PEMBENTUKAN kerajaan baru dan pelantikan Menteri Besar Selangor belum dapat disempurnakan sehingga semalam apabila Sultan Selangor, Sharafuddin Idris Shah mahu menemui wakil Pas dan DAP sebelum membuat keputusan.
Punca kelewatan berbuat demikian walaupun Pilihan Raya Umum Ke-12 sudah tiga hari berlalu mengundang tanda tanya di kalangan rakyat, terutama penyokong parti politik yang menang.
Malah, ketika ini, spekulasi mengatakan ada usaha menubuhkan kerajaan Selangor menerusi pakatan Umno, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP dengan jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Menteri Besar diserahkan kepada Umno manakala Exco kepada pakatan pembangkang.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, ada jawapannya selepas menyembah maklum kepada baginda di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, kelmarin, mengenai keputusan pilihan raya umum Selangor Sabtu lalu dan penubuhan kerajaan baru.
Beliau menjelaskan ketika ini Sultan Selangor berasakan adalah perlu bagi baginda untuk menentukan gabungan Pas, PKR dan DAP sesuai untuk memerintah Selangor sebelum membuat sebarang keputusan.
Katanya, Sultan Selangor akan membuat keputusan dibantu oleh penasihat diraja dan wakil daripada pejabat setiausaha kerajaan negeri selepas menerima menghadap kedua-dua wakil parti itu untuk membolehkan upacara pelantikan Menteri Besar diadakan.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani mengesahkan istiadat pelantikan Menteri Besar akan ditetapkan dalam masa terdekat setelah mendapat perkenan baginda.
Menjunjung titah, dua wakil parti, masing-masing dari Pas dan DAP hadir di Istana Bukit Kayangan, petang semalam, bagi menyatakan hasrat mereka untuk membentuk kerajaan campuran di Selangor.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadap baginda, Setiausaha Wanita DAP, Teresa Kok Suh Sim, berkata Sultan Selangor ingin mengetahui sama ada DAP boleh bekerjasama dengan PKR dan Pas, juga sama ada DAP akan menyokong Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.
Pakatan pembangkang DAP, Pas dan PKR yang memenangi 36 kerusi daripada 56 kerusi DUN pada pilihan raya umum Sabtu lalu menamakan Abdul Khalid yang memenangi DUN Ijok untuk menerajui kerajaan negeri sebagai Menteri Besar yang baru.
Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, tiada usaha untuk memusnahkan dokumen di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan beliau berpendapat jika ada pun usaha itu ia tidak mampu untuk dilaksanakan kerana rekod yang ada bukan satu tetapi banyak.
“Kalau kita andaikan semua orang tak betul tidak boleh... sebaliknya kita perlu mengandaikan mereka menggunakan ia untuk tujuan yang baik,” katanya sambil menambah untuk mentadbir sesebuah negara memerlukan pandangan yang positif walaupun daripada fahaman politik berbeza kerana ia dapat menggambarkan kematangan sesebuah negara.
Di Selangor, setiap parti memerlukan 38 kerusi untuk mendapat mandat majoriti dua pertiga manakala untuk majoriti mudah, 29 kerusi tetapi ketiga-tiga parti pembangkang dan BN gagal mengumpul jumlah itu.
BN masih menguasai DUN di Selangor apabila memenangi 20 kerusi, diikuti PKR 15 kerusi, DAP (13) dan Pas, lapan kerusi. Gabungan kerusi DAP dan PKR hanya membentuk 28 kerusi, manakala gabungan kerusi PKR dan Pas pula 23 kerusi.
Majoriti mudah hanya diperoleh jika PKR, DAP dan Pas bergabung dengan mengumpul 36 kerusi tetapi pakatan itu berdepan kesukaran berikutan perbezaan ideologi perjuangan ketara antara DAP dan Pas.
Dalam keadaan rakyat yang masih terkejut dengan keputusan pilihan raya lalu, berita kembalinya bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Datuk Zakaria Md Deros ke Rahmatullah menambah kejutan dalam senario politik negara, terutama di kalangan ahli politik dan ramai kenalannya.
Ketika ini, rakyat tidak pasti apa arah tuju kerajaan baru yang akan dibentuk dan berharap kemakmuran yang dinikmati sebelum ini berterusan, apatah lagi Selangor yang dianggap mahkota negara menjadi tumpuan utama pelabur dalam serta luar negara dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.