|


Keputusan pilihan raya bukti SPR bebas, telus
Oleh Norliza Wasilan

Tuduhan suruhanjaya ikut telunjuk BN tidak patut timbul

KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 yang menyaksikan pakatan pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR)-Pas-DAP meraih kejayaan besar, termasuk merampas lima negeri membuktikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak pernah mengikut telunjuk Barisan Nasional (BN) seperti didakwa mereka.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, menegaskan sebagai suruhanjaya yang bebas dan dilantik terus oleh Yang di-Pertuan Agong untuk mengendalikan perjalanan pilihan raya di negara ini, isu mengaitkan SPR dengan BN tidak sepatutnya timbul.

“Dengan keputusan (pilihan raya) ini, jelas membuktikan SPR adalah badan bebas yang tidak pernah dikawal untuk mengikut telunjuk sesiapa (seperti yang didakwa pembangkang) selama ini.

“Kita gembira kerana sekarang ramai sudah sedar bahawa urusan pilihan raya yang dilakukan SPR bebas dan telus, walaupun perkara ini sudah kita jelaskan sejak dulu lagi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Wan Ahmad berkata, banyak pihak mula membuka mata dan sedar bahawa proses pengundian seperti pada 8 Mac lalu, menunjukkan pilihan raya di Malaysia berjalan dengan telus dan mengikut peraturan.

Katanya, SPR tidak pernah menafikan hak rakyat untuk memilih mana-mana calon sama ada daripada BN ataupun pembangkang untuk memimpin kawasan masing-masing.

“Pilihan raya umum di Malaysia berjalan dengan telus dan ikut peraturan, rakyat bebas memilih pemimpin dan sebab itulah ramai calon pembangkang menang selain berjaya mendapatkan lima negeri.

“Kita tidak pernah masuk campur dalam urusan rakyat memilih pemimpin sepanjang proses pilihan raya, malah kita gembira apabila semua urusan dijalankan dengan baik dan pengundi sudah memberikan jawapan masing-masing,” katanya.

Ditanya mengenai kelewatan SPR mengumumkan keputusan bagi Perak dan Selangor, Wan Ahmad berkata, suruhanjaya itu perlu memastikan semua data dan statistik diperoleh dari pusat penjumlahan undi di seluruh negara tepat dan sahih.

Beliau berkata, dalam tempoh masa yang begitu singkat dan tertekan, SPR perlu melakukan tanggungjawabnya dengan sempurna sebelum boleh membuat sebarang pengumuman, terutama negeri yang tidak mempunyai kemenangan majoriti mudah.

“SPR tidak tergesa-gesa kerana perlu memastikan semua data dan statistik tepat sebelum membuat sebarang pengumuman. Ini bukan perkara kecil kerana jika berlaku kesilapan ia boleh mengakibatkan perkara tidak baik.

“Negeri tidak mencatatkan kemenangan majoriti mudah memerlukan sesebuah parti itu bergabung sebelum membentuk kerajaan. Bagaimanapun, hal ini bukan di bawah bidang kuasa kita dan SPR perlu bersikap adil kepada semua pihak,” katanya.

Dalam pilihan raya umum, Sabtu lalu, BN mendapat 140 kerusi Parlimen manakala PKR (31), Pas (23) dan DAP (28), sekali gus menyaksikan BN gagal mendapatkan majoriti dua pertiga.

Artikel lain: