PENCAPAIAN Barisan Nasional (BN) Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-12 kelmarin mungkin dicemburui rakan negeri lain, malah mungkin ada pihak mengimpikan untuk menjadi sebahagian daripada kekuatan aset tetap parti pemerintah itu.
Kerahan tenaga pimpinan Datuk Seri Musa Aman selaku Pengerusi BN Sabah yang saban hari berada di setiap pelosok negeri berkeluasan berkeluasan 76,115 kilometer persegi itu dilihat menakjubkan kerana berupaya mengulangi penguasaan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 24 kerusi Parlimen mirip empat tahun lalu.
Bezanya, kerusi DUN Kuala Penyu dan Parlimen Sandakan yang ditawan Bebas pada 2004 berjaya dirampas tetapi dibayar dengan kehilangan kuasa di DUN Sri Tanjong dan Parlimen Kota Kinabalu kepada DAP yang menewaskan calon BN daripada Parti Bersatu Sabah (PBS).
Kali terakhir dilihat di Sabah sekitar 1980-an dengan menguasai empat kerusi Parlimen, lolosnya DAP pada pilihan raya kali ini wajar mencetuskan kebimbangan dan persoalan terhadap kemahuan sebenar rakyat terutama pengundi Cina di bandar.
Presiden PBS, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan, berjanji kekalahan dua calonnya terutama bagi Parlimen Kota Kinabalu akan diteliti secara terperinci kerana semua parti komponen berikrar untuk bekerjasama demi memastikan kemenangan BN.
Pada masa sama, kegagalan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencapai persepakatan dalam mengelak pertindihan bertanding di kawasan sama mendatangkan rahmat buat BN di Sabah yang sejak awal lagi menyetujui formula status quo 2004 dari segi agihan pembahagian kerusi di kalangan komponennya.
Pencapaian Negeri di Bawah Bayu pada pilihan raya umum kali ini mengesahkan kematangan rakyatnya dalam menentukan haluan untuk tempoh sekurang-kurangnya lima tahun akan datang, dengan syarat setiap undi diberi mesti dibalas dengan segala janji pembangunan yang diberi.
Tiada pemimpin Kabinet negeri penggal lalu kecundang dan tiada juga menteri Kabinet Persekutuan ditolak rakyat. Lebih menarik, 20 daripada 21 muka baru yang ditampilkan BN lulus ujian awal dalam meyakinkan rakyat untuk memilih mereka bermodalkan lambang dacing.
Melainkan Yong yang tidak bertanding, semua pemimpin parti komponen beroleh kemenangan dan paling gembira pastinya Presiden LDP, Datuk VK Liew, yang mengembalikan Parlimen Sandakan menerusi percubaan sulung.
Bagi Musa, pencapaian BN Sabah kali ini adalah cerminan luahan rakyat yang mahu keselesaan sedia ada diteruskan, malah perlu ditingkatkan tanpa perlu menunggu mereka mengeluh meminta jambatan usang diganti atau jalan berlubang dibaiki.
“Sebagai YB iaitu ‘Yang Berkhidmat’, tempat kita adalah bersama rakyat. Tanggungjawab kita ialah memberi perkhidmatan terbaik buat mereka dan kejujuran itu bakal menjadi perisai kebal untuk ditembusi pembangkang.
"Jaga rakyat dengan mengambil tahu keperluan mereka dan mencari jalan mengatasinya, bukan menabur janji sesuka hati,” katanya.
Hakikatnya, rakyat Sabah mempunyai pengalaman bernaung di bawah pembangkang. Mereka lebih awal mengharungi pahit getir dipinggir daripada arus kemajuan dan pembangunan ketika pentadbiran negeri berbeza nadanya dengan Kerajaan Pusat.
Keampuhan yang menepati label ‘simpanan tetap’ seperti pernah disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, itu semestinya mengundang persoalan - mungkinkah Kabinet Pusat bakal menyaksikan lebih ramai wakil dari Negeri di Bawah Bayu berdasarkan prestasi cemerlangnya?
Penggal lalu, Sabah mempunyai tiga menteri Pusat iaitu Tan Sri Bernard Dompok dan Datuk Dr Maximus Ongkili selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Anifah Aman, kekal mempertahankan Parlimen Kimanis manakala Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Azizah Mohd Dun, beralih ke kerusi DUN Klias - keadaan yang memungkinkannya diserap menganggotai Kabinet negeri.
Dengan keputusan kelmarin, rungutan dan rajuk yang kedengaran di kalangan beberapa individu digugurkan sebelum ini seakan lenyap dibawa angin. Malah, mereka sewajarnya memanjat kesyukuran kerana Sabah tidak dilanda `gelora perubahan’ seperti beberapa negeri di Semenanjung.
BN Sabah tidak mempunyai ruang untuk bersenang-lenang, jauh sekali mendabik dada dengan prestasi cemerlangnya. Seawal semalam, Musa dan ‘bala tenteranya’ terutama yang baru kali pertama mengecap kemanisan menjadi wakil rakyat, wajar memulakan misi ‘Yang Berkhidmat' tanpa perlu menunggu lebih lama. Rakyat memerhatikan setiap langkah dan mendengar segala butir bicara sambil membuat penilaian sama ada semuanya dibuat ikhlas untuk membalas budi memberi undi atau cenderung untuk memungkiri janji.