|


Analisis: Majoriti dua pertiga BN mandat Idris jadi MB
Oleh Zulkofli Jamaludin dan Hanneeyzah Bariah Baharin

Tidak pernah sebelum ini majlis angkat sumpah pemimpin nombor satu negeri 'tertangguh' begitu lama

KEMELUT pelantikan Menteri Besar Terengganu yang belum berakhir sehingga hari ini menyebabkan wakil rakyat dan kepemimpinan Umno negeri tidak betah menjawab pertanyaan yang dilontarkan penyokong dan rakyat.

Justeru, tidak hairan ada wakil rakyat yang pergi memburu, memancing, bermain futsal dan ada pula sanggup bersengkang mata menunggu tuntung bertelur sehingga dinihari sambil menghisap paip dan curut semata-mata ingin menghilangkan ketegangan.

Tiada wakil rakyat yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu berani berada di luar kawasan yang tidak boleh dihubungi menerusi telefon bimbit, jauh sekali pergi bercuti kerana takut dipanggil secara mengejut menghadiri majlis angkat sumpah Menteri Besar.

Tidak pernah sebelum ini majlis angkat sumpah pemimpin nombor satu negeri ‘tertangguh’ begitu lama walaupun Undang-Undang Tubuh Kerajaan Terengganu memperuntukkan majlis itu boleh diadakan dalam tempoh 90 hari selepas pilihan raya.

“Pening sekarang. Selagi pelantikan MB (Menteri Besar) tidak selesai, nak buat apa pun tak boleh,” kata seorang wakil rakyat Terengganu ketika dihubungi.

Beliau yang berada di Putrajaya memberitahu majlis perjumpaan 23 Adun Barisan Nasional (BN) dengan ahli Majlis Penasihat Pemangku Raja yang dijadual diadakan di JW Mariott semalam ditangguhkan dan mereka hanya diberitahu pembatalan itu beberapa jam sebelum pertemuan.

Seorang ‘kenalan’ ketika ditanya mengenai kelewatan majlis angkat sumpah Menteri Besar memberitahu:

“...kalau awak dah cuba menghubungi saya beberapa kali dan pegawai saya tidak memberitahu sebarang jawapan, faham-faham sajalah.

“Mungkin kelewatan ini sebahagian daripada proses pengajaran kepada pemimpin yang sebelum ini dilihat agak ‘lupa diri’. Pengajaran secara berhemah,” katanya.

Beliau menambah, proses mengajar itu boleh dilakukan secara langsung atau tidak langsung, tetapi apa yang penting mesej daripada pengajaran berkenaan sampai kepada sasaran.

Sehubungan itu, katanya, sewaktu memegang kuasa seseorang itu tidak boleh membuat keputusan atau perubahan sehingga orang di bawah terasa teraniaya.

Beliau menyingkap kembali bagaimana ketika pengumuman calon dibuat pada 20 Februari lalu, ada beberapa pemimpin yang digugurkan diberitahu bahawa nama mereka disenaraikan dan diminta hadir ke kediaman Menteri Besar, Seri Iman.

“Cuba bayangkan anda berada pada kedudukan ini, anda akan berasa dimalukan, anda akan berasa begitu terhina sehingga ada daripada mereka menitiskan air.

“Sebahagian daripada pemimpin ini (yang digugurkan) memegang jawatan di bahagian dan ada ahli Majlis Tertinggi (MT) tetapi digugurkan dengan alasan mahu muka baru yang dinamik,” katanya.

Beliau berkata, sebahagian daripada pemimpin atau Adun yang dilihat berpotensi dilantik sebagai Menteri Besar pula dipindahkan ke kerusi Parlimen bagi menafikan peluang mereka dilantik.

Justeru katanya, Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Idris Jusoh yang sudah matang dengan ‘sepak terajang’ politik dan pernah ‘melarikan diri’ menyambung pelajaran ketika pergolakan kepemimpinan di Terengganu pada awal 1990-an seharusnya bersabar dan menerima keputusan itu dengan terbuka.

Sebelum perjumpaan di Putrajaya dirancang, semua wakil rakyat BN sudah mengadakan pertemuan santai pada majlis makan malam, 13 Mac lalu di Kuala Terengganu.

Bagi mengelak mengeruhkan suasana, difahamkan semua wakil rakyat dan kebanyakan pemimpin Umno bersetuju tidak mengambil sebarang langkah yang dilihat cuba mendesak supaya istana mempercepatkan majlis angkat sumpah.

Begitu juga tidak ada sebarang sepanduk atau kenyataan yang menyatakan sokongan kepada Idris dibuat secara terbuka kerana dibimbangi tindakan berkenaan akan menyebabkan ada pihak tersinggung.

Idris ketika ditemui selepas melawat pelajar terbaik peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) negeri, Che Fatin Humaira Che Yusoff yang memperoleh 13 1A dalam semua mata pelajaran diambil berkata:

“Saya sentiasa bersedia (menghadapi kemungkinan tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar). Saya percaya kepada Allah, saya percaya pada Qada dan Qadar dan apa jua keputusan saya terima dengan rela hati.

“Sebagai seorang ahli parti, saya cukup bersyukur kerana BN memenangi Terengganu. Walaupun berlaku tsunami politik di tempat lain, Terengganu menang bukan hanya menang, tapi dengan majoriti lebih dua pertiga,” katanya sambil mengakui dirinya dalam keadaan tenang dan gembira, malah mempunyai masa untuk bersarapan bersama keluarga sebelum berkunjung ke rumah pelajar cemerlang itu.

Jika Idris tidak terpilih, siapakah antara 22 Adun BN, selain Adun Jertih itu dan Adun Bandar, Toh Chin Yaw yang layak menjadi Menteri Besar.

Daripada 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dilantik selepas Pilihan Raya Umum 2004, hanya lima calon Melayu Islam yang terpilih semula bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk Datuk Rosol Wahid yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri.

Exco lain yang dilihat berpotensi mengisi ‘kekosongan’ di tingkat 16 Wisma Darul Iman ialah Adun Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera, Datuk Ahmad Said (Kijal), Datuk Din Adam (Bukit Besi) dan Datuk Abdul Rahin Mohd Said (Teluk Pasu).

Rosol berpotensi memimpin negeri, tetapi dikatakan ‘orang kanan’ Idris lalu dilihat sebagai satu ‘kekurangan’ untuk dipersetujui pihak yang sehingga kini belum memberi persetujuan siapakah bakal mengangkat sumpah.

Exco Kanan, Ahmad yang juga Ketua Umno Bahagian Kemaman yang mula memegang jawatan itu ketika kepemimpinan bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad turut dikatakan berpotensi dilantik sebagai orang nombor satu negeri.

Pada masa sama, Mohamed, bekas Pegawai Tadbir yang pernah berkhidmat di Pahang dan Johor serta bekas Pengarah Urusan Kuantan Port Consortium Sdn Bhd, dilihat memenuhi kriteria untuk mengisi jawatan Menteri Besar walaupun kedudukan dalam parti tidak sekukuh Ahmad.

Mohamed, graduan Ekonomi dari Universiti Malaya dikatakan disenangi semua pihak walaupun masih baru dalam dunia politik dan bergiat aktif selepas dipilih bertanding pada pilihan raya umum 2004.

Di sebalik beberapa nama besar itu, beberapa Adun yang tidak menganggotai Exco dikatakan layak untuk memegang jawatan ‘panas’ itu berdasarkan kemampuan menyempurnakan tugas pentadbiran kerajaan dan parti yang diamanahkan sebelum ini.

Begitu juga lima muka baru daripada pasukan kemenangan dinamik yang ditonjolkan sepanjang kempen pilihan raya lalu dikatakan boleh memberi kejutan walaupun ada pihak menyifatkan pemilihan mereka jauh panggang dari api.

Ketika ramai masih tertanya-tanya bilakah majlis angkat sumpah hendak disempurnakan, penulis menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) menyatakan:

“Semua Adun BN Terengganu bakal diminta menyatakan pendirian masing-masing siapakah yang patut jadi Menteri Besar. Tentu saja tidak akan ada konsensus (persetujuan sebulat suara) kerana ada di kalangan YB (Yang berhormat) sendiri yang melobi untuk jadi MB.

“Ini satu cara yang sangat tidak adil kepada DSIJ (Datuk Seri Idris Jusoh). Ia juga boleh dijadikan alasan oleh pihak tertentu daripada dipersalahkan sekiranya DSIJ tidak lagi jadi MB.

“Majoriti rakyat sudah bersuara pada pilihan raya. Mereka berikan sokongan kepada BN Terengganu yang diketuai DSIJ. Keputusan Pengerusi BN untuk melantik DSIJ sebagai MB dan mandat dari majoriti rakyat seolah-olah tidak lagi bererti. Inikah demokrasi?"

Artikel lain: