|


Analisis: Keberanian Idris kekalkan BN

Terengganu berjaya kekang pembangkang dengan menang majoriti dua pertiga

SELEPAS senarai calon Barisan Nasional (BN) Terengganu diumumkan 20 Februari lalu ada pihak mengatakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Idris Jusoh, seorang yang berani atau 'gila' kerana tidak mencalonkan empat atau 50 peratus daripada lapan ketua Umno bahagian pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Ternyata keputusan itu dengan restu Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak memberi sebarang impak besar, sebaliknya BN negeri berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga, termasuk kemenangan dengan majoriti bertambah di kawasan ketua bahagian yang tidak dicalonkan semula.

Walaupun gagal mencapai sasaran 66 peratus undi popular, dengan jumlah undi sebanyak 478,686 atau 54.94 peratus diraih di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 392,633 pembangkang, BN Terengganu terselamat daripada tsunami politik yang berlaku di negeri utara.

Terengganu dilihat berjaya mengekang arus pembangkang kerana kebanyakan isu yang dibangkit sepanjang 13 hari kempen di negeri ini adalah isu tempatan, malah pemilih tidak terpengaruh dengan isu nasional seperti di Pantai Barat.

Slogan `acu cuba sekali' yang melanda Terengganu pada Pilihan Raya Umum 1999 dan pengalaman pahit di bawah pemerintahan pembangkang banyak memberi pengajaran kepada rakyat negeri itu supaya tidak memperjudikan masa depan anak cucu mereka.

Justeru, perasaan tidak berpuas hati penyokong ketua bahagian, wakil rakyat atau pemimpin yang digugurkan atau tidak dicalonkan semula tidak memuncak sehingga mereka sanggup menggadaikan maruah parti.

Malah, tidak menjejaskan kemenangan BN di Terengganu sekali pun perasaan tidak puas hati itu disuarakan melalui perhimpunan dengan kain rentang membantah pemilihan Idris selama empat hari selepas pengumuman calon.

Kebijaksanaan Idris menangani isu itu dan ketaatan bekas wakil rakyat dan ketua bahagian kepada parti yang dianggap lebih penting daripada diri sendiri, membolehkan jentera BN bergerak lancar sepanjang kempen walaupun ada segelintir ahli mengambil sikap `diam dan lihat'.

Idris berkata, kekalahan BN di lapan DUN dan satu kerusi Parlimen bukan disebabkan penampilan 15 calon baru kerana ada daripada mereka memperoleh majoriti lebih besar khususnya di Parlimen Besut.

Di Parlimen Hulu Terengganu misalnya, pengguguran Ketua Umno Bahagian itu, Datuk Tengku Putera Awang tidak menjejaskan pencapaian parti apabila calon BN, Mohd Nor Othman berjaya meraih 10,460 majoriti iaitu lebih tinggi berbanding 7,760 undi pada 2004.

Malah, DUN Telemong dalam Parlimen itu mencatatkan majoriti tertinggi di Terengganu dengan 5,893 undi apabila calonnya, Rozi Mamat yang mempertahankan kerusi untuk penggal kedua, meraih 8,619 undi berbanding calon Parti Keadilan Rakyat, Engku Abu Bakar Engku Mohamad (PKR) hanya meraih 2,726 undi.

Keadaan sama berlaku di Parlimen Dungun apabila calon BN di kerusi itu, Matulidi Jusoh menang dengan majoriti lebih tinggi berbanding pilihan raya 2004, hasil jentera kempen yang dibantu oleh Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan yang tidak dicalonkan semula.

Usaha Idris untuk mengubah pemikiran, landskap dan senario politik walaupun dianggap berani, memberi sedikit kesan di Parlimen Kuala Terengganu apabila pembangkang memenangi tiga daripada empat kerusi iaitu di DUN Ladang, Wakaf Mempelam dan Batu Burok.

Pemilihan calon bertanding di Kuala Terengganu dianggap `luar biasa' kerana Ketua Umno bahagian, Timbalan Ketua, Naib, Ketua Pemuda atau Ketua Wanita, tidak termasuk dalam senarai calon.

Hanya seorang daripada kepemimpinan bahagian iaitu Ketua Puteri Umno bahagian, Nordiana Shafie dicalonkan bertanding di DUN Batu Burok, tetapi tewas kepada calon Pas, Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dengan majoriti 1,161 undi.

Justeru, tidak hairanlah apabila calon BN, Datuk Wan Hisham Wan Salleh kalah dengan 31 undi DUN Ladang, timbul cakap-cakap bahawa ada 160 petugas Pemuda yang aktif sewaktu berkempen dikesan gagal mengundi.

Apa yang paling dikesalkan menurut satu sumber, usaha mengesan pemilih terbabit gagal apabila telefon bimbit mereka dimatikan.

Begitu juga di Parlimen Marang, apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya merampas semula kerusi itu yang ditandingi oleh bekas Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir dengan majoriti 2,747 berbanding 163 undi pada 2004.

Ahmad Ramzi menggantikan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar yang tidak dicalonkan semula walaupun Ketua Umno Bahagian Marang itu pernah digelar `giant killer' kerana menewaskan Abdul Hadi sebanyak dua kali.

Pilihan raya Sabtu lalu juga menyaksikan Pas terus bertapak kukuh di Wakaf Mempelam, Batu Burok selain menawan DUN Ladang di Parlimen Kuala Terengganu.

Apa yang mengejutkan, kekalahan tiga daripada empat DUN di Parlimen itu tidak menafikan peluang penyandang kerusi Parlimen berkenaan, Datuk Razali Ismail mempertahankan kerusi bagi penggal kedua dengan majoriti 628 undi.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Razali meraih 32,562 undi; Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu (31,934 undi) dan calon Bebas tunggal di Terengganu, Maimun Yusof, 685 undi.

Razali berkata, walaupun menang dengan majoriti kecil, beliau mempunyai azam, iltizam serta integriti untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat.

"Hasrat kita memberi kepuasan kepada rakyat yang saya wakili. Saya berpegang kepada prinsip `pleasing others'. Ertinya memberi kepuasan kepada pelanggan saya adalah satu kesenangan pada saya.

"Kepuasan rakyat yang saya pimpin, yang saya wakili adalah satu ketenangan bagi saya. Ini adalah pegangan hidup saya lebih-lebih lagi dengan sifat saya sebagai pendidik selama berpuluh tahun," katanya sambil melahirkan rasa terharu kerana rakan yang dedikasi menjalankan tugas tewas pada pilihan raya itu.

Pilihan raya kali ini juga menyaksikan pembangkang bertindak mencabuli undang-undang apabila sewenang-wenangnya menahan bas yang membawa pengundi yang tinggal di luar Terengganu, pulang untuk mengundi.

Kejadian itu memaksa polis melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan lebih 1,000 penyokong pembangkang yang merusuh dan membaling batu ke arah kenderaan dan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di kubu kuat Presiden Pas di Kampung Rusila.

Apa yang didakwa pembangkang sebagai pengundi hantu adalah tidak benar, malah tindakan ganas mereka menyebabkan rakyat, khususnya pengundi yang baru pulang mengundi memilih BN untuk menerajui negeri.

Yang pasti tindakan penyokong pembangkang menahan bas dan memeriksa kad pengenalan itu meninggalkan trauma kepada pengundi luar dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.

Bagaimanapun, perubahan senario dan landskap politik yang luar biasa pada peringkat nasional menuntut wakil rakyat mengotakan janji dan perlu bersiap sedia dengan hujah apabila `berdebat' di Dewan Rakyat mahu pun di Dewan Undangan Negeri.

Negara kini memerlukan wakil rakyat yang benar-benar intelektual, ahli politik yang benar-benar berilmu dan matang selok-belok kehendak rakyat serta tahu strategi terbaik harus dibuat untuk memberi manfaat kepada rakyat.

Artikel lain: