BUTTERWORTH: Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir yakin Perdana Menteri akan melakukan sesuatu yang betul bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).
"Sebagai Presiden parti (Umno), kami sayangkannya kerana beliau memberi banyak sumbangan kepada bangsa dengan caranya.
“Tidak mudah untuk membuat perubahan secara drastik, tetapi saya yakin Perdana Menteri akan mengambil kira suara rakyat dengan nasihat pemimpin parti komponen BN. (Saya yakin) Beliau akan melakukan sesuatu yang betul,” katanya.
Beliau yang dipilih sebagai Ahli Parlimen Jerlun berkata demikian pada sidang media di Hotel Pearl View dekat sini, yang turut dipenuhi kira-kira 300 penyokongnya.
Serentak itu juga, Mukhriz menafikan beliau mengatur sidang media itu untuk membuat pengumuman meminta Perdana Menteri meletak jawatan.
"Tidak, saya tahu ada khidmat pesanan ringkas (SMS) yang disebarkan kata begitu, saya tidak tahu siapa dalangnya," katanya.
Sidang media itu pada awalnya dijadualkan jam 3 petang di Hotel Sunway di sini, tetapi diubah tempat pada saat akhir.
Sejak malam tadi, pemberita menerima mesej bahawa Mukhriz akan membuat kenyataan meminta Perdana Menteri meletak jawatan berikutan kekalahan teruk BN dalam pilihan raya umum.
Ditanya adakah beliau meminta Abdullah meletak jawatan, Mukhriz berkata, pucuk pemimpin BN perlu mendengar masalah rakyat termasuk melakukan perubahan.
“Saya tidak pasti apa perubahan yang boleh dilakukan tetapi yakin BN khususnya Umno akan menggunakan jentera parti untuk mengembalikan keyakinan rakyat," katanya.
Ditanya adakah Perdana Menteri patut meletak jawatan, beliau berkata, semua orang tahu Umno akan mengadakan mesyuarat peringkat cawangan, bahagian dan perhimpunan agung tahun ini.
"Saya harap semua peringkat dapat membincangkan perkara ini dan mengambil langkah yang sepatutnya untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.
Mendengar jawapan itu, seorang lelaki tiba-tiba menjerit dengan berkata “Awak cakap apa yang nak cakap”.
Mukhriz yang tenang sepanjang sidang media itu, meminta lelaki terbabit supaya bertenang dan bersabar.
Mengenai saranan pihak lain supaya Perdana Menteri meletak jawatan, beliau berkata: "Saya sokong apa juga tindakan yang akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap BN”.
Ditanya adakah Abdullah patut bertanggungjawab di atas kekalahan teruk BN, Mukhriz berkata, semua pihak perlu bertanggungjawab.