Pengundi bijak, mampu nilai projek pembangunan selama ini
BARISAN Nasional (BN) Perlis yang diuar-uarkan dilanda kemelut politik sejak sekian lama, membuat kejutan sendiri apabila muncul antara jentera paling mantap selepas keputusan pilihan raya diumumkan.
Malah, kejayaan Perlis mencatat kemenangan melebihi majoriti dua pertiga dianggap suatu yang menakjubkan, apatah lagi beberapa negeri lain diklasifikasikan sebagai tenang, menjunam teruk, termasuk ada antaranya jatuh ke tangan pembangkang.
Ini termasuk, negeri jiran Perlis, iaitu Kedah dan Pulau Pinang yang sebelum ini dikatakan mempunyai peluang cerah dikekalkan penguasaan oleh BN, namun hakikatnya senario pengundian kali ini lebih memihak kepada pembangkang. Tiga lagi negeri menerima nasib sama iaitu Selangor, Perak dan Kelantan.
Dengan penguasaan BN ke atas 14 daripada 15 kerusi dipertandingkan di Perlis, maka tanggapan umum sebelum ini yang menganggarkan BN bakal kehilangan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk Parlimen Arau, berikutan pergolakan dalaman parti, ternyata jauh meleset.
Malah, keyakinan pembangkang menerusi Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din menawan sekurang-kurangnya satu kerusi Parlimen iaitu Arau, selain lima atau enam kerusi DUN juga berkubur.
Ini membabitkan tiga kerusi di Parlimen Arau, iaitu DUN Sanglang, Simpang Empat dan Guar Sanji, selain DUN Beseri di Padang Besar, manakala Bintong dan Kayang pula di Kangar.
Seperti biasa, beberapa kerusi panas menjadi tumpuan utama di Perlis seperti DUN Sanglang dan Simpang Empat yang dikatakan masih berada dalam kedudukan undi 50-50.
Selain itu, pertembungan antara adik Menteri Besar, Datuk Ismail Kassim dan Haron di Arau turut menghangatkan lagi suasana di Perlis. Ismail, bagaimanapun menang dengan majoriti 300 undi.
Ketegangan politik Perlis turut didorong pergolakan dalaman yang dialami antara penyokong serta beberapa pemimpin parti, terutama golongan memprotes penyenaraian calon BN Perlis, sehingga ada khabar angin mengatakan timbulnya agenda memboikot atau mensabotaj BN.
Apa pun spekulasi yang ditabur, senario sedemikian turut memberikan impak kepada sokongan pengundi, menyebabkan kecenderungan undi bagi setiap calon, sentiasa berubah-ubah dan kedudukan beberapa kerusi juga dikatakan tidak stabil.
Walaupun kesannya bersifat sementara, ia tidak menjejaskan populariti Umno dan BN Perlis, malah menambahkan lagi kekuatan serta keutuhan parti untuk merangkul kejayaan besar, walaupun beberapa negeri lain menjunam.
Hasilnya, Perlis menyapu bersih tiga kerusi Parlimen menerusi Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid di Arau; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad (Kangar) dan Ismail di Arau.
Selain itu, masing-masing lima kerusi DUN di Padang Besar dan Kangar turut dikuasai BN. Di Arau pula, hanya DUN Simpang Empat dikuasai pembangkang, manakala selebihnya, termasuk kerusi DUN Sanglang yang menjadi kubu kuat Pas sejak 1999, dirampas semula BN.
Kejayaan Perlis itu, hampir menepati sasaran diletakkan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang yakin mampu mencapai 100 peratus kemenangan, termasuk merampas semula kerusi DUN Sanglang yang dikuasai Pesuruhjaya Pas negeri, Hashim Jasin.
Bagaimanapun, di sebalik kejayaan merampas Sanglang itu, BN seolah-olah kehilangan rentak apabila gagal mempertahankan DUN Simpang Empat, iaitu satu-satunya kerusi yang jatuh ke tangan pembangkang di Perlis.
Apa pun, kekalahan di Simpang Empat itu memang sudah diramal, apatah lagi populariti calon yang juga penyandang, Zahari Bakar, juga dikatakan semakin lenyap. Kesempatan itu, pantas dirampas calon Pas, Rus'sele Eizan dan majoriti 53 undi yang diperoleh sudah mencukupi untuk menafikan penguasaan BN di DUN Simpang Empat.
Bagi kerusi DUN Sanglang pula, kehadiran muka baru, Abdullah Hassan, yang sebelum ini dianggap gagal menyaingi kekuatan Hashim yang juga tokoh Pas negeri, nyata silap apabila calon BN itu menang dengan majoriti 149 undi.
Mungkin peranan sebagai pengurus di pejabat Bernas di kawasan terbabit, yang sering berurusan dengan petani yang juga menjadi majoriti penduduk kawasan Sanglang, memberikan kelebihan kepada Abdullah untuk meraih undi. Ia ditambah kekuatan 140 penyokong Pas di Sanglang yang memasuki Umno, baru-baru ini.
Shahidan ketika diminta mengulas kejayaan di Perlis berkata, sokongan kepada BN bukan perkara baru, malah majoriti pengundi memang sudah lama menyokong BN sebagai parti peneraju negeri Perlis.
“Kita sedar ada sedikit masalah dan perselisihan faham dalam politik Perlis, terutama ketika tempoh kempen, namun itu langsung tidak menjejaskan undian terhadap BN.
“Rakyat sedar hanya BN yang mampu membawa perubahan dan pembangunan kepada mereka dan Perlis khususnya dan keyakinan kukuh terhadap BN ini, ternyata gagal disangkal pembangkang, sejak dari dulu,” katanya.
Mengulas lanjut perselisihan faham di Perlis, Shahidan berkata, konflik serta cabaran BN, terutama di negeri ini bukannya daripada lawan, tetapi kawan sendiri yang teringin sangat mengalahkan parti.
“Pembangkang tidak kuat dan mereka tidak mempunyai pengaruh seperti BN. Justeru, kekalahan BN hanya akan berlaku jika kita lemah dan didorong masalah dalaman yang dihadapi parti,” katanya.
Pergolakan dalaman Perlis sebelum ini dikatakan wujud antara Shahidan dan tiga lagi Ahli Parlimen di Perlis iaitu Radzi (Kangar), Azmi (Padang Besar dan Datuk Seri Syed Radzlan Syed Putra Jamalullail (Arau), yang dikatakan tidak sehaluan. Bagaimanapun, Syed Radzlan lebih bersifat berkecuali dan mengelak daripada terbabit dalam pergolakan itu.
Dalam pilihan raya kali ini, Radzi dan Azmi dicalon mempertahankan kerusi di Parlimen masing-masing, manakala Syed Radzlan pula berpindah ke DUN Pauh. Ketiga-tiga mereka mencatat kemenangan besar.
Apa pun, rakyat kini sudah semakin bijak dan mampu menilai sendiri kerajaan yang boleh membawa perubahan serta pembangunan kepada orang ramai dan juga tidak mudah terpengaruh dengan isu remeh-temeh dimainkan pembangkang.