KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno serta pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) menyifatkan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan sebagai tidak wajar kerana BN masih mendapat mandat memerintah negara.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata kenyataan bekas Perdana Menteri itu tidak menggugat kesetiaan pemimpin Umno dan parti komponen yang berdiri teguh di belakang kepemimpinan Abdullah serta Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.
“Itu pandangan Tun (Dr Mahathir) yang saya anggap ia tidak wajar dan berharap ahli parti tidak terpengaruh. Ketika ini, kita tidak boleh berpecah, sebaliknya bersatu dan memperkuatkan BN,” katanya ketika ditemui di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir kelmarin yang mahu Abdullah yang juga Pengerusi BN, bertanggungjawab sepenuhnya dengan berundur berikutan kekalahan teruk BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Sabtu lalu.
Seorang lagi Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pemimpin Umno berpegang kepada prinsip kesetiaan kepada kepemimpinan parti.
“Nak dikatakan ada kekurangan dan kelemahan, itu biasalah, tapi seluruh kepemimpinan MT hari ini (semalam) sepakat kekurangan itu tidak harus dibebankan pada satu orang saja (Abdullah), kita harus atasi jika ada masalah,” katanya.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata barisan kepemimpinan Umno berdiri di belakang Perdana Menteri, walau apa pun kenyataan Dr Mahathir.
“Saya menghormati Dr Mahathir, tetapi bukan itu jawapan yang kita mahu buat sekarang (meminta Perdana Menteri letak jawatan),” katanya.
Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata tidak timbul soal Perdana Menteri perlu meletak jawatan kerana BN masih mendapat kepercayaan rakyat, walaupun tidak mendapat majoriti dua pertiga.
“Kita pernah melalui keadaan lemah seperti ini pada Pilihan Raya Umum 1999, tapi Perdana Menteri tidak berhenti pun, jadi sekarang tiada sebab Perdana Menteri kena berhenti,” katanya.
Ahli MT, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kenyataan Dr Mahathir dianggap tidak wajar kerana beliau sendiri tidak meletak jawatan walaupun ada pihak pernah mendesaknya berbuat demikian.
“Masa dulu orang desak Tun (letak jawatan), tapi beliau tidak pun berbuat demikian. Apa yang penting MT berpendapat sekarang bukan masanya bagi sesiapapun meletak jawatan,” katanya.
Seorang lagi MT Umno, Datuk Seri Syed Hamid Albar juga berkata, Umno dan BN sudah mencatatkan kemenangan dan terpulang kepada parti menentukan kepemimpinannya.
“Walaupun kita menghormati Tun sebagai bekas pemimpin kita, biar parti dan kerajaan menentukan siapa yang menerajui kedua-duanya. Lagipun, dulu pun Tun tidak ikut juga (letak jawatan kerana desakan),” katanya.