Kayveas akui terima dua tawaran pembangkang
KUALA LUMPUR: Walaupun ada khabar angin bahawa parti komponen Barisan Nasional (BN) akan meninggalkan gagasan itu, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting menafikannya dengan berkata MCA tiada kaitan dengan pembangkang.
“Tidak. Sudah pasti MCA tiada kena mengena dengan mereka. Kami akan kekal dengan semangat BN,” katanya kepada pemberita sebelum menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.
Ong berkata demikian ketika diminta mengulas khabar angin bahawa penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah berjumpa dan berbincang dengan MCA menjemput mereka untuk menyertai kelompok pembangkang bagi membentuk Kerajaan Persekutuan.
Sementara itu, Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP), Datuk M Kayveas ketika ditanya soalan sama berkata, beliau menerima dua tawaran daripada pembangkang.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan parti yang membuat tawaran itu.
“Kami (PPP) ada terima dua tawaran... sangat menarik, kami sedang fikirkannya tetapi buat masa ini dan dalam keadaan ini, kita akan berdiri bersama BN,” katanya.
Katanya PPP akan memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana beliau amat memerlukan sokongan daripada parti komponen.
Sementara itu di Putrajaya, Penasihat Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik meminta Tan Sri Koh Tsu Koon tidak melepaskan jawatan pemangku Presiden kerana parti memerlukan pelapis muda bagi meneruskan perjuangan.
Dr Lim berkata, walaupun Koh menganggap pengundurannya sebagai tindakan bertanggungjawab atas kekalahan teruk Gerakan pada pilihan raya lalu, namun Koh masih diperlukan untuk menerajui parti.
“Saya beritahu dia (Koh) supaya diam dan teruskan (perjuangan). Saya masih ada untuk memberi nasihat,” katanya.