|


Analisis: Keputusan Istana Perlis, Putrajaya bercanggah
Oleh Johari Ibrahim dan Adha Ghazali

Md Isa dilantik Menteri Besar walaupun Perdana Menteri dakwa serah watikah kepada Shahidan

KETIKA tumpuan terarah kepada Perak berikutan kemelut politik membabitkan pakatan pembangkang, Perlis sekali lagi mencuri tumpuan negara.

Kini, tidak diketahui siapa sebenarnya Menteri Besar Perlis kerana timbul dua nama - satu dicadangkan oleh Putrajaya dan satu lagi nama muncul dari istana.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Bintong Datuk Dr Md Isa Sabu sebagai Menteri Besar Perlis yang baru menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Perkara ini diberitahu oleh Setiausaha Sulit kepada Raja Perlis, Moh Adib Zakaria dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada wartawan yang berkumpul di hadapan Istana Siraj di Kuala Lumpur kira-kira 2.40 petang semalam.

Moh Adib berkata, pelantikan itu adalah mengikut Perlembagaan Negeri, Artikel 39 (2) Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis. Peruntukan itu menyebut Raja hendaklah melantik seorang yang pada fikirannnya mendapat kepercayaan ramai ahli menjadi Menteri Besar bagi mengetuai majlis kerajaan negeri.

Kira-kira lima jam kemudian, Bernama mengeluarkan berita memetik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai berkata bahawa beliau sudah menyerahkan surat watikah kepada Shahidan yang membolehkan Shahidan dilantik sebagai Menteri Besar Perlis dan membentuk barisan Exco negeri itu.

“Saya telah bagi surat watikah kepada Datuk Seri Shahidan Kassim, yang menjadi pengerusi badan perhubungan Barisan Nasional (BN) negeri Perlis, yang telah menang (dalam pilihan raya yang baru lalu).

“Surat watikah itu adalah untuk dipersembahkan kepada Duli Yang Mulia Raja Perlis supaya dia (Shahidan) dilantik sebagai Menteri Besar dan tubuh kerajaan negeri Perlis,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya.

Kini, keputusan Raja Perlis itu menimbulkan tanda tanya kepada rakyat negeri itu dan keputusan Perdana Menteri sebagai Pengerusi Barisan Nasional patut dihormati.

Nescaya, Pilihan Raya Umum Ke-12 ini boleh dianggap paling beranjau buat Shahidan bermula dengan beberapa insiden sebelum penamaan calon sehinggalah kepada pelantikan semula sebagai Menteri Besar itu.

Apabila nama Md Isa, 61, yang juga bekas Exco Perlis dua penggal (1990-1995) dan (1999-2004) diumumkan sebagai Menteri Besar Perlis yang baru semalam, ramai tertanya-tanya apakah akan berlaku krisis baru di negeri paling utara itu.

Kini, tidak dipastikan mengenai status pelantikan Md Isa, selepas Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan itu lewat petang semalam.

Perlis adalah sebuah negeri kecil dengan hanya tiga kawasan Parlimen iaitu Kangar, Arau dan Padang Besar serta 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi muncul sebagai negeri paling dramatik sepanjang tempoh pilihan raya umum kali ini.

Di sebalik cakap-cakap bahawa ia bakal kecundang ke tangan pembangkang, Perlis tetap dimenangi BN. Rupa-rupanya bukan Perlis pimpinan Shahidan yang jatuh, sebaliknya Perak, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

Ini bermakna koridor sebelah barat dari Selangor hingga ke Kedah, dipalit oleh warna kelabu pembangkang, meninggalkan sekangkang tanah di utara yang kebetulan bersebelahan Thailand tinggal kepada BN.

Ia bermula dengan desas-desus Shahidan tidak akan dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum 2004 dan sekali lagi kali ini, tetapi semuanya meleset apabila Shahidan dikekalkan sehinggalah ‘pusingan U’ itu berlaku semalam.

Ini berlaku ketika BN pimpinannya mencatat prestasi cemerlang, kerana pada pilihan raya kali ini, satu-satunya kerusi Pas di DUN Sanglang sejak 2004 berubah ke DUN Simpang Empat manakala DUN Sanglang dirampas semula oleh BN.

Kemuncak kepada rasa tidak puas hati penyokong Shahidan ialah apabila timbul ura-ura bahawa beliau tidak akan dicalonkan semula, menyebabkan berlaku peletakan jawatan beramai-ramai pemimpin kanan Umno Perlis beberapa hari sebelum pengumuman nama calon baru-baru ini.

Drama politik Perlis semakin hangat apabila majlis penamaan calon bagi BN ditangguhkan selepas Shahidan dikatakan terpaksa mengadakan perbincangan beberapa kali dengan Perdana Menteri bagi memuktamadkan senarai itu.

Kemelut politik yang melanda Perlis bermula apabila Setiausaha Agung Umno yang juga Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, mencadangkan supaya Shahidan ditukarkan bagi membolehkan Umno negeri itu teguh semula dan bersatu.

Kenyataan itu sekali gus mengesahkan berlaku perbezaan pendapat ketara antara Radzi, yang juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika itu dan Shahidan yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Perlis dan Ketua Umno bahagian Arau.

Namun kenyataan mengejutkan itu tidak bersambut dan senyap seketika sehinggalah kepada proses penamaan calon bagi BN baru-baru ini. Sesetengah pemerhati politik menganggap ia adalah kenyataan peribadi Radzi.

Hubungan politik Shahidan juga dingin dengan Datuk Seri Azmi Khalid, yang juga Ahli Parlimen Padang Besar dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar ketika itu. Politik dalaman Perlis bergolak selepas ada ura-ura menyatakan Shahidan tidak disenaraikan untuk mempertahankan kerusi DUN Tambun Tulang.

Ura-ura itu dikuatkan lagi dengan laporan mengenai perjumpaan Shahidan dengan Perdana Menteri beberapa kali sekali gus menyebabkan penyokongnya mula gelisah.

Pas mula menguntum senyum dengan keadaan itu yang diharap berlarutan sehingga hari pembuangan undi, lantas mengimpikan menawan Perlis kali ini, tetapi gagal apabila jentera BN kembali mantap selepas Shahidan dicalonkan semula.

Namun timbul pula berita bahawa Shahidan hanya akan menjadi Menteri Besar untuk dua tahun, sesuatu yang enggan disah atau dinafikan oleh beliau sendiri ketika ditanya wartawan.

Shahidan muncul dalam siaran langsung televisyen pada malam keputusan pengundian diumumkan dan riak wajahnya amat gembira apabila Perlis tidak terkena tempias tsunami politik, namun kedudukannya sebagai Menteri Besar pada ketika itu belum juga berjawab.

Selepas menang cemerlang ketika beberapa negeri jiran Perlis seperti Kedah, Pulau Pinang dan Perak jatuh ke tangan pembangkang, Shahidan terpaksa pula berdepan dengan babak drama baru iaitu berkaitan dengan kedudukannya sebagai Menteri Besar.

Ada juga yang mendakwa kelewatan perlantikan semula Shahidan sebagai Menteri Besar ada kaitan dengan hubungan dinginnya dengan Istana Arau.

Shahidan menewaskan calon Pas, Che Nordin Che Ahmad, dengan memperoleh majoriti 2,010 undi di Tambun Tulang pada pilihan raya lalu. Shahidan mula dilantik sebagai Menteri Besar Perlis, menggantikan Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh pada 6 Mac 1995.

Artikel lain: