Kelantangan generasi pelapis berjiwa muda bawa suara BN di DUN, Parlimen
GELOMBANG perubahan yang berlaku pada pilihan raya baru-baru ini amat mengejutkan, malah menyaksikan begitu ramai calon baru di kalangan Pemuda, sama ada mewakili Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkang, menunjukkan prestasi yang boleh dibanggakan.
Tidak kurang juga ada yang termenung mencari di mana silapnya apabila undi rakyat tidak berpihak kepada mereka, menjadikan percaturan mencalonkan mereka membawa panji parti masing-masing tidak mencapai matlamat seperti yang dilaungkan sebelum pilihan raya.
Bagi BN, meskipun pilihan raya kali ini memberi tamparan hebat kepada parti yang sudah memerintah negara sejak 50 tahun lalu, ada sinar harapan yang masih mampu membuatkan pimpinannya tersenyum memikirkan masa depan parti itu lantaran kecemerlangan generasi pelapis memenangi beberapa kawasan.
Antaranya, dalam kedukaan lantaran beberapa negeri terlepas ke tangan pembangkang, prestasi calon Pemuda terutama dari Umno amat memberangsangkan dengan memenangi semua kerusi yang mereka tandingi di Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah.
Ceria dalam duka. Itulah rumusannya situasi Pemuda Umno di Perak dan Selangor kerana masih mampu mencatat rekod bersih memenangi semua kerusi bagi membawa suara BN di Dewan Undangan Negeri yang selepas ini akan diterajui oleh parti pembangkang.
Empat wakil pemuda di Perak (dua DUN, dua Parlimen) dan lima di Selangor (semua DUN) memberi gambaran bahawa pemerintah negeri itu selepas ini pasti tidak senang duduk menangani kelantangan wakil rakyat berjiwa muda yang bertindak sebagai pembangkang.
Secara tidak langsung, pandangan Ketua Pemuda Perak, Zainol Fadzi Paharuddin, yang menyifatkan pengundi lebih cenderung memilih generasi muda kerana dikatakan sudah jemu dengan pimpinan lama, ada benarnya.
Beliau juga menolak punca kekalahan di Perak disebabkan kesilapan mencalonkan ramai muka baru tetapi lebih kepada masalah dalaman parti sendiri selain undi protes rakyat terhadap calon yang sudah lama di sesuatu kawasan.
“Masalah dalaman di Perak memang serius sehinggakan ada orang BN sendiri berkempen bagi pihak pembangkang dan situasi ini membuatkan pengundi naik meluat dengan sikap pemimpin Umno. Banyak isu tertunggak yang belum selesai,” katanya.
Ketua Pemuda Umno Selangor, Abd Shukur Idrus, pula menyifatkan kemenangan semua calon Pemuda Umno di Selangor berpunca daripada komitmen tinggi yang ditunjukkan sekali gus memberi keyakinan kepada pengundi memilih mereka yang kuat bekerja.
“Rakyat mahukan pemimpin yang segar. Meskipun kalah di Selangor, kemenangan calon Pemuda Umno mampu menggegarkan Dewan Undangan Negeri. Kami akan pantau semua tindakan mereka dan bersuara lantang terhadap sebarang kelemahan,” katanya.
Namun, jika pimpinan Pemuda di dua negeri itu masih mampu tersenyum dalam kekalahan BN di situ dengan mengaitkan kemenangan calon mereka kerana mampu memenuhi cita rasa pengundi yang mahukan pemimpin muda, berlainan pula senario di Kelantan, negeri teramai calon Pemuda Umno iaitu sembilan orang.
Apakah faktor yang menyebabkan kemenangan Pemuda BN di hampir semua negeri tidak berjangkit di Kelantan apabila semua calon Pemudanya tumbang dengan majoriti agak besar?
Ketua Pemuda Umno Kelantan, Dali Hussin, menolak faktor kekalahan di negeri itu berpunca daripada Pemuda kerana baginya, ‘tsunami politik’ di Kelantan terlalu kuat lantaran kelemahan peringkat dalaman Umno negeri yang sekali gus memberi kesan kepada keputusan pilihan raya.
Katanya, faktor pengundi luar yang mengundi pembangkang serta mempengaruhi pengundi dalaman juga menyebabkan BN gagal merampas Kelantan. Malah, kempen ‘Pakat Kelik Ngundi’ boleh dikatakan gagal kerana kebanyakan yang balik dengan bas BN, mengundi pembangkang.
Apapun, berbalik kepada pencapaian Pemuda Umno kali ini, pimpinannya masih boleh menarik nafas lega dengan kemenangan di 10 kerusi Parlimen dan 29 kerusi DUN daripada keseluruhan 58 yang bertanding.
Setiausaha Pemuda Umno, Datuk Abdul Rahman Dahalan, berkata dengan 10 ahli Pemuda di Parlimen sekali gus akan menjadikan barisan hadapan BN memberi cabaran sengit kepada pembangkang yang pastinya lantang, lantaran jumlah Ahli Parlimen teramai dimiliki mereka dalam sejarah negara.
“Kebanyakan Ahli Parlimen di kalangan Pemuda kali ini mempunyai pengalaman hebat ketika berdebat dan dibarisi mereka yang sangat berkarisma serta mempunyai kelebihan tersendiri. Bagi saya prestasi Pemuda kali ini menakjubkan meskipun beberapa nama besar tumbang,” katanya.
Jika Pemuda Umno, kejayaan masih boleh dirai, senario berbeza pula dialami Pemuda MCA, MIC dan Gerakan apabila boleh dikatakan gagal dalam eksperimen mereka meletakkan calon muda.
Pemuda MCA dengan hanya 17 kemenangan daripada 51 calonnya; Pemuda MIC menang empat daripada sembilan kerusi; dan Pemuda Gerakan yang hanya menang tiga kerusi daripada 21 yang ditandingi menjadi isyarat jelas bahawa penilaian segera perlu dilakukan.
Di pihak pembangkang, prestasi calon Pemudanya pasti dihargai dengan kemampuan calon baru serta berjiwa muda menumbangkan beberapa nama besar yang selama ini cukup dikenali dan kebal di kubu kuat masing-masing.
Antaranya, kemampuan Liew Chin Tong (DAP) menumbangkan Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Seri Chia Kwang Chye, di Parlimen Bukit Bendera dengan majoriti 10,717 adalah satu keputusan yang sangat memeranjatkan.
Nama calon Pemuda DAP lain yang turut menjadi ‘giant killer’ kali ini adalah Ean Yong Wah mengalahkan Datuk Liew Yeun Keong di DUN Seri Kembangan; Nga Kor Ming mengalahkan Datuk M Kayveas di Parlimen Taiping dan Tony Pua Kiam Wee mengalahkan Datin Paduka Chew Mei Fun di Parlimen Petaling Jaya Utara.
Mohd Firdaus Jaafar yang menumbangkan Datuk Badruddin Amiruldin di Parlimen Jerai dan Dr Mujahid Yusof yang mengalahkan Datuk Abdul Rahman Suliman di Parlimen Parit Buntar pula adalah calon muda Pas yang sangat berjaya kali ini.