MELAKA: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dilantik semula sebagai Ketua Menteri Melaka dan akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakub, di Pejabat Istana Negeri di Ayer Keroh, jam 10 pagi hari ini.
Mohd Ali, 58, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri menerima watikah jawatan itu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sejurus mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibu negara, tengahari semalam. Ini adalah penggal ketiga beliau dilantik ke jawatan itu sejak 1999.
Jurucakap Jabatan Ketua Menteri ketika menghubungi pejabat Berita Harian semalam, mengesahkan Mohd Khalil sudah dimaklumkan dan bersetuju majlis angkat sumpah diadakan hari ini.
Pelantikan semula Mohd Ali susulan kejayaan BN yang dipimpinnya di negeri ini, memenangi dua pertiga daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya umum Sabtu lalu.
BN memenangi 23 kerusi DUN, manakala DAP lima kerusi. Dua parti pembangkang yang bertanding, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tewas di semua kerusi. Selain itu BN memenangi lima daripada enam kerusi Parlimen, manakala satu lagi milik DAP.