KABINET baru berteraskan semangat perkongsian kuasa yang mana kerjasama dan permuafakatan antara kaum serta setia kawan Barisan Nasional (BN) diutamakan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam, ternyata memperlihatkan perubahan besar dalam barisan jemaah menteri dengan menonjolkan kombinasi muka baru dan berpengalaman. Selain itu, jumlah anggota pentadbiran mengecil daripada 90 orang kepada 69 orang, termasuk memansuhkan jawatan Setiausaha Parlimen, memperlihatkan kerajaan cukup komited memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, selaras manifesto pilihan raya umum lalu. Pemilihan tokoh profesional menyertai Kabinet kali ini pula mencerminkan keyakinan kerajaan untuk memberi ruang dan peluang kepada mereka yang mahir dan berkelayakan bagi menentukan dasar kerajaan, sekali gus memantapkan lagi kerajaan pimpinan Abdullah.
Kita juga menghormati keputusan Perdana Menteri tidak melantik semula lapan menteri yang menang pada pilihan raya umum lalu, walaupun pengalaman mereka masih diperlukan. Kali ini peluang perlu diberikan kepada muka baru untuk mempamerkan kebolehan mentadbir dan menentukan dasar kerajaan. Dalam pada itu, mereka yang baru dilantik perlu sedar tugas mereka kini cukup berat, bukan saja berdepan barisan pembangkang yang bertambah kental di Parlimen, malah seluruh rakyat. Semua ini dijangka menguji keupayaan mereka untuk menjelaskan dasar dan hala tuju kerajaan di Dewan Rakyat yang sebelum ini sebahagiannya dijawab Setiausaha Parlimen, tanpa sebarang masalah. Di sinilah, kebijaksanaan mereka teruji dan kekuatan itu akan menyumbang kepada kemantapan pentadbiran kerajaan, sekali gus membolehkan kerajaan BN memenuhi hasrat dan aspirasi rakyat. Dengan menonjolkan barisan Kabinet baru yang kecil dan padat, ia memperlihatkan gandingan mantap semua parti komponen BN, termasuk MIC, MCA dan Gerakan yang calonnya kalah teruk pada pilihan raya lalu, sudah pasti mereka akan berganding bahu bersama Perdana Menteri untuk menarik kembali sokongan padu rakyat kepada BN. Ternyata, semangat setia kawan dalam BN terus dipertahankan. Contohnya, MIC yang hanya menang tiga kerusi Parlimen ditandingi pada pilihan raya lalu kekal memperoleh satu jawatan menteri dan dua timbalan menteri.
Selain itu, pemilihan barisan jemaah menteri dan timbalan menteri kali ini juga lebih mantap dengan penyertaan ramai wakil dari Sabah dan Sarawak, yang pada pemilihan lalu memberi sumbangan cukup besar kepada kemenangan BN. Sebagai penyumbang terbesar kemenangan BN, memang wajar wakil kedua-dua negeri terbabit diberi lebih banyak jawatan dalam Kabinet. Sarawak yang menyumbangkan 30 kerusi Parlimen, menerima sebelas jawatan, dua menteri dan timbalan menteri, manakala Sabah kekal dua jawatan menteri dan empat timbalan menteri. Kita berharap, barisan jemaah menteri yang baru dibentuk bukan saja dinamik, malah dapat bekerja lebih gigih bagi meningkatkan martabat kerajaan BN yang tercalar akibat kegagalan memperoleh dua pertiga kerusi Parlimen, selain gagal membentuk kerajaan di lima negeri. Dengan memperlihatkan kerja bersungguh-sungguh untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kita yakin barisan Kabinet kali ini, mampu meneruskan hasrat kerajaan untuk membalas budi rakyat yang memberi peluang sekali lagi kepada BN untuk memerintah.