Azizan nafi arah campur tangan urusan Kemas di seluruh Kedah
ALOR STAR: Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak, berkata kerajaan Pas tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan kepada mana-mana pihak supaya mengosongkan premis Tabika Kemas di negeri ini.
Beliau juga sudah mengarahkan Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kedah, Yusuf Husin, mengeluarkan surat kepada 15 pejabat Pas kawasan berhubung keputusan mengekalkan bangunan Tabika Kemas sedia ada sebagai gedung ilmu untuk kanak-kanak.
“Semua guru Tabika Kemas boleh menjalankan tugas seperti biasa dan jangan terpengaruh dengan mana-mana arahan selain daripada kerajaan negeri.
“Kerajaan Pas tidak pernah mengeluarkan arahan demikian sebaliknya sedang merangka beberapa langkah untuk memantapkan lagi pembelajaran peringkat prasekolah,” katanya dalam kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, semalam.
Beliau mengulas laporan akhbar ini, kelmarin, berhubung tindakan pihak tertentu yang meminta guru Tabika Kemas di kawasan Parlimen Merbok, mengosongkan premis itu secepat mungkin, selepas kerajaan Pas mengambil alih pemerintahan negeri, Ahad lalu.
Difahamkan, penyokong fanatik parti itu dipercayai campur tangan dalam urusan Tabika Kemas, termasuk mengarahkannya dikosongkan selepas Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambilalih pemerintahan.
Tindakan agresif penyokong fanatik parti itu sekali gus menimbulkan ketakutan di kalangan guru dan kakitangan Tabika Kemas di beberapa kawasan di negeri ini.
Pengarah Kemas negeri, Kamaruddin Ismail, berkata pihaknya ada menerima aduan daripada beberapa guru Tabika Kemas yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan itu kerana mereka tidak menerima surat rasmi berhubungnya.
“Saya percaya tindakan ini bukan arahan pucuk pimpinan kerajaan baru, sebaliknya dilakukan oleh penyokong agresif parti itu yang begitu ghairah dengan kemenangan parti politik mereka.
“Justeru, saya menasihatkan mereka supaya jangan bertindak melulu, sebaliknya tunggu isyarat dan arahan yang dikeluarkan oleh pucuk pimpinan kerajaan negeri yang baru,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua guru di 770 Tabika Kemas di seluruh negeri supaya tidak terpengaruh dengan arahan berkenaan sebaliknya menjalankan tugas seperti biasa.
“Walaupun ketika ini musim cuti sekolah, semua guru Tabika Kemas masih menggunakan bangunannya untuk melaksanakan kerja pejabat selain membuat persediaan awal alat mengajar bagi musim persekolahan akan datang,” katanya.
Sementara itu, sebuah Tabika Kemas di Kampung Permatang Ibus, Kuala Kedah dekat sini, cuba dipecah masuk, malam kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) kampung itu, Mansur Ali, menyedari kunci pintu gelungsur kaca dipecahkan kira-kira jam 9 pagi semalam.
“Kali terakhir saya memeriksa dewan Tabika itu ialah jam 8 malam tadi (kelmarin) dan apabila saya ke sini jam 9 pagi tadi (semalam) kunci pintu depan didapati dikopek,” katanya ketika ditemui.
Berikutan itu, pengurusan Tabika berkenaan terpaksa memindahkan semua peralatan sekolah berkenaan seperti meja, kerusi, televisyen dan peti sejuk ke tempat selamat bagi mengelakkan ia hilang.