SEREMBAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dijangka menghadap Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman, petang ini untuk upacara mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar bagi penggal kedua.
Beliau yang berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dijangka melantik Ahli Exco dalam minggu ini, tetapi buat pertama kalinya Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak akan mempunyai wakil Gerakan selepas kedua-dua calon parti itu tewas pada pilihan raya umum Sabtu lalu.
Kuota 10 Exco sebelum ini diisi enam wakil Umno, dua MCA serta masing-masing seorang dari Gerakan dan MIC yang lazimnya menamakan pemimpin kanan masing-masing.
Bagaimanapun, MCA hanya diwakili wakil rakyat muka baru, Siow Shen Tin dari DUN Chennah selepas semua calonnya, termasuk dua bekas Exco tewas di sembilan kerusi ditandingi, manakala MIC juga diwakili muka baru, VS Mogan di Jeram Padang selepas Pengerusi negerinya, Datuk T Rajagopalu kalah di Port Dickson.
Pengerusi Gerakan Negeri Sembilan, Datuk Woo Ah Lek yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Timbalannya, Datuk Chan Khee Voon, masing-masing gagal mempertahankan kerusi DUN Senawang dan Bukit Kepayang.
Berdasarkan kuota sebelum ini, Siow dan Mogan hampir pasti dinamakan sebagai Exco mewakili parti masing-masing, manakala Umno pula dijangka menampilkan ramai muka baru selepas empat bekas Exco tidak dicalonkan semula.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pembangunan Usahawan, Datuk Ismail Lasim yang menang DUN Senaling dijangka kekal, manakala bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani diwarwarkan dilantik Speaker DUN, menggantikan Datuk Lilah Yasin yang kini Ahli Parlimen Jempol.
Antara yang dilihat berpotensi mengisi kekosongan itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klawang, Datuk Yunus Rahmat; Adun Seri Menanti, Abd Samad Ibrahim; Adun Pilah, Adnan Abu Hasan; Adun Kota, Datuk Dr Awaluddin Said; Adun Labu, Datuk Hasim Rusdi dan Adun Gemas, Zainab Nasir untuk kuota Wanita.
Turut disebut ialah Adun Gemencheh, Datuk Mohd Kamil Abdul Aziz dan Adun Chembong, Zaifulbahri Idris.
BN membentuk kerajaan di negeri ini selepas menang majoriti mudah 21 daripada 36 kerusi DUN, selebihnya dikuasai pakatan pembangkang dengan DAP menang 10 kerusi, sekali gus bakal menjadi ketua pembangkang, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas masing-masing empat dan satu kerusi.