JOM UBAH, slogan DAP yang dilaungkan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 ini, ternyata begitu 'keramat' yang membawa angin perubahan sehingga meruntuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yang diketuai Gerakan.
Dengan membentuk pakatan bersama, DAP-Parti Keadilan Rakyat (PKR)-Pas, berjaya memenangi 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 11 daripada 13 kerusi Parlimen.
DAP yang mempertaruhkan seramai 19 calon bagi DUN dan tujuh di kerusi Parlimen, berjaya menyapu bersih semuanya. PKR pula menang sembilan daripada 16 kerusi DUN, tetapi menang semua empat kerusi Parlimen.
Pas hanya menang satu daripada lima kerusi DUN yang ditandingi dan tewas di kedua-dua kerusi Parlimen.
Dengan kemenangan di luar jangkaan barisan pembangkang, DAP dan PKR akan membentuk sebuah kerajaan baru bagi menggantikan kerajaan Gerakan yang menguasai Pulau Pinang sejak 40 tahun lalu.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang menang berganda bagi kerusi DUN Air Putih dan Parlimen Bagan, sudah pasti bakal melakar satu lagi sejarah bagi Pulau Pinang apabila menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang Ke-4.
Pukulan ‘knock-out’ pembangkang ke atas Gerakan, MCA dan MIC apabila menyapu bersih semua kerusi DUN dan Parlimen yang diwakili oleh parti berkenaan, memberi satu tamparan hebat, bagaikan tsunami.
Malah, Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, yang berjaya membawa Pulau Pinang ke arah sebuah negeri maju sepanjang 18 tahun menjadi Ketua Menteri, turut tersungkur di tangan bekas pensyarah dari DAP, Prof Dr P Ramasamy di kerusi Parlimen Batu Kawan.
“Saya terkejut tetapi terpaksa menerimanya,” kata Koh yang bersedia melepaskan jawatan sebagai Pemangku Presiden Gerakan sebagai mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan teruk itu.
Umno turut tidak terkecuali menerima pukulan teruk walaupun berjaya mengekalkan 11 daripada 15 kerusi DUN serta dua daripada lima kerusi Parlimen yang diwakili parti berkenaan.
Melihat kepada perubahan di Pulau Pinang kali ini, pakatan pembangkang yang pada awalnya hanya bercita-cita menafikan dua pertiga BN, sebaliknya berjaya membentuk sebuah kerajaan, adalah sesuatu yang amat memeranjatkan.
Apakah yang dilakukan oleh pembangkang sehingga berjaya membentuk undi protes di kalangan pengundi yang pada akhirnya secara kumulatif berjaya mengubah sebuah kerajaan?
Berdasarkan kempen pembangkang sejak hari penamaan calon pada 24 Februari lalu, isu perkauman begitu hebat dicanang khususnya oleh DAP untuk meraih simpati masyarakat Cina di negeri itu dengan mendakwa Umno campur tangan dalam penentuan jawatan Ketua Menteri.
Isu jawatan Ketua Menteri mendapat perhatian berikutan keputusan Koh bertanding di kerusi Parlimen Batu Kawan dengan harapan untuk menjadi menteri pusat bagi memainkan peranan yang lebih besar lagi untuk kemajuan dan pembangunan Pulau Pinang.
Dakwaan pembangkang kononnya Umno campur tangan dalam pelantikan Ketua Menteri berjaya mendapat tempat di kalangan masyarakat Cina di negeri itu sehingga mempengaruhi mereka untuk menolak kesemua calon Gerakan dan MCA.
Jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, beberapa hari menjelang hari pengundian bahawa Umno tidak campur tangan dalam pelantikan Ketua Menteri, tidak dapat mengubah pandangan pengundi Cina terhadap BN.
Lantaran itu, rasa tidak puas hati masyarakat Cina terhadap kerajaan, yang ditokok tambah dengan isu kenaikan harga barangan serta janji pembangkang kononnya akan menurunkan harga petrol jika berjaya menguasai negara, diterjemahkan dengan keputusan pilihan raya kali ini.
Meskipun pemimpin BN berusaha menangkis serangan pembangkang, pengundi yang sememangnya menanggung beban akibat kenaikan harga barangan, sukar menerimanya dan bertindak mencari jalan keluar dengan memilih pembangkang walaupun menyedari ia hanyalah 'omong-omong kosong'.
Kegagalan Gerakan, MCA dan MIC mempertahankan kesemua kerusi parti masing-masing sama ada di peringkat DUN mahupun Parlimen di kawasan majoriti pengundi Cina, membuktikan mereka sudah hilang kepercayaan kepada parti berkenaan.
Jadi, untuk melepaskan geram kepada kerajaan, masyarakat Cina memilih pembangkang sebagai alternatif tanpa berfikir panjang untung rugi yang bakal ditanggung dalam jangka panjang. Apa yang penting bagi mereka pada masa ini ialah menumbangkan kerajaan BN.
Cuma, Umno yang boleh dianggap penyelamat BN negeri kerana masih mampu mempertahankan 11 daripada 15 kerusi DUN serta dua daripada lima kerusi Parlimen.
Bagaimanapun, jika ahli Umno bekerjasama sebagai satu pasukan dengan mengetepikan soal siapa calon yang bertanding, sekurang-kurangnya satu kerusi DUN dan Parlimen boleh dipertahankan.
Calon baru Parlimen Balik Pulau, Datuk Dr Norraesah Mohamed dan calon DUN Batu Maung, Norman Zahalan, sepatutnya boleh menang mudah jika orang Umno bersatu hati dan mengetepikan kepentingan peribadi.
Lihat saja apa yang berlaku ke atas Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang memang kerusi Parlimen Tasek Gelugor apabila masyarakat setempat mengetepikan soal calon walaupun sedih dengan pengunduran Datuk Seri Mohd Shariff Omar.
Keupayaan BN mempertahankan 11 kerusi DUN menerusi Umno daripada serangan pembangkang membuktikan orang Melayu masih setia kepada BN walaupun majoriti kaum lain sudah berpaling tadah.
Meskipun dalam keadaan orang Melayu Pulau Pinang yang dikatakan terpinggir di negeri itu, mereka masih setia kepada kerajaan yang memerintah berbanding kaum lain.
Tetapi, dengan Umno yang akan menjadi pembangkang di Pulau Pinang, apa akan jadi dengan nasib orang Melayu sudah tentu akan menjadi topik hangat selepas ini. Jika di bawah pentadbiran BN mereka sudah merasakan terpinggir, apatah lagi apabila kerajaan negeri dikuasai pembangkang.
Apapun, kejatuhan kerajaan Pulau Pinang perlu direnung bersama dan perlu menjadi satu 'wake up call' kepada komponen BN untuk muhasabah diri masing-masing dan mencari kelemahan sebagai persediaan menghadapinya pada masa akan datang.
Walaupun Koh selaku Pengerusi BN Pulau Pinang secara ikhlas mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan teruk kerajaan pimpinannya, dan bersedia melepaskan jawatannya sebagai pemimpin Gerakan, tetapi ia bukan satu penyelesaian sebaliknya menyerah kalah dan akur kepada pembangkang.
Undi yang diberikan kepada pembangkang kali ini tidak semestinya bermakna rakyat menyokong pembangkang, tetapi mungkin sekadar melepaskan geram ke atas kerajaan.
Apa yang penting, BN perlu mencari jalan untuk memulihkan semula keyakinan rakyat supaya dapat kembali menyokongnya dan membuktikan bahawa pembangkang tidak mampu membawa perubahan dan pembangunan kepada penduduk.