|


Analisis: Kempen BN salah strategi
Oleh Ismail Mat

Langkah bawa balik pengundi muda tak bantu usaha tawan Kelantan

STRATEGI kempen yang silap, meranapkan sebuah impian yang menggunung. Hanya itu yang mampu dirumuskan dalam memperkatakan punca kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) di Kelantan, pada pilihan raya umum kelmarin.

Di sebalik pengaruh pelbagai isu nasional yang berjaya diperkudakan sepenuhnya jentera lawan bagi menggugat sentimen dan emosi pengundi, kekalahan juga turut disumbangkan daripada strategi BN sendiri.

Harapan tinggi diletakkan kepada pengundi luar untuk membantu membawa perubahan di negeri ini, menjadi strategi menikam diri kerana walaupun ramai yang balik, kebanyakannya menyokong lawan.

Bermula dengan pengumuman calon BN yang menampakkan kepincangan, ia berterusan kepada kekalahan tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang.

Kemunculan calon Bebas pada hari penamaan juga menyaksikan betapa kedudukan calon BN pada beberapa kerusi, berdepan dengan ancaman cah keting (sabotaj) sesama sendiri secara terbuka.

Bahan kempen juga tidak disebarkan secara sepakat. Ketika perpaduan menjadi kekuatan, ada calon hanya berkempen untuk diri sendiri, bukan secara berpasukan dalam satu Parlimen.

Malah, manifesto yang dianggap terbaik pernah disediakan untuk rakyat Kelantan, sewajarnya disebarkan secara meluas mengikut kumpulan sasaran, malangnya ada yang masih terkial-kial hingga saat akhir.

Pada masa sama, tumpuan dan harapan yang diberikan kepada pengundi luar khususnya golongan muda untuk kembali membuat perubahan demi rakyat Kelantan, ternyata menjerat BN.

Meskipun pulang mengundi dengan menggunakan kemudahan atau saluran yang diuruskan BN, mereka sebenarnya pulang sekadar mahu mengutip habuan yang dijanjikan kedua-dua pihak sambil mengundi Pas.

Malah, ada di kalangan pengundi muda terbabit sebenarnya penyokong Pas yang mengambil kesempatan menumpang kenderaan BN bagi mengurangkan peluang penyokong BN kembali ke Kelantan.

Keadaan itu menyaksikan, kebanyakan calon BN mengalami kekalahan teruk bagi saluran pengundi muda kerana golongan yang pulang dari luar, khususnya Lembah Klang turut membawa pulang sentimen menyokong lawan.

Ketua Pemuda Umno Kelantan, Dali Hussin, sendiri mengakui pengundi luar kali ini pulang mengundi sambil membawa sentimen yang tidak menguntungkan BN.

"Berdasarkan semakan awal kami, semua calon BN mendapat undi seimbang bagi saluran tempatan tetapi kita kalah teruk bagi saluran pemuda yang kebanyakannya terdiri pengundi luar," katanya.

Justeru, katanya kepentingan pengundi luar perlu dikaji semula, sama ada mereka benar-benar mampu menjana kemenangan atau boleh menyebabkan kekalahan seperti berlaku kali ini.

Berdasarkan jumlah undi yang diperoleh setiap calon BN pada pilihan raya kali ini, kebanyakan mereka memperoleh undi hampir sama atau lebih baik berbanding jumlah undi dikutip BN di kawasan sama pada 2004.

Namun, pertambahan pengundi berlaku sepanjang tiga tahun lalu pada setiap kerusi di seluruh negeri, menyaksikan hampir 90 peratus pengundi baru itu memihak kepada Pas atau PKR.

Justeru, keberkesanan jentera pilihan raya BN yang bertanggungjawab mengawasi daftar pemilih seluruh negeri ini, termasuk membuat sebarang bantahan jika timbul kecurigaan, sepatutnya lebih cekap menguruskan keadaan itu.

Mereka sewajarnya bertindak pantas mengesan kedudukan setiap pengundi mengikut kawasan, sama ada benar-benar pengundi tempatan atau luar atau pemindahan masuk ke sesuatu kawasan.

Bagaimana boleh dibiarkan ada penyokong BN didaftarkan di DUN Panchor boleh ditukar mengundi di Gua Musang, manakala yang selama ini mengundi di Melor, tiba-tiba bertukar ke Pasir Puteh.

Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa, sendiri mengakui yang kegagalan jentera BN menyemak daftar pemilih selama ini akhirnya menimbulkan masalah yang merugikan parti.

Namun, katanya, selain daftar pemilih, kekalahan BN Kelantan turut berpunca pengaruh luaran terutama sentimen perkauman dan anti-Umno yang selama ini memperjuangkan kepentingan Melayu di negara ini.

Di Kelantan, sentimen anti-Melayu dicorakkan kepada kebencian terhadap Umno oleh pakatan pembangkang, yang membentuk kerjasama mengikut keperluan dan kepentingan masing-masing.

Sentimen benci Umno itu dibawa pengundi luar sehingga mempengaruhi sanak-saudara di sini, walaupun pada 2004, mereka menunjukkan sikap berbeza kepada BN.

Kekalahan BN juga berpunca daripada strategi protes senyap berhubung pelbagai isu, termasuk kenaikan harga barang yang sebenarnya direncana pihak yang menguasai ekonomi negara bagi menimbulkan kemarahan rakyat kepada kerajaan.

Selain itu, pemerhatian mendapati gaya hidup sesetengah pemimpin BN serta pembabitan ahli keluarga mereka dalam politik dan perniagaan juga menjadi sebahagian serangan peribadi dan perang psikologi lawan hingga saat akhir.

Malah, lawan sanggup mencetak buku dan bahan kempen yang di luarnya tertera program BN dan Umno tetapi kandungannya dipenuhi pelbagai bahan kempen menjatuhkan BN dan Umno.

Di setiap persimpangan menghala ke Kelantan, dibentangkan pula kain rentang memaparkan kekhusyukan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berdoa sambil mengalirkan air mata, yang turut menyentuh perasaan sesiapa melihatnya.

Kini, keputusan pilihan raya sudah diketahui, ibarat nasi sudah menjadi bubur, impian hanya tinggal impian, kekalahan bermakna BN Kelantan kini perlu menunggu lima tahun lagi sama ada mampu untuk bangkit atau karam lebih dalam.

Artikel lain: