KUALA LUMPUR: Polis menasihatkan orang ramai supaya jangan mempercayai dan terpengaruh dengan sebarang khabar angin atau yang disebarkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kononnya negara dalam keadaan huru hara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata keadaan keselamatan di seluruh negara dalam keadaan terkawal biarpun masih ada beberapa negeri dalam proses membentuk kerajaan masing-masing.
“Khabar angin yang disebar dan digembar-gemburkan itu dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Polis berharap pemimpin politik dan orang ramai tidak mengambil tindakan yang boleh menjejaskan keamanan dan ketenteraman awam,” katanya di sini, malam tadi.
Musa berkata, polis tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menyebarkan khabar angin atau yang cuba mencetuskan huru hara.
Sementara itu di KUANTAN, calon Bebas tunggal yang memenangi kerusi di Pahang iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata, Ho Yip Kap, tidak menolak untuk menyertai semula MCA jika diberi peluang.
Pada 22 Februari lalu, Ho keluar parti sebelum hadir pada penamaan calon dan bertanding atas tiket calon Bebas.