KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN), khususnya Umno perlu merombak dan menyusun semula struktur jentera parti selaras dengan aspirasi serta kehendak rakyat yang ditunjukkan menerus Pilihan Raya Umum ke-12, Sabtu lalu.
Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, berkata parti komponen BN juga harus berfungsi sebagai satu gagasan dan tidak hanya menjaga hal ehwal sendiri seperti dilakukan dulu.
“Jika dilihat asas penubuhan Umno dan MCA, ia adalah gabungan beberapa pertubuhan kecil yang bersatu demi satu matlamat tapi tidak semestinya mempunyai ideologi politik atau falsafah yang sama. Justeru, berpotensi berlaku perpecahan atau serpihan.
“Keputusan pilihan raya kali ini juga bukan kerana politik, sebaliknya ini adalah suara rakyat yang kurang senang dengan keadaan ekonomi negara, isu pendidikan, bahasa dan agama diterjemah menerusi undi yang gagal diatasi kerajaan BN yang dirundung masalah dalaman,” katanya pada forum mengenai Pilihan Raya Umum 2008: Keputusan dan Kesannya Kepada Malaysia, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (Isis) Malaysia, Datuk Seri Mohamed Jawhar Hassan.
Selain Shamsul Amri, dua lagi tokoh yang berucap dalam forum anjuran ISIS itu ialah Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (Just), Prof Dr Chandra Muzaffar dan Timbalan Pengerusi Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (INSAP), Rita Sim.
Ketiga-tiga anggota panel itu mengupas punca BN tidak dapat mengekalkan penguasaan dua pertiga kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum, selain gagal menguasai kerajaan negeri di Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor.
Mereka juga mengesyorkan komponen BN supaya jangan alpa dalam mengambil tindakan susulan sebelum sokongan rakyat terhakis lebih jauh lagi serta memberi cadangan mengenai pendekatan yang wajar dipertimbangkan.
Chandra menggariskan lima isu yang perlu ditangani segera BN dan Umno selaku tulang belakang gagasan itu bagi mengembalikan keyakinan masyarakat dengan membuktikan mereka boleh berubah seperti yang diinginkan rakyat.
“Perdana Menteri harus memastikan tiada perpecahan dalam Umno dan pada masa sama, merencana penstrukturan semula parti dengan memberi penekanan terhadap dasar membabitkan isu etnik, agama, kos sara hidup dan peningkatan kadar jenayah yang semuanya memerlukan kesungguhan politik.
“Kerajaan Pusat harus memantau kebolehan pakatan pembangkang untuk bekerjasama, khususnya Pas, DAP serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Perak harus diamati sama ada wujud tolak ansur serta keupayaan memperkenalkan dasar yang boleh diterima semua pihak,” katanya.