LAUNGAN 'Makkal Sakthi' (kuasa rakyat) yang sedikit sebanyak menjadi punca kekalahan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu di Parlimen Sungai Siput, sekali gus menamatkan riwayat politik selama 34 tahun, sudah tentu menjadi igauan ngeri beliau sepanjang hayat.
Makkal Sakthi adalah slogan yang menjadi ungkapan spontan ketika sekumpulan anggota masyarakat India mengadakan demonstrasi jalanan 25 November lalu, mendakwa mereka mahu menuntut keadilan kerana sekian lama terpinggir daripada arus pembangunan perdana negara.
Dua perkataan dalam bahasa Tamil itu turut dilaungkan masyarakat pelbagai kaum, termasuk anggota Pas, DAP serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan sudah sinonim dengan demonstrasi jalanan anjuran Pilihan Raya Adil dan Bebas Malaysia (Mafrel) dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
Agak menarik perhatian ialah senario penyokong Pas yang berkopiah dan berserban; anggota DAP berbangsa Cina serta orang Melayu dalam PKR termasuk Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak kekok melaungkan ‘Makkal Sakthi’.
Kegagalan sebahagian besar parti komponen Barisan Nasional (BN) mengambil perhatian terhadap kuasa rakyat ini menjadi punca kekalahan paling teruk bagi gabungan itu sejak negara mencapai kemerdekaan, tetapi ini tidak bermakna parti pembangkang yang menerima manfaat daripada kebangkitan ini boleh mendabik dada meraikan kemenangan.
Kuasa rakyat tidak mengenal falsafah politik, parti, agama, bangsa atau kaum, sebaliknya isu berkepentingan bersama seperti harga minyak, barang keperluan harian dan kos sara hidup menjadikan ikatan yang menyatukan serta memberi kekuatan kepada mereka.
Kematangan politik di kalangan pengundi sudah mencapai era baru, kini rakyat mahu melihat kerajaan yang dipilih oleh rakyat dan berkhidmat untuk rakyat dalam erti kata sebenar, bukan lagi berselindung di sebalik tabir BN dan menjanjikan tanggungjawab bersama di kalangan parti komponen.
Walaupun hampir semua komponen BN terjejas teruk dalam Pilihan Raya Umum 2008, nasib MIC boleh dikatakan lebih mengaibkan kerana hanya mampu mengekalkan tiga daripada sembilan kerusi Parlimen dan tujuh daripada 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding kemenangan 100 peratus pada Pilihan Raya Umum 2004.
Samy Vellu menerima penghinaan apabila gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput yang diwakilinya sejak 1974, manakala timbalannya dalam MIC, Datuk G Palanivel kecundang di Parlimen Hulu Selangor selepas tiga penggal menjadi wakil rakyat di situ.
Naib Presiden, Datuk S Sothinathan (Parlimen Teluk Kemang), Ketua Pemuda MIC, SA Vigneswaran (Parlimen Kota Raja) dan Ketua Wanita MIC, Datin Paduka P Komala Devi (Parlimen Kapar) turut gagal mempertahankan kerusi yang disandang.
Seorang lagi Naib Presiden MIC, Datuk S Veerasingam, yang berpindah dari Parlimen Tapah ke Dewan DUN Sungkai, tewas kepada A Sivanesan (DAP), manakala penggantinya di Tapah, Datuk M Saravanan, melakukan kejutan dengan mempertahankan kerusi terbabit.
Penyandang kerusi Parlimen Segamat, Datuk Dr S Subramaniam, yang juga Setiausaha Agung MIC selain penyandang kerusi Parlimen Cameron Highlands, SK Devamany berjaya mendapat mandat untuk mengekalkan kedudukan masing-masing.
Bagaimanapun, hasrat muka baru di Parlimen Subang, S Murugesan dan calon DUN Batu Caves, T Mohan, untuk menjadi wakil rakyat tidak kesampaian. Kedua-dua mereka adalah wakil Pemuda MIC dalam Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC.
Di DUN pula MIC hanya berjaya mempertahankan semua empat kerusi di Johor iaitu kerusi Gambir yang disandang M Asojan dan tiga muka baru masing-masing di Kahang (R Vidyanathan), Tenggaroh (S Murukasvary) dan M Munusamy di Permas.
Sementara itu, di Negeri Sembilan, VS Mogan menang di DUN Jeram Padang dan R Perumal (DUN Asahan, Melaka), manakala Datuk M Murthy menang di DUN Sabai, Pahang.
Kebanyakan calon MIC kali ini kecundang di tangan calon PKR atau DAP kecuali DUN Bukit Selambau, Kedah yang menyaksikan calon Bebas, V Arumugam menewaskan S Krishnan.
Secara keseluruhan, tiga calon MIC tumpas kepada calon pembangkang berbangsa Melayu, manakala baki tujuh lagi calon MIC kecundang kepada calon DAP atau PKR yang berketurunan India.
Ketiadaan MIC tidak bermakna suara masyarakat India tidak akan kedengaran di Dewan Rakyat atau DUN, malah ada 12 calon berketurunan India yang menang kerusi Parlimen atas tiket PKR.
Ada 15 calon berketurunan India di DUN iaitu Keshvinder Singh (Malim Nawar), A Sivanesan (Sungkai), Subramaniam (Buntong) serta V Sivakumar (Tronoh) mewakili DAP dan calon PKR, S Kesavan di Hutan Melintang.
Di Pulau Pinang pula, calon DAP, Prof P Ramasamy muncul sebagai ‘giant killer’ dengan menewaskan Tan Sri Koh Tsu Koon di kerusi Parlimen Batu Kawan, turut mengalahkan calon MIC bagi di DUN Perai. Selain beliau, SN Rayer (DAP) menang di Seri Delima, manakala S Raveenthran (PKR) menang di Batu Uban.
Di Selangor, dua calon PKR iaitu Dr Xavier Jayakumar dan M Muthiah masing masing memenangi kerusi DUN Seri Andalas dan Bukit Melawati, manakala K Manoharan daripada DAP memenangi kerusi Kota Alam Shah.
Di Negeri Sembilan, tiga calon DAP, K Arumugam, P Gunasegaran dan S Veerapan masing-masing memenangi kerusi DUN Rahang, Senawang dan Repah manakala calon PKR, M Ravi menang di DUN Port Dickson.
Selepas semuanya berakhir, tiba-tiba muncul pelbagai pemerhati, penganalisis politik dan pakar akademik mendakwa kekalahan BN secara umum dan MIC khususnya sudah dapat dirasai sejak beberapa bulan lalu, namun persoalannya, kenapa tiada tindakan susulan diambil.
Apabila Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) mengadakan demonstrasi jalanan, lebih ramai yang lantang mengutuk dan mencerca mereka, tetapi tiada seorang pun cuba mencari punca mereka bertindak sedemikian, malah MIC yang sepatutnya menjaga kepentingan kaum India turut menjadikan Hindraf sebagai budak belasahan.
Semua ini harus diambil iktibar oleh BN yang bertanggapan pengundi India hanya minoriti di negara ini kerana terbukti kematangan masyarakat kini melampaui batas perkauman, agama atau bangsa, sebaliknya mereka mahu kerajaan yang mampu menyelesaikan masalah seharian.
Ini bukan saja menjadi pengajaran kepada MIC tetapi kepada keseluruhan gagasan BN dan pakatan pembangkang kerana setiap calon kini dinilai secara individu berdasarkan kemampuan serta kewibawaan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
Bagi Samy Vellu sendiri, terjejasnya MIC dan kekalahan peribadi pada hari jadinya sudah tentu sesuatu yang sukar diterima. Itulah hakikat yang terpaksa diakui dan langkah merencana strategi seterusnya perlu dilakar.
Dengan kekalahan itu juga, ramai tertanya-tanya apa bakal berlaku kepada Samy Vellu, pemimpin veteran yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 1978 seterusnya sebagai Menteri Kerjaraya dan kemudahan awam pada 1979 sehingga 8 Mac lalu.