|


Analisis: Perang dingin politik Perlis berakhir
Oleh Azmi Md Deros dan Adha Ghazali

Pelantikan Menteri Besar baru tamatkan perbalahan antara dua kelompok

DATUK Seri Shahidan Kassim 'selamat' daripada menerima keaiban politik kerana perkiraan silap boleh memerangkap dirinya berhadapan undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.

Lapan daripada 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) iaitu jumlah majoriti, boleh mengusulkan demikian di DUN andainya Shahidan terus menyandang jawatan Menteri Besar yang hanya disokong oleh baki lima Adun termasuk beliau sendiri.

Seorang Adun yang dikaitkan dengan kumpulan Datuk Dr Md Isa Sabu memberitahu, pertukaran pucuk pimpinan pada peringkat awal penubuhan kerajaan ini sebenarnya membawa rahmat kepada Shahidan sendiri.

“Bayangkan apa akan terjadi jika beliau dikekalkan dan selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, menghadapi undi tidak percaya pula daripada semua Adun.

“Pastinya keadaan itu akan mengaibkan beliau dan membunuh kerjaya politiknya sendiri. Adalah lebih baik penolakan itu berlaku pada peringkat lebih awal, iaitu sebelum mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar,” katanya.

Berdasarkan hakikat ini juga, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertindak bijak apabila berkenan memilih Dr Md Isa sebagai Menteri Besar baru, sejajar dengan keperluan mengikut Perlembagaan Negeri, Artikel 39 (2) Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis.

Peruntukan itu menyebut Raja hendaklah melantik seorang yang pada fikirannya mendapat kepercayaan ramai ahli menjadi Menteri Besar bagi mengetuai majlis kerajaan negeri.

Ia bermakna Dr Md Isa disokong majoriti iaitu lapan termasuk beliau sendiri manakala Shahidan, cuma lima. Malah Adun tunggal Pas, Rus’seli Eizan (Simpang Empat) dipercayai turut menyokong Dr Md Isa, menjadikan keseluruhannya sembilan wakil.

Adun yang menyokong Menteri Besar baru itu ialah Datuk Seri Syed Radzlan Syed Putra Jamalullail (Pauh), Abdul Jamil Saad (Sena), Dr Por Choo Chor (Indera Kayangan), Yip Sun Onn (Titi Tinggi), Mat Rawi Kassim (Beseri), Sabry Ahmad (Santan), Mat Hassan (Kuala Perlis) dan Ahmad Bakri Ali (Kayang).

Menurut Adun terbabit lagi, Baginda Raja Perlis bertindak bijak apabila memilih seorang yang berkecuali untuk memimpin Perlis dan berharap Md Isa dapat memainkan peranannya menyatupadukan semula rakyat dan kepemimpinan Umno negeri yang terletak paling Utara di pantai barat ini.

Beliau percaya pihak istana mengambil tindakan itu demi kebaikan rakyat dan negeri Perlis secara keseluruhannya bagi memastikan negeri itu terus maju setanding dengan negeri lain.

“Kita percaya baginda membuat keputusan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak tetapi membuat perubahan demi memastikan Perlis terus maju dan rakyatnya bersatu padu,” katanya.

Bahang perubahan pucuk pimpinan Perlis sebenarnya semakin hangat dan dinyatakan secara terbuka di merata pelosok negeri ini sejak Sabtu lalu apabila banyak kain rentang yang mengalu-alukan keputusan baginda Raja Perlis memberi perkenan kepada Md Isa sebagai Menteri Besar yang baru.

Antara perkataan yang tertera pada kain rentang itu termasuk `Kami Rakyat Perlis Menjunjung Kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis', `Rakyat Berbangga Dengan Kebijaksanaan Tuanku Memerintah Negeri Perlis' dan `Kepimpinan Baru, Era Baru, Rakyat Bersatu, Negeri Perlis Maju'.

Hakikatnya, selepas sembilan hari menunggu, akhirnya penantian rakyat Perlis berakhir semalam Md Isa yang juga Adun Bintong, mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perlis yang ke-8, selepas puas berteka-teki sama ada kepemimpinan Shahidan diteruskan.

Rakyat Perlis pastinya lega dengan perkembangan terbaru itu kerana sekurang-kurangnya selepas mereka memberikan kemenangan besar kepada BN pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, akhirnya kemelut siapa yang bakal mengetuai barisan pentadbiran negeri, terjawab.

Kemelut pemilihan dan perlantikan Menteri Besar kali ini juga sebenarnya mencipta satu sejarah tersendiri bagi Perlis apabila wakil rakyat parti pembangkang iaitu Rus’seli turut bersama-sama dengan kumpulan yang menyokong Md Isa.

Malah, Rus'seli dilihat turut hadir ketika menyambut kepulangan Md Isa di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) Kepala Batas di Alor Star serta mengiringi Md Isa ke Perlis. Beliau turut membawa kira-kira 300 ahli Pas bagi menyambut kepulangan pemimpin baru Perlis itu.

Bagi Shahidan, Pilihan Raya Umum Ke-12 ini boleh dianggap paling beranjau dan memeritkan untuk beliau harungi bermula dengan beberapa kejadian sebelum penamaan calon yang menyaksikan beliau terpaksa berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekurang-kurangnya tujuh kali bagi memastikan namanya tersenarai semula untuk bertanding pada pilihan raya itu.

Biar pun lega dan gembira sehingga beliau sendiri mengumumkan namanya terlebih dulu kepada media mengenai kedudukannya untuk kekal bertanding di DUN Tambun Tulang, rupa-rupanya musibah yang menimpanya tidak berakhir di situ.

Pada hari beliau mengumumkan senarai calon BN untuk bertanding 23 Februari lalu, tersebar berita wujudnya perjanjian kompromi antara beliau dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bahawa beliau hanya akan terus memegang jawatan Menteri Besar selama dua tahun jika menang pada pilihan raya umum itu.

Biar pun beliau menafikan wujudnya perjanjian kompromi itu, hakikatnya ia sukar dipadamkan daripada pemikiran rakyat negeri itu, lebih-lebih lagi yang mahukan kepemimpinan baru yang lebih dinamik.

Sementara itu, Sabry dalam ucapannya ketika majlis sambutan kepulangan Md Isa berkata, pihaknya bersyukur kerana tsunami politik yang berlaku di empat negeri, termasuk Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah pada pilihan raya umum lalu tidak sampai ke Perlis, walaupun ada pihak meramalkan negeri itu akan terkena tempiasnya berikutan kekecohan dalaman Umno.

Katanya, sokongan padu yang diberikan rakyat Perlis kepada BN itu tidak sia-sia apabila melihatkan berlakunya perubahan dalam pucuk pimpinan negeri ini.

“Sejak beberapa hari lalu, kami sembilan sekawan (termasuk Md Isa) bertekad membuat satu ketetapan mahu melaksanakan misi perubahan.

“Kami bersyukur kerana pahit maung yang terpaksa dilalui selama tiga atau empat hari lalu akhirnya mendapat sokongan Raja Perlis selain dapat memenuhi tuntutan rakyat Perlis yang mahukan perubahan.

“Sepanjang tempoh tiga empat hari lalu kami terpaksa bersembunyi dan menukar nombor telefon bimbit masing-masing bagi mengelak dipengaruhi pihak tertentu,” katanya.

Seorang pemerhati politik pula berpendapat pelantikan Md Isa sebagai Menteri Besar dijangka dapat memulihkan semula `perang dingin' antara dua kelompok di Perlis, iaitu antara Shahidan dengan Setiausaha Agung Umno yang juga Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Seri Azmi Khalid.

“Sebagai pemimpin nombor satu negeri, Md Isa pasti akan berusaha merapatkan semula hubungan yang renggang antara kedua-dua pihak berkenaan demi kebaikan dan masa depan rakyat Perlis.

“Namun begitu ia juga bergantung kepada sokongan dan kerjasama penyokong kedua-dua kumpulan berkenaan,” katanya.

Beliau juga berkata, biar pun masa depan politik Shahidan belum menentu berikutan kehilangan jawatan Menteri Besar, tetapi orang akan mengingati keberkesanan kepemimpinan beliau selaku Pengarah Pilihan Raya BN Perlis pada pilihan raya umum lalu apabila beliau memberikan kemenangan besar kepada BN di negeri ini ketika empat negeri lain tersungkur di tangan parti pembangkang.

Artikel lain: