PULAU PINANG: Mana-mana parti politik yang membantah keputusan pilihan raya umum Sabtu lalu perlu menunggu sehingga proses mewartakan keputusan selesai dan mengemukakan petisyen mengikut prosedur ditetapkan.
Pengarah Pilihan Raya Pulau Pinang, Ahmad Shafee, berkata ketika ini pihaknya sedang menyemak status keputusan bagi semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tujuan menyediakan laporan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya proses mewartakan keputusan boleh dilaksanakan.
Ketika dihubungi Bernama di sini, beliau berkata, selepas semua keputusan itu diwartakan, parti yang bertanding mempunyai masa 21 hari untuk mengemukakan sebarang petisyen, sekiranya ada, kepada mahkamah.
“Terpulang kepada mahkamah untuk menentukan sama ada sesuatu petisyen itu akan dibicarakan atau sebaliknya,” katanya ketika diminta mengulas tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memprotes keputusan pilihan raya umum bagi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya di Pulau Pinang dan menuntut SPR mengadakan kiraan semula undi bagi kawasan berkenaan.
Semalam, Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Zahrain Mohamed Hashim dilaporkan berkata pihaknya membuat laporan polis sebaik saja keputusan bagi DUN Pulau Betong, Teluk Bahang dan Sungai Acheh diumumkan lewat malam Sabtu lalu.
Katanya berdasarkan majoriti kecil yang diperoleh calon Barisan Nasional (BN) bagi ketiga-tiga kerusi itu, PKR memohon kepada SPR agar kiraan semula undi diadakan.
Bagaimanapun, beliau mendakwa SPR menggunakan peraturan sebagai alasan untuk tidak mengadakan kiraan semula itu.
Bagi kawasan DUN Pulau Betong, calon BN, Muhamad Farid Saad, yang juga penyandang kerusi itu, menewaskan Dr Mansor Othman dari PKR dengan majoriti 294 undi manakala calon Teluk Bahang, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya mengalahkan calon PKR, Abdul Halim Hussain dengan kelebihan 465 undi.
Bagi kawasan DUN Sungai Acheh pula, calon PKR, Azhar Ahamad tewas di tangan calon BN, Datuk Mahmud Zakaria dengan majoriti 250 undi.
Sementara itu, Ahmad berkata dua calon Bebas yang bertanding di Pulau Pinang hilang wang pertaruhan mereka selepas undi yang diperoleh kurang daripada satu perlapan daripada jumlah undi yang diterima calon lawan.
R Ulaganathan yang menghadapi pertandingan tiga penjuru menentang P Ramasamy (DAP) dan L Krishnan (BN) di DUN Prai hanya memperoleh 311 undi berbanding pencabarnya masing-masing 7,668 dan 2,492 undi.
Seorang lagi calon Bebas, Badrul Zaman P S Md Zakariah, yang turut menghadapi pertandingan tiga penjuru di kawasan Parlimen Jelutong dan DUN Sungai Pinang turut hilang wang pertaruhannya selepas memperoleh masing-masing 882 dan 449 undi. – Bernama