|


Ghani belum jumpa Sultan Johor
Oleh Johan Afandi

Setiausaha Barisan Nasional negeri tak dapat sahkan bila barisan Exco akan dilantik

JOHOR BAHRU: Kerajaan baru Barisan Nasional (BN) Johor hanya akan dibentuk sebaik Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman menghadap Sultan Johor seawal-awalnya, akhir minggu ini.

Sumber memberitahu Berita Harian, Abdul Ghani masih belum menemui Sultan Johor untuk membentuk kerajaan kerana berada di Kuala Lumpur, semalam, untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Selain itu, beliau berkata, Abdul Ghani juga bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mendapatkan pandangan dan restu barisan Exco kerajaan negeri.

"Sebanyak empat kerusi Exco kerajaan negeri kosong, berikutan wakil rakyat berkenaan tidak dicalonkan atau mengundur diri pada pilihan raya umum lalu," katanya.

Empat portfolio Exco kerajaan negeri yang kosong adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Kesihatan; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar.

Difahamkan, Abdul Ghani sudah mempunyai calon untuk mengisi portfolio Exco kerajaan negeri dengan gabungan muka baru dan lama untuk terus membawa Johor mencapai kemajuan dalam Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).

Sementara itu, Setiausaha BN negeri Johor, Datuk Ali Hassan ketika ditemui Berita Harian mengakui bahawa beliau tidak dimaklumkan Abdul Ghani tarikh kerajaan negeri yang baru akan dibentuk.

"Bila hendak dibentuk kerajaan negeri baru, itu kena tanya Menteri Besar (Abdul Ghani), hanya dia yang tahu. Setakat ini, saya belum dimaklumkan sebarang tarikh," katanya.

Ali berkata, semua wakil rakyat BN di Johor sudah diarah supaya menurunkan semua poster, kain pemidang dan bendera yang dipasang ketika kempen pilihan raya bagi mengelak dikenakan tindakan.

"Saya dimaklumkan di beberapa kawasan, terutamanya sekitar bandar raya ini, semua poster, kain pemidang dan bendera wakil rakyat BN serta parti sudah mula diturunkan petugas bilik gerakan BN bahagian masing-masing," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, kegagalan wakil rakyat menurunkan semua barangan yang dipasang, boleh mengakibatkan mereka dikenakan denda oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang ditolak daripada wang deposit.

Selain itu, katanya, ia juga memberikan imej kurang elok di kalangan masyarakat terhadap BN negeri yang diberikan mandat dua pertiga untuk terus memerintah Johor.

Artikel lain: