|


Majlis angkat sumpah ditangguh

KUALA TERENGGANU: Majlis pelantikan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar semalam tertangguh berikutan `masalah teknikal'.

Pengumuman penangguhan itu dibuat Datuk Bentara Luar, Datuk Omar Pilus kira-kira jam 8.55 pagi mengejutkan lebih 100 jemputan, termasuk wakil rakyat baru.

Setiausaha Perhubungan Umno negeri, Datuk Rosol Wahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, berkata Idris terpaksa ke Kuala Lumpur untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Kami hanya tahu mengenai perkara ini (penangguhan) pada saat akhir dan disebabkan itu pegawai istana tidak dapat memaklumkan lebih awal kepada semua jemputan," katanya yang ditemui di Istana Maziah, di sini.

Turut kelihatan Adun Kijal, Datuk Ahmad Said; Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong.

Rosol berkata, upacara pelantikan itu akan diadakan dalam masa terdekat, bagaimanapun tarikhnya belum ditetapkan.

Artikel lain: