KUANTAN: Satu-satunya calon Bebas yang memenangi kerusi di Pahang iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata, Ho Yip Kap, tidak menolak untuk menyertai semula MCA jika diberi peluang.
Ho, 56, berkata, niat untuk menyertai semula MCA memang ada dalam hatinya dan beliau akan menunggu masa sesuai untuk sebarang tindakan atau pengumuman.
Beliau membuat kejutan apabila memenangi kerusi Tanah Rata selepas memperoleh 3,926 undi dengan majoriti 575 bagi mengalahkan calon baru Barisan Nasional (BN) Chai Kok Lim dan calon DAP, Goh Mong Nging pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Sabtu lalu.
"Biar saya mulakan tugas seperti dijanjikan kepada penduduk di sini terlebih dulu, sebelum membuat sebarang keputusan.
"Saya akan fikir semasak-masaknya dan tunggu saja. Malah, saya juga belum sempat untuk menghubungi atau cuba menyampaikan hajat ini kepada Pengerusi MCA Pahang, Datuk Ho Khai Mun," katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.
Pada 22 Februari lalu, Ho secara rasmi mengumumkan untuk keluar parti sebelum hadir pada penamaan calon dua hari kemudian dan bertanding atas tiket calon Bebas.