|


Wakil DAP, PKR dalam Exco negeri

ALOR STAR: Pas dijangka melantik wakil tunggal DAP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Darulaman, Lee Guan Aik, sebagai anggota Exco dalam Kerajaan Negeri Kedah.

Selain itu, wakil Bebas bagi DUN Bukit Selambau, V Arumugam, yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan satu-satunya wakil kaum India dalam DUN Kedah juga akan dilantik sebagai Exco.

Ini bermakna Pas dijangka mengekalkan jumlah anggota Exco seramai 10 orang.

Komposisi kaum dalam barisan Exco Kerajaan Pas Kedah dijangka mengandungi tujuh Melayu, dua Cina termasuk seorang mewakili PKR dan seorang India.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, yang dipetik laman web rasmi Pas, Harakahdaily, mengesahkan persetujuan pelantikan Lee sebagai Exco kerajaan negeri.

Pas juga akan melantik tujuh ahli Exco dari parti berkenaan manakala dua lagi mewakili PKR.

Beliau berkata, keputusan itu dicapai selepas mesyuarat bersama Dewan Harian Pas Kedah yang dipengerusikan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sini, semalam.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-12 Sabtu lalu, Pas memenangi 16 kerusi DUN, PKR (empat) dan masing-masing satu DAP dan Bebas manakala Barisan Nasional memperoleh 14 kerusi.

Sementara itu, antara nama yang disebut-sebut bakal dilantik Exco mewakili Pas ialah Amiruddin Hamzah (Anak Bukit); Taulan Rasul (Tokai); Md Rohsidi Osman (Bukit Pinang); Phahrolrazi Zawawi (Pengkalan Kundor); Aishah Ghazali (Merbau Pulas); Abdul Ghani Ahmad (Ayer Hitam) dan Dr Hamdan Khalib (Tanjung Dawai).

Menteri Besar, Azizan Abdul Razak, dijangka mengumumkan barisan Exco negeri selewat-lewatnya Rabu ini, sekali gus mengadakan mesyuarat Exco pertama kerajaan negeri baru itu.

Artikel lain: