sepatutnya diberi laluan kepada muka baru anak tempatan.
Keadaan itu memperlihatkan bahawa di kawasan tertentu Umno gagal untuk ‘groom’ atau mengasah pemimpin pelapis yang berwibawa dan mampu berkhidmat kepada masyarakat.
Calon BN tidak sewajarnya berharap untuk menang sekadar hanya menjadi calon atas lambang ‘dacing’, sebaliknya mereka perlu menunjukkan bahawa mereka mampu berkhidmat kepada masyarakat dan menjadi wakil rakyat yang berkesan.
Sentimen itu, bukan saja berlaku di kalangan Umno, malah ia juga berlaku pada calon komponen BN lain termasuk MCA, Gerakan, MIC dan PPP.
Misalnya, calon MIC, Datuk G Rajoo yang juga Pengerusi MIC Perak, yang digugurkan sebaliknya diganti dengan muka baru, Thangasvari Suppiah, sedangkan G Rajoo dikatakan diterima penduduk setempat kerana berjaya memberikan perkhidmatan yang baik kepada mereka selama menjadi wakil rakyat kawasan itu.
MIC kalah di semua empat kerusi yang ditandinginya di Perak termasuk Naib Presiden MIC, Datuk S Veerasingam di DUN Sungkai, Datuk M Ramasamy (Behrang), Vasan Sinnadurai (Pasir Panjang) dan S Thangasvari (Hutang Melintang).
Namun tidak jelas sejauh mana isu Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) yang dimainkan pembangkang menyebabkan pengundi keturunan India menolak calon BN terutama calon MIC pada pilihan raya umum kali ini, kerana di kawasan majoriti Melayu juga BN kalah atau mendapat majoriti yang kurang.
Calon BN Perak di kalangan pemimpin Kerajaan Persekutuan yang kecundang termasuk Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu di Parlimen Sungai Siput, Presiden PPP, Datuk M Kavyeas (Taiping) dan Ketua Pemuda Gerakan, Datuk Mah Siew Keong (Teluk Intan).
Bagaimanapun, beberapa pemimpin kanan parti dan Pusat yang bertanding di Perak termasuk Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz menang di Parlimen Kuala Kangsar, manakala Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe menang di Parlimen Grik.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali yang juga Pengerusi BN Perak mempertahankan kerusi DUN Pengkalan Hulu.
Apapun adalah jelas pada pilihan raya kali ini, penolakan ke atas calon BN dibuat secara besar-besaran membabitkan pengundi semua kaum.
Malah, calon BN yang menang juga majoritinya berkurangan, seperti yang berlaku kepada calon BN Bagan Datoh, Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang menang dengan majoriti 2,692 undi berbanding majoriti yang diperolehnya pada Pilihan Raya Umum 2004 sebanyak 12,539 undi.
BN Perak sewajarnya membuat kajian atau `post mortem' di atas kekalahan mereka, di manakah silapnya. Satu kajian terperinci perlu dilaksanakan walaupun kekalahan itu terlalu pahit untuk ditelan.