KIRA-KIRA 30 tahun lalu, seorang anak muda yang ketika itu dalam Exco Pergerakan Pemuda Umno pernah membuat saranan supaya ditubuhkan institut khusus dalam parti itu untuk menjalankan kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D). Beliau menulis surat kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi tujuan itu. Bagaimanapun, idea itu terperap begitu saja. Kini selepas Barisan Nasional (BN) mengalami kejutan dalam pilihan raya umum yang baru berlalu, cadangan yang pernah dilontarkan bekas Senator yang juga bekas Exco Pemuda Umno, Datuk Dr Nordin Selat, perlu dilihat semula. Ikuti temu bual wartawan Berita Harian Jami’ah Shukri dengan Dr Nordin.
Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac lalu menyaksikan Barisan Nasional (BN) hilang majoriti dua pertiga serta lima negeri jatuh ke tangan pembangkang. Bagaimana Datuk melihat kemelut politik negara sekarang.
Pilihan Raya Umum Ke-12 sudah berlalu, sudah berlaku dan biarkan ia berlalu. Tidak perlu lagi berfikir panjang mengenainya dan terus tuduh menuduh lagi. Yang penting sekarang, fikir apa yang harus kita buat untuk mengembalikan integriti sebenar BN. Keputusan pilihan raya, memperlihatkan kita tidak mengambil berat mengenai politik. Politik adalah satu perniagaan. Perniagaan pula berkaitan dengan kuasa. Dalam perniagaan, kita mesti perlu ada penjagaan. Produk yang baik perlu sentiasa dibaiki supaya ada brand name (nama jenama). Dalam konteks politik negara, nama jenama itu adalah BN. Adakah jenama BN itu masih bagus dan boleh dipercayai lagi. Bagaimanapun, dalam senario sekarang, jenama itu sudah jatuh dan orang sudah tidak percaya kepada BN. Kita tidak boleh salahkan sesiapa dengan kekalahan itu, sebaliknya salahkan diri sendiri. Sebenarnya, BN terlalu lama berkuasa dan berasakan diri sudah kuat hingga mereka terus tidur lena. Suasana politik sekarang, umpama pertarungan antara arnab dan kura-kura. Kekalahan arnab di tangan kura-kura kerana tertidur lama apabila menganggap kura-kura lemah. Namun, dalam berjalan perlahan tetap sampai ke destinasi dan akhirnya memenangi pertarungan itu. Pada saya sesudah setengah abad, wujud banyak faktor yang membawa kepada kekalahan BN itu. Dalam perniagaan kuasa, kita tidak boleh hilang sekali dan sekali kita kalah ia boleh tersungkur.
Pada pandangan Datuk, apakah punca utama sokongan menurun. Adakah trend pilihan raya kali ini memperlihatkan pengundi sudah beralih kepada pembangkang.
Masalah utama yang berlaku dalam kemelut politik sekarang kerana orang ramai sudah benci dan menyampah dengan budaya politik negara seperti kurang ajar di Parlimen, mengata orang, janji tidak ditepati serta orang cerdik diketepikan dan jika diletakkan di dalam barisan kepemimpinan dianggap berbahaya. Mereka terlalu angkuh kerana tidak pernah kecundang. Oleh itu, musuh utama Umno adalah kelalaian dan keangkuhan. Yang berlaku sekarang, pengundi tidak mencari alternatif lain dengan menyokong pembangkang, sebaliknya mereka geram dan siapa saja yang bertanding atas jenama BN, kalah dalam pilihan raya. Oleh itu, ada calon yang tidak disangka menang dan sekadar mencuba-cuba juga boleh menang. Orang ramai bukan suka sangat kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim atau sokong DAP. Cuma mereka tidak suka pada keadaan sekarang. Orang Melayu sudah cukup beri 50 tahun untuk mencari masa depan. Jangan lihat semua yang ada di dalam Umno mahu menjadi menteri, sebaliknya semua pegawai kerajaan boleh menjadi orang dalam barisan Kabinet. Kita harus melihat secara keseluruhan. Ia perlu ada visi dan misi. Pemimpin yang baik adalah mereka yang mampu memimpin dan tahu hala tuju.
Episod kemelut politik negara belum berakhir. BN serta Umno belum kalah sepenuhnya. Apakah yang patut dilakukan untuk mengembalikan kecemerlangan dan kegemilangan Umno.
Sekarang BN sudah kalah (kurang majoriti) dan perlu mencari formula semula. Dalam hal ini, kita perlu berbalik kepada tradisi dan kepemimpinan Melayu. Ada cara menyelesaikan masalah berkenaan, iaitu dengan memperbaiki segera punca permasalahan. Yang berlaku sekarang adalah politik dikir barat. Hanya mengikut saja rentak apa tukang karut dan mereka mengikut saja. Oleh itu, tolak politik dikir barat. Kita tidak tahu siapa yang menjadi kumpulan pemikir dalam kerajaan dan sejauh mana idea mereka dapat diterima masyarakat. Kemelut politik boleh diibaratkan seperti pokok. Kalau dahan rosak, potong dahan itu, tetapi kalau pokok yang rosak, kita tanam pokok dengan teknik dan baja yang baru supaya ia memberikan nilai baru bagi membolehkan ia tumbuh dengan lebih sihat dan subur. Konsep hidup sukarela juga perlu diterapkan dalam BN. Semua perlu rela dan ikhlas. Sekiranya pemimpin itu sudah tua dan tidak mampu untuk memimpin, perlu berundur. Berundur bukan bererti satu kelemahan, tetapi ia melambangkan kebijaksanaan pemimpin. Sebelum ini, Umno pernah berkata, yang penting ada parti dan bukan individu. Justeru, pemimpin jangan bersikap angkuh dan jangan ghairah memimpin sehingga tidak mahu berganjak. Jika keadaan itu berterusan, membuatkan orang ramai atau pengundi yang akan berganjak. Apabila ini berlaku ia sesuatu yang bahaya. Wujud ketidakrelaan dalam kepemimpinan dapat dilihat. Tidak mustahil ada menteri besar yang merajuk dan tidak mahu keluar rumah sebab tidak biasa kalah. Saya akui, episod BN belum berakhir. Oleh itu jangan angkuh. Bersedia terima sebarang idea untuk kemajuan dan kepentingan parti. Tidak perlu buat post mortem, mereka sudah tahu apa kesalahan masing-masing.
Datuk pernah mengemukakan kepada Umno supaya menubuhkan Institut Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalam Umno. Apakah relevannya terhadap masa depan politik negara ini.
Bagi saya, R&D ini penting kerana kita dapat membuat kajian terperinci terhadap trend pengundi mengikut peringkat umur dan bangsa di setiap negeri, mengenal pasti apa kehendak dan cita rasa mereka. Menerusi R&D itu akan dapat melihat punca kelemahan dalam pelbagai aspek termasuk kemungkinan wujud pertelingkahan antara ahli dalam parti untuk mendapatkan tempat di dalam parti atau sebagainya. Kita perlu lihat kenapa Johor, Sabah atau Sarawak boleh mengekalkan majoriti tinggi. Begitu juga Kelantan mengapa masih memilih jenama yang sama (Pas). Mereka puas hati dengan pemerintah di situ. Oleh itu, perlu adakan R&D.
Bagaimana hala tuju yang patut ada pada BN.
BN mesti melihat ke hadapan. Kita mesti jaga pengundi dan cari jalan supaya generasi sekarang dan akan datang terus mengundi BN. Sekarang orang muda bergerak pantas sejajar dengan kemajuan teknologi, mereka gunakan internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan maklumat terkini. Politik berpantun yang diamalkan sekarang sudah tidak relevan lagi. Orang muda sudah cepat dan berterus terang. Oleh itu, kita lihat syarikat korporat membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk R&D bagi memastikan jenama mereka kukuh dan terus diterima. BN perlu bangkit dan mulakan R&D itu daripada sekarang. Ramai orang yang boleh memberi idea dan saranan. Kita berharap pada pilihan raya umum akan datang segala kesilapan dapat diperbaiki, bekerja lebih keras dan tetapkan misi serta visi termasuk mengetengahkan orang baru yang mampu menjana idea baru. Umno perlu latih orang baru. Sebanyak 12 kali pilihan raya umum di adakan, tetapi tidak pernah sekalipun diadakan R&D berkaitannya. Kita mengajar syarikat korporat supaya ada R&D, tetapi Umno tidak ada.
Dulu Datuk dikatakan pernah membuat saranan ini.
Ya, sebenarnya, 30 tahun lalu, saya sudah sarankan kepada Umno supaya tubuhkan institut untuk jalankan R & D. Saya tulis surat kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan surat itu sudah ajukan kepada Setiausaha Agung Umno ketika itu, Tun Khalil Yaakob. Saya dimaklumkan Umno sudah ada badan seperti itu di Janda Baik dan sudah melahirkan ahli yang bagus seperti bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali. Malah idea sama dikemukakan kepada Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Penerangan Umno, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob serta Ketua Puteri Datuk Noraini Ahmad serta Mubarak, namun tiada tindakan dilakukan. Saya kesal jika ada sebarang idea mengenai Umno, kita tidak tahu kepada siapa sebenarnya disalurkan aduan itu. Mereka hanya menerima dan mengiyakan saja, tetapi tiada tindakan dilakukan. Kita perlu melihat semua perkara ini. Malah, pegawai perhubungan awam juga perlu bergerak dan berjumpa dengan pelbagai jenis golongan dan dekatkan diri, beri pendedahan mengenai Umno bermula pada peringkat awal dengan cara bersesuaian. Ini bukan berniat jahat, tetapi untuk menjaga masa depan dan pengundi kita untuk masa depan. Bagaimanapun apa yang berlaku sekarang, apabila dua minggu mahu diadakan pilihan raya barulah berkempen dan itu tidak berjaya, kita patut buat setiap hari.